B. MalaysiaEnglishDeutsch日本語简体中文한국어
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


FAQ General Accordion

Umum

Bagaimana MIDA membantu pelabur?

MIDA menawarkan bantuan-bantuan berikut kepada para pelabur:

  1. Perundingan dan kerjasama langsung dengan agensi-agensi yang berkaitan di peringkat Persekutuan dan Negeri dalam hal-hal seperti:
    • Menjamin kemudahan infrastruktur, termasuk tanah, lokasi kilang, bekalan elektrik dan air, telekomunikasi dan lain-lain,
    • Mempercepat kelulusan yang berkaitan dengan Pelan Bangunan, Sijil Kelayakan dan Lesen Perniagaan
  2. Untuk memberi panduan dan membantu pelabur dalam mendapatkan semua kelulusan yang diperlukan untuk projek sehingga ia beroperasi
  3. Untuk memberikan sokongan kepada syarikat yang sedia ada dalam merancang pembesaran, pelbagaian dan pelaburan semula projek mereka yang lain
  4. Untuk memudahkan lawatan dan penilaian lokasi serta infrastruktur rantaian bekalan.

Wakil-wakil kanan daripada agensi kerajaan utama ditempatkan di Ibu Pejabat MIDA di Kuala Lumpur untuk memberikan nasihat kepada pelabur mengenai dasar dan prosedur kerajaan. Wakil-wakil ini termasuk pegawai daripada Jabatan Imigresen, Kastam Diraja Malaysia dan Telekom Malaysia Berhad. MIDA juga bekerjasama rapat dengan pegawai daripada Jabatan Tenaga Kerja, Jabatan Alam Sekitar dan Tenaga Nasional Berhad.

Apakah jenis permohonan yang dinilai oleh MIDA?

MIDA menilai permohonan-permohonan berikut:

  • Lesen Pengilang di bawah Akta Penyelarasan Perindustrian, 1975
  • Insentif-insentif
  • Pengecualian Duti-duti Kastam

  • Jawatan-jawatan pegawai dagang
  • Status bagi pertubuhan serantau
  • Status bagi syarikat R&D
  • Geran Padanan

Syarikat boleh menyerahkan permohonan mereka dan menjejaki status secara dalam talian di investmalaysia.mida.gov.my

Apakah keperluan ekuiti bagi projek-projek baharu, pembesaran atau pelbagaian?

Mulai 17 Jun 2003, pelabur asing kini dibenarkan memegang 100% ekuiti untuk semua pelaburan dalam projek baru, serta projek pembesaran atau pelbagaian oleh syarikat yang ada dalam sektor perkilangan, tanpa mengira paras eksportnya.

Bagaimana MIDA bertindak sebagai pusat sehenti dalam memudahcara dan membantu pelabur?

Sejak MIDA mula beroperasi pada 1967, MIDA terus memainkan peranan strategik dalam menarik dan memudah cara pelabur dengan usaha niaga mereka di Malaysia. MIDA tersedia di luar negara dan di seluruh Malaysia melalui pejabat global dan serantau sambil bekerjasama dengan kerajaan negeri dan agensi utama untuk membantu keperluan pelabur. Wakil-wakil turut ditempatkan di ibu pejabat MIDA di Kuala Lumpur untuk memberikan nasihat kepada pelabur mengenai dasar dan prosedur kerajaan. Wakil-wakil ini termasuk pegawai daripada Jabatan Imigresen, Kastam Diraja Malaysia dan Telekom Malaysia Berhad. MIDA juga bekerjasama rapat dengan pegawai daripada Jabatan Tenaga Kerja, Jabatan Alam Sekitar dan Tenaga Nasional Berhad.

 

Untuk maklumat lanjut mengenai kemudahan perniagaan yang disediakan oleh MIDA, sila klik di sini.

Apakah itu Portal InvestMalaysia?

Portal ini merupakan portal permohonan dalam talian dimana syarikat boleh menyerahkan permohonan mereka di sini dan menyemak status permohonan tersebut di Portal InvestMalaysia.

Apakah jenis permohonan yang boleh saya serahkan di Portal InvestMalaysia?

Modul yang tersedia termasuk permohonan lesen pengilang (e-ML), surat pengecualian daripada ML, insentif (e-Insentif), jawatan ekspatriat dan status Pejabat Perwakilan/Pejabat Serantau (RE/RO), Pengecualian Duti Import/Cukai Jualan (JPC) dan Surat Pengesahan MIDA (SPM) serta Jualan Domestik.

Lesen Pengilang

Apakah kriteria untuk memohon lesen pengilang?

Syarikat-syarikat perkilangan dengan dana pemegang-pemegang saham RM2.5 juta ke atas ATAU menggaji 75 atau lebih pekerja-pekerja sepenuh masa boleh memohon Lesen Pengilang.

Berapa lamakah masa diambil untuk meluluskan lesen pengilang?

Berdasarkan Piagam Pelanggan MIDA, Lesen Pengilang akan diluluskan dalam masa tujuh hari (trek pantas) atau empat minggu (trek biasa) mulai tarikh maklumat lengkap diterima.

Bagaimanakah cara untuk menyemak status permohonan syarikat saya?

Semua permohonan yang diterima akan dikeluarkan surat perakuan yang akan menyatakan nama Pegawai / Timbalan Pengarah / Pengarah Bahagian Industri yang berkenaan. Pemohon dinasihatkan untuk menghubungi pegawai masing-masing mengenai status permohonan.

Status permohonan dalam talian juga boleh disemak melalui Portal InvestMalaysia .

Sekiranya syarikat saya dikecualikan dari Lesen Pengilang, apakah dokumen lain yang boleh saya perolehi dari MIDA?

Pemohon boleh mendapatkan ‘Surat Pengesahan untuk Pengecualian daripada Lesen Pengilang’ dengan mengemukakan permohonan melalui http://investmalaysia.mida.gov.my/ dan harus menyerahkan salinan dokumen berikut: –

  • Memorandum dan Artikel Penubuhan/ Profil korporat daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM)
  • Lesen Perniagaan daripadapada PBT (jika ada)
  • Carta Aliran Proses Pengilangan

Bolehkah saya mengemukakan permohonan lesen pengilang secara dalam talian?

Pemohon boleh menyerahkan permohonan mereka melalui Portal InvestMalaysia di http://investmalaysia.mida.gov.my/

Bolehkah saya menyerahkan permohonan saya dalam salinan bercetak?

Semua permohonan untuk Lesen Pengilang dan ICA10 dalam bentuk salinan bercetak tidak lagi diterima kerana permohonan boleh dibuat secara dalam talian melalui Portal InvestMalaysia dihttp://investmalaysia.mida.gov.my/

Insentif Pelaburan

Untuk maklumat terperinci, sila lawati bahagian Memulakan Perniagaan’.

 

Apakah insentif utama bagi sektor perkilangan dan perkhidmatan?

Terdapat 2 insentif cukai utama bagi sektor-sektor perkilangan dan perkhidmatan:

  • Taraf Perintis (PS) – Pengecualian cukai sebanyak 70% – 100% pendapatan berkanun selama 5 hingga 10 tahun. Elaun-elaun modal yang tidak diserap dan kerugian terkumpul yang ditanggung sepanjang tempoh perintis boleh dibawa ke hadapan dan ditolak daripada pasca taraf perintis syarikat.
  • Elaun Cukai Pelaburan (ITA) – Satu elaun sebanyak 60% – 100% ke atas perbelanjaan modal layak (kilang, loji, jentera atau kelengkapan lain yang digunakan untuk projek diluluskan) yang dilakukan dalam tempoh 5 hingga 10 tahun dari tarikh pertama perbelanjaan modal layak dilakukan.

Apakah perbezaan antara Taraf Perintis dan Elaun Cukai Pelaburan?

Sebuah syarikat yang diluluskan sijil Taraf Perintis boleh menikmati pengecualian cukai di antara 70% – 100% daripada pendapatan berkanun selama 5 hingga 10 tahun, manakala bagi Elaun Cukai Pelaburan, sebuah syarikat itu boleh menerima elaun-elaun di antara 60% – 100% ke atas perbelanjaan modal layak yang dilakukan dalam tempoh 5 hingga 10 tahun.

Projek-projek yang mengambil masa lama untuk membuat keuntungan dan melibatkan perbelanjaan modal yang besar, lebih bermanfaat memilih Elaun Cukai Pelaburan. Syarikat-syarikat harus meneliti pilihan ini sebelum memohon sama ada Taraf Perintis atau Elaun Cukai Pelaburan.

Bagaimanakah sesebuah syarikat memohon Taraf Perintis/Elaun Cukai Pelaburan?

Pemohon boleh menyerahkan permohonan mereka melalui http://investmalaysia.mida.gov.my/.

Bolehkah saya menyerahkan permohonan saya dalam salinan bercetak?

Penyerahan permohonan dalam bentuk salinan bercetak tidak lagi diterima kecuali untuk permohonan insentif yang berikut:

  • Insentif Cukai Khas di bawah PENJANA
  • Insentif untuk Pengilang Produk Farmaseutikal Termasuk Vaksin
  • Elaun Cukai Pelaburan sebanyak 50% untuk Penyelidikan dan Pembangunan Dalaman
  • • Elaun Cukai Pelaburan sebanyak 50% daripada Pelaburan Semula untuk Penyelidikan & Pembangunan Dalaman

Borang boleh dimuat turun di sini .

Sekiranya syarikat saya tidak memiliki Lesen Pengilang, bolehkah saya memohon Taraf Perntis/Elaun Cukai Pelaburan?

Syarikat yang dikecualikan Lesen Pengilang layak memohon Taraf Perintis/Elaun Cukai Pelaburan sekiranya produk/aktiviti byang dijalankan adalah digalakkan dan projek memenuhi kriteria lain yang berkaitan.

Bagaimanakah saya boleh mengesahkan yang produk-produk/aktiviti-aktiviti saya layak memohon insentif-insentif ini?

Anda boleh menyemak senarai aktiviti & produk digalakkan yang boleh didapati (di sini ) atau mengetahui lebih lanjut di bahagian Borang dan Garis Panduan di laman web ini. Anda juga boleh merujuk kepada penerbitan yang berkaitan di sini .

Berapa lamakah masa yang diambil untuk proses permohonan insentif tersebut?

Permohonan insentif akan diproses dan keputusan akan dibuat dalam masa 6 minggu mulai tarikh maklumat lengkap diterima.

Bagaimanakah saya boleh mengetahui status permohonan insentif syarikat saya?

Semua permohonan yang diterima akan mendapat surat perakuan yang menyatakan nama Pegawai/Timbalan Pengarah/Pengarah bagi Bahagian Industri yang berkenaan. Pemohon diminta untuk menghubungi pegawai masing-masing mengenai status permohonan.

 

Status permohonan dalam talian juga boleh disemak melalui Portal InvestMalaysia.

Jawatan Pegawai Dagang

Apakah perbezaannya antara jawatan utama dan jawatan bertempoh?

Jawatan utama ialah jawatan yang boleh dipegang selama-lamanya oleh warganegara asing berdasarkan hak milikan syarikat asing. Itu juga bergantung pada jumlah modal berbayar syarikat dan jenis produk/industri yang terlibat. Kelulusan tertakluk pada jumlah minimum modal berbayar syarikat..


Jawatan bertempoh ialah jawatan yang diluluskan sehingga 3-5 tahun untuk jawatan eksekutif yang memerlukan kelayakan profesional dan pengalaman praktikal, dan 2 tahun untuk jawatan bukan eksekutif yang memerlukan kemahiran dan pengalaman teknikal. Ini tertakluk kepada ketiadaan rakyat Malaysia untuk mengisi jawatan tersebut.


Untuk membolehkan syarikat layak untuk memohon jawatan ini, rakyat Malaysia mesti dilatih untuk akhirnya mengambil alih jawatan tersebut.

Apakah yang harus saya sediakan sebelum menyerahkan permohonan untuk jawatan ekspatriat kepada MIDA?

Berkuat kuasa 1 Januari 2021, mana-mana syarikat yang berhasrat untuk menggaji pegawai ekspatriat dikehendaki mengiklankan kekosongan jawatan sekurang-kurangnya 30 hari di portal MYFutureJobs sebelum menyerahkan permohonan jawatan ekspatriat kepada MIDA. Syarikat tersebut akan diminta untuk menjalankan proses temu duga untuk mencari bakat tempatan. Syarikat itu juga mesti mematuhi garis panduan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

 

Untuk sebarang pertanyaan berkenaan portal MYFutureJobs sila hubungi Pusat Khidmat Pelanggan di talian 1-300-22-8000 / 03- 8091 5300 atau e-mel [email protected]

Adakah terdapat sebarang pengecualian pengiklanan jawatan kosong sebelum menyerahkan permohonan jawatan ekspatriat kepada MIDA?

Ya, pengecualian pengiklanan jawatan kosong diberikan kepada kategori berikut:

 

    1. Jawatan penting (“C-Suite” & Jawatan Utama)
    2. Pegawai Dagang dengan pendapatan bulanan RM15,000 dan ke atas
    3. 3. Pejabat Perwakilan / Pejabat Serantau (RE/RO)
      • Ini merujuk pada Pejabat Perwakilan/Pejabat Serantau bagi organisasi/syarikat luar negara dalam sektor perkilangan dan perkhidmatan yang ditubuhkan di Malaysia untuk menjalankan aktiviti bagi ibu pejabat syarikat/organisasi. RE/RO tidak terlibat dalam sebarang aktiviti komersial. Untuk pejabat operasi perwakilan/serantau, majikan tidak perlu mendaftar di bawah Akta Syarikat 1965.
      • Surat kelulusan/pengesahan daripada MIDA diperlukan untuk syarikat mengambil ekspatriat bekerja di bawah kategori ini.
    4. Pelabur/Pemegang Saham/Pemilik
      • Ini merujuk kepada pelabur iaitu individu yang melabur dana di Malaysia untuk mencapai pulangan pelaburan dan terlibat secara langsung dalam operasi syarikat.
      • Sementara itu, pemegang saham merujuk kepada individu yang memegang sekurang-kurangnya 30% ekuiti dalam syarikat dan dilantik sebagai Pengarah syarikat dan/atau memegang jawatan berkepentingan dalam syarikat.
    5. Pemindahan Korporat / Penempatan / Perjanjian Perdagangan
      • Ini merujuk kepada ekspatriat yang ditugaskan oleh syarikat induk untuk bekerja di syarikat cawangan di Malaysia atau sekumpulan syarikat bagi tujuan latihan atau perkongsian pengetahuan/pengalaman antara syarikat, dan untuk memenuhi keperluan tenaga kerja syarikat.

     

    Jawatan mahir khusus tidak secara automatik dikecualikan daripada mengiklankan kekosongan dalam portal MYFutureJobs. Jawatan mahir khusus termasuk kemahiran khusus dan/atau unik serta kecekapan strategik untuk menjalankan tugas yang ditetapkan oleh syarikat.

Apakah proses permohonan pengecualian pengiklanan jawatan kosong?

Syarikat boleh memohon pengecualian pengiklanan dalam portal MYFutureJobs daripada PERKESO dengan melengkapkan Borang PDKK (Pegawai Dagang Mahir Khusus) melalui ( http://bit.ly/PDKKPERKESO). Justifikasi terperinci sebab jawatan itu memerlukan pengecualian khas perlu ditunjukkan dalam borang.

 

Syarikat akan dikecualikan daripada pengiklanan dalam portal MYFutureJobs sekiranya jawatan tersebut diberikan pengecualian oleh PERKESO melalui e-mel: [email protected]. Kemudian, syarikat tersebut boleh terus memohon jawatan dagang kepada Agensi Melulus.

 

Sekiranya jawatan tersebut didapati tidak berada di bawah mahir khusus, syarikat itu akan diminta untuk mengiklankan kekosongan jawatan tersebut di portal MYFutureJobs untuk tempoh minimum 30 hari dan menjalankan proses temu duga untuk mencari bakat tempatan. Syarikat perlu menyerahkan Sijil Jawatankuasa Penggajian Pegawai Dagang (JPPD) daripada PERKESO semasa memohon jawatan ekspatriat kepada Agensi Melulus.

Bagaimanakah untuk memohon lanjutan atau jawatan pegawai dagang tambahan?

Semua permohonan jawatan ekspatriat daripada syarikat baharu dan sedia ada (termasuk syarikat yang tidak melibatkan pengembangan atau pempelbagaian) dalam sektor perkilangan dan perkhidmatan terpilih* hendaklah dibuat secara dalam talian melalui portal InvestMalaysia https://investmalaysia.mida.gov.my.

Berapa lamakah masa yang diambil untuk proses permohonan jawatan ekspatriat?

Permohonan jawatan ekspatriat akan diproses dan keputusan akan dibuat dalam masa tiga puluh (30) hari mulai tarikh maklumat lengkap diterima.

Pengecualian Duti

Bagaimana cara untuk syarikat memohon pengecualian duti import dan / atau cukai jualan?

Permohonan pengecualian duti import dan/atau cukai jualan perlu diserahkan secara dalam talian melalui Portal InvestMalaysia (https://investmalaysia.mida.gov.my).

Apakah jenis permohonan yang boleh diserahkan untuk pengecualian duti import dan/atau cukai jualan?

Permohonan pengecualian duti import dan/atau cukai jualan yang melibatkan perkara berikut perlu diserahkan secara dalam talian melalui https://investmalaysia.mida.gov.my:

  • Pengecualian duti import dan / atau cukai jualan pada mesin / peralatan untuk aktiviti terpilih dalam Sektor Pertanian
  • Pengecualian duti import dan / atau cukai jualan ke atas bahan mentah / komponen untuk Sektor Perkilangan
  • Pengecualian duti import dan / atau cukai jualan ke atas mesin, peralatan dan bahan untuk syarikat dalam sektor perkhidmatan terpilih seperti berikut;
    1. Penyelidikan & pembangunan (R&D) 
    2. Institusi pengajian tinggi swasta 
    3. Institusi latihan tinggi swasta (sains, teknikal atau vokasional)
    4. Projek pelancongan (tanpa penginapan)

Permohonan Surat Pengesahan MIDA (SPM) untuk menuntut pengecualian duti import dan / atau cukai jualan daripada Jabatan Kastam Diraja Malaysia ke atas mesin / peralatan / alat ganti / alat ganti utama / treler kontena /alatan / komponen / bahan khusus / barangan guna habis khusus untuk perkara berikut::

  • Pengilang dalam Kawasan Utama Kastam (PCA)
  • Syarikat yang terlibat dalam Perniagaan Hotel
  • Pengendali pengangkutan
  • Syarikat Penyelenggaraan, Pembaikan & Baik pulih Aeroangkasa (MRO)

Berapa lamakah masa yang diperlukan untuk menerima keputusan mengenai permohonan pengecualian duti import dan / atau cukai jualan?

Keputusan akan dibuat dalam masa 4 minggu daripada tarikh maklumat lengkap diterima.

Apakah dokumen sokongan yang perlu dilampirkan dalam borang permohonan dalam talian?

Syarikat yang memohon pengecualian harus mengemukakan salinan dokumen berikut:

  • Lesen Pengilang yang dikeluarkan di bawah Akta Penyelarasan Industri 1975 atau Surat Pengesahan untuk syarikat yang dikecualikan daripada Lesen Pengilang di bawah Akta Penyelarasan Industri 1975
  • Kelulusan insentif cukai di bawah Akta Penggalakan Pelaburan, 1986 (PIA) atau Akta Cukai Pendapatan, 1967 (jika berkenaan)
  • Perakuan pendaftaran atau surat pengakuan sekiranya permohonan sijil pendaftaran sedang diproses oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) (jika ada)
  • Profil syarikat (cetakan terkini) yang dihasilkan daripada Perkhidmatan e-Info Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM))
  • Carta alir proses perkilangan
  • Pelan susun atur mesin dan peralatan di premis pengilang yang diluluskan dan untuk menunjukkan di mana mesin dan peralatan akan diletakkan

Apakah prosedur untuk memohon pengecualian duti import dan / atau cukai jualan?

Sila rujuk garis panduan dan prosedur untuk permohonan pengecualian duti import dan/atau cukai jualan di sini.

Bolehkan syarikat perkilangan dalam Kawasan Industri Bebas (FIZ) / Gudang Perkilangan Berlesen (LMW) mengemukakan permohonan bagi pengecualian duti?

Mulai 1 Januari 2011, semua permohonan pengecualian duti oleh syarikat perkilangan dalam Kawasan Perindustrian Bebas (FIZ) / Gudang Perkilangan Berlesen (LMW) untuk penjualan barangan siap mereka ke Kawasan Utama Kastam (PCA) harus diserahkan terus kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia / pejabat kastam terdekat.

Perkhidmatan

Apakah subsektor perkhidmatan yang layak untuk memohon status dan / atau insentif dan / atau permohonan ekspatriat melalui MIDA?

Syarikat yang menjalankan perkhidmatan atau aktiviti terpilih berikut boleh memohon status dan/atau insentif dan/atau ekspatriat:

  • Aktiviti Penyelidikan dan Pembangunan;
  • Hab Prinsipal;
  • Perkhidmatan Logistik Bersepadu (ILS);
  • Perkhidmatan Logistik Bersepadu Antarabangsa (IILS);
  • Pejabat Perwakilan / Pejabat Serantau (RE/RO);
  • Institut Latihan Teknikal/Vokasional/Sains;
  • Projek Hotel/Pelancongan;
  • Mines Wellness City (MWC);
  • Teknologi Hijau;
  • Kemudahan Penjagaan Kesihatan Swasta;
  • Kemudahan Rantaian Sejuk; dan
  • Aktiviti Perkhidmatan Lain yang Digalakkan di bawah Akta Penggalakan Pelaburan, 1986 dan Akta Cukai Pendapatan, 1967

Syarikat yang menjalankan perkhidmatan atau aktiviti terpilih berikut boleh memohon produk tambahan dan/atau ekspatriat:

  • Ibu Pejabat Operasi (OHQ) / Pusat Perolehan Antarabangsa (IPC) / Pusat Pengedaran Serantau (RDC);

Untuk maklumat lebih terperinci, sila rujuk buku panduan ‘Malaysia: Pelaburan dalam Sektor Perkhidmatan’ di sini .

Apakah prosedur untuk memohon status dan / atau insentif dan / atau permohonan ekspatriat untuk subsektor perkhidmatan di atas?

Semua permohonan (tidak termasuk Permohonan Penggantian Jawatan Ekspatriat untuk RE/RO dan Borang Penilaian Pematuhan Tahunan untuk PH) harus dibuat secara dalam talian melalui Portal InvestMalaysia ( https://investmalaysia.mida.gov.my).

 

Permohonan Penggantian Jawatan Ekspatriat untuk RE/RO dan Borang Penilaian Pematuhan Tahunan untuk PH harus diserahkan secara manual dalam tiga (3) set menggunakan borang berkaitan kepada:

 

Ketua Pegawai Eksekutif

Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA)

MIDA Sentral

No. 5, Jalan Stesen Sentral 5

Kuala Lumpur Sentral

50470 Kuala Lumpur

Berapa lamakah masa yang diperlukan untuk menerima keputusan permohonan?

Permohonan akan diproses, dan keputusan akan disampaikan kepada pemohon dalam waktu enam minggu daripada tarikh maklumat lengkap diterima.

Permohonan Pasca Insentif

Garis panduan juga boleh didapati di sini.

i. Permohonan Sijil Perintis

Bilakah perlu memohon Sijil Taraf Perintis?

Permohonan Sijil Perintis harus diserahkan kepada MIDA dalam tempoh 24 bulan mulai tarikh surat kelulusan insentif. Selepas menyerahkan permohonan, syarikat pemohon hendaklah memenuhi salah satu syarat berikut:

  • Mencapai sekurang-kurangnya 30% kapasiti pengeluaran terpasang dalam tempoh tiga (3) bulan berturut-turut (terpakai untuk syarikat berasaskan pengeluaran besar-besaran) atau
  • Memiliki invois jualan pertama bagi produk yang diluluskan (terpakai untuk syarikat berasaskan pesanan yang disesuaikan)

Bagaimana cara memohon Sijil Taraf Perintis?

Permohonan hendaklah dibuat secara dalam talian melalui https://investmalaysia.mida.gov.my

Bagaimanakah MIDA menentukan Tarikh Pengeluaran untuk Sijil Perintis?

Tarikh Pengeluaran untuk Sijil Perintis akan ditentukan berdasarkan perkara berikut:

  • Untuk syarikat berasaskan pengeluaran besar-besaran
    Berdasarkan tarikh pertama dalam bulan ketika syarikat mencapai minimum 30% kapasiti pengeluaran terpasang dalam tempoh tiga (3) bulan berturut-turut.
  • Untuk syarikat berasaskan pesanan yang disesuaikan
    Berdasarkan tarikh invois penjualan pertama syarikat.

Berapa lamakah masa yang diperlukan untuk memproses permohonan Sijil Perintis?

Permohonan Sijil Perantis akan diproses dalam masa 30 hari setelah penerimaan permohonan yang lengkap daripada syarikat.

Adakah syarikat dibenarkan untuk melanjutkan permohonan Sijil Perintis sekiranya mereka tidak dapat memenuhi syarat tersebut?

Syarikat boleh memohon untuk mendapatkan lanjutan bagi mendapatkan Sijil Perintis kepada MIDA dalam tempoh 24 bulan daripada tarikh surat kelulusan insentif, dengan memberikan justifikasi dan alasan yang kukuh. Permohonan pelanjutan akan dinilai berdasarkan merit setiap kes.

Bagaimana jika syarikat gagal mengemukakan permohonan Sijil Perintis dalam jangka waktu yang ditentukan dalam surat kelulusan insentif?

MIDA akan memulakan proses penarikan insentif. Untuk pertanyaan lanjut, sila hubungi Bahagian Pematuhan Pelaburan (di sini).

ii. Permohonan Bagi Penentuan Tarikh Berkuatkuasa Elaun Cukai Pelaburan

Bilakah perlu untuk memohon Penentuan Tarikh Berkuatkuasa bagi Elaun Cukai Pelaburan?

Permohonan hendaklah diserahkan kepada MIDA dalam masa 24 bulan mulai tarikh surat kelulusan insentif melalui https://investmalaysia.mida.gov.my.

Berapa lamakah masa yang diperlukan untuk memproses permohonan Penentuan Tarikh Berkuatkuasa Elaun Cukai Pelaburan?

Permohonan akan diproses dalam masa 30 hari setelah penerimaan permohonan yang lengkap daripada syarikat.

iii. Permohonan Pengesahan Pematuhan Elaun Cukai Pelaburan

Bilakah saya perlu memohon ‘Pengesahan Pematuhan bagi Elaun Cukai Pelaburan’?

Permohonan hendaklah diserahkan kepada MIDA dalam tempoh insentif berkesan. Syarikat perlu mendapatkan kelulusan untuk Pengesahan Pematuhan kepada Elaun Cukai Pelaburan sebelum membuat tuntutan cukai dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN). Permohonan hendaklah dibuat secara dalam talian melalui https://investmalaysia.mida.gov.my.

Berapa lamakah masa yang diperlukan untuk memproses permohonan Pengesahan Pematuhan bagi Elaun Cukai Pelaburan?

Permohonan akan diproses dalam masa 30 hari selepas penerimaan permohonan yang lengkap daripada syarikat.

Permohonan Pasca Perlesenan

Bagaimanakah cara untuk membuat pindaan atau perubahan pada Lesen Pengilang saya?

Syarikat yang perlu membuat sebarang pindaan/perubahan pada Lesen Pengilang mereka (seperti pertukaran nama syarikat, pindaan alamat kilang, pertukaran lokasi kilang, salinan dan penggabungan Lesen Pengilang dll.) boleh menyerahkan permohonan pasca pelesenan mereka melalui https://investmalaysia.mida.gov.my.

Bagaimanakah cara untuk mengemas kini atau mengecualikan syarat Lesen Pengilang saya?

Syarikat yang perlu mengemas kini syarat Lesen Pengilang / untuk mengecualikan beberapa syarat (seperti syarat ekuiti dan eksport) boleh menyerahkan permohonan mereka melalui https://investmalaysia.mida.gov.my.

Berapa lamakah masa yang diperlukan untuk memproses permohonan Pasca Perlesenan?

Permohonan akan diproses dalam masa 30 hari selepas penerimaan permohonan yang lengkap daripada syarikat.

Portal InvestMalaysia

Portal Invest Malaysia boleh diakses melalui https://investmalaysia.mida.gov.my.

Siapakah yang boleh saya lantik sebagai Orang Diberi Kuasa untuk syarikat saya?

Sesiapa sahaja dalam syarikat yang memegang jawatan Pengurus dan ke atas boleh menjadi Orang Diberi Kuasa.

Saya telah melantik perunding. Bolehkah mereka menjadi Orang Diberi Kuasa?

Ya. Walau bagaimanapun, syarikat perlu mengeluarkan surat kebenaran sebagai pengesahan pelantikan perunding.

Bolehkah lebih daripada seorang pekerja syarikat dibenarkan untuk mendaftar di Portal InvestMalaysia?

Ya. Sebuah syarikat boleh mendaftarkan lebih daripada seorang pekerja sebagai Orang Perhubungan untuk mengurus akaun InvestMalaysia.

Bagaimanakah cara untuk menambah lebih ramai pekerja sebagai Orang Perhubungan untuk syarikat saya?

Setiap pekerja perlu mendaftar akaun di Portal InvestMalaysia sebelum mereka boleh ditambah sebagai Orang Perhubungan untuk syarikat.

 

Kemudian, Orang Perhubungan tersebut harus mengedit Profil Syarikat dan klik ‘Tambah Rekod’ di bahagian Orang Perhubungan. Langkah yang sama terpakai untuk sebarang perubahan pada Orang Perhubungan untuk syarikat.

Saya ingin memohon Lesen Pengilang dan terdapat empat (4) pilihan iaitu projek baharu/regularisasi/pembesaran/pelbagaian. Pilihan manakah yang harus saya pilih?

Untuk syarikat baharu yang belum memulakan sebarang pengeluaran komersial, sila pilih pilihan ‘Lesen Pengilang Baharu’.
Untuk syarikat sedia ada, sila rujuk penerangan jenis Lesen Pengilang yang berbeza di bawah:-

  • Lesen Pengilangan Regularisasi – syarikat perkilangan sedia ada (dahulunya dikecualikan daripada Lesen Pengilangan) yang telah mencapai syarat utama Lesen Pengilangan iaitu dana pemegang saham sebanyak RM2.5 juta dan ke atas ATAU tenaga kerja sepenuh masa sebanyak 75 orang atau lebih.
  • Lesen Pengilangan Pembesaran – syarikat perkilangan berlesen sedia ada yang bercadang untuk menjalankan pembesaran kapasiti pengeluaran produk yang diluluskannya.
  • Lesen Pengilangan Pelbagaian – syarikat perkilangan berlesen sedia ada yang bercadang untuk menjalankan projek pelbagaian untuk mengeluarkan produk tambahan.

Saya memiliki sebuah syarikat sedia ada. Saya ingin memohon Lesen Pengilang sebagai projek regularisasi/pembesaran/pelbagaian tetapi sistem tidak membenarkan saya memilih jenis permohonan ini. Bagaimanakah cara untuk meneruskannya?

Sila kemas kini rekod anda yang diluluskan dengan MIDA di bahagian Profil Industri. Selepas rekod disahkan oleh MIDA, anda akan dapat memilih jenis permohonan Lesen Pengilang tersebut.

Bagaimanakah cara untuk memohon permohonan Pasca Kelulusan? [cth. Pasca Kelulusan (Lesen Pengilang), Pasca Insentif, Pasca Kelulusan RERO, Pasca Kelulusan Geran, dll.]

Sila kemas kini rekod anda yang diluluskan dengan MIDA di bahagian Profil Industri. Selepas rekod disahkan oleh MIDA, butang Tindakan akan diaktifkan dan senarai permohonan Pasca Pelesenan / Pasca Insentif akan tersedia.

Saluran Pembayaran MIDA

Saluran Pembayaran MIDA boleh diakses melalui https://mpaychannel.mida.gov.my/.

Apakah itu Saluran Pembayaran MIDA?

Saluran Pembayaran MIDA ialah gerbang pembayaran berasaskan Internet yang membolehkan pembayaran masa nyata untuk pembelian dalam talian bagi produk, perkhidmatan atau pembayaran bil. MIDA menawarkan perkhidmatan ini untuk memudahkan dan mempercepat proses pembayaran untuk pihak berkepentingannya. Ketahui lebih lanjut mengenai portal tersebut di sini: https://mpaychannel.mida.gov.my/.

Adakah nama pengguna dan kata laluan sama dengan akaun saya di Portal InvestMalaysia?

Tidak. Saluran Pembayaran MIDA ialah laman web yang berasingan dan tidak dipautkan ke Portal InvestMalaysia. Jika anda pengguna baharu, sila teruskan mendaftar akaun baharu.

Bolehkah saya membuat pembayaran secara tunai atau melalui pemindahan wang?

Tidak. Buat masa ini, pembayaran hanya boleh dibuat secara dalam talian melalui https://mpaychannel.mida.gov.my/.

Adakah mata wang asing selain Ringgit Malaysia (MYR) diterima untuk pembayaran?

Tidak. Bayaran hanya diterima dalam Ringgit Malaysia (MYR).

Apakah kaedah pembayaran yang diterima?

Kami menerima pembayaran melalui kad kredit, “Business-to-Business” (B2B), “Business-to-Consumer” (B2C) dan ‘e-wallet’.

Saya ialah Orang Diberi Kuasa untuk dua (2) syarikat dan telah mendaftar akaun di Saluran Pembayaran MIDA. Bolehkah saya membeli sijil digital untuk syarikat saya yang satu lagi di bawah akaun yang sama atau adakah saya perlu mendaftarkan akaun baharu?

Tidak. Anda perlu mendaftarkan akaun baharu untuk syarikat yang satu lagi.

Bagaimanakah cara untuk mendapatkan salinan resit untuk pembayaran Sijil Digital saya?

Resit boleh dicetak dilaman sesawang https://mpaychannel.mida.gov.my/

 

Sila hubungi Bahagian Kewangan dan Akaun MIDA untuk mendapatkan bantuan lanjut:

Pengarah Bahagian Kewangan dan Akaun

Telefon: +603-2263 2479

Email: [email protected]

Bahagian: https://www.mida.gov.my/ms/staffdirectory/bahagian-pengurusan-kewangan-dan-akaun/

Sijil Digital

Apakah itu Sijil Digital?

Sijil Digital ialah tandatangan elektronik yang memberi pengesahan kepada Orang Diberi Kuasa melalui penggunaan PIN (Nombor Pengenalan Peribadi). Pengesahan Sijil Digital memastikan syarikat telah melantik wakil yang dipercayai sebagai Orang Diberi Kuasa untuk tujuan Sijil Digital.

Mengapakah saya memerlukan Sijil Digital?

ASijil Digital diperlukan untuk penyerahan permohonan melalui Portal InvestMalaysia.

Berapakah kos dan tempoh sah Sijil Digital?

Kos Sijil Digital ialah RM1,000 untuk tempoh sah selama dua (2) tahun.

Bagaimanakah cara untuk membuat pembayaran?

Pembayaran untuk Sijil Digital mesti dibuat melalui Saluran Pembayaran MIDA di www.mpaychannel.mida.gov.my.

Saya telah membuat pembayaran untuk Sijil Digital saya dan mendaftar di laman web POS Digicert MYCRS seperti yang diminta oleh Portal InvestMalaysia. Apakah yang harus saya lakukan seterusnya?

  • Pendaftaran Sijil Digital anda akan diluluskan dalam masa 1 hingga 3 hari bekerja.
  • Semak alamat e-mel berdaftar anda untuk e-mel daripada [email protected].
    Akan terdapat pautan untuk penciptaan pin dan cabaran penyediaan pin. Klik pada pautan dan ikut arahan pada skrin.
  • Sebaik sahaja anda berjaya mencipta pin anda, log masuk ke Portal InvestMalaysia dan pergi ke Profil Syarikat – tatal ke bawah kepada Orang Diberi Kuasa – tatal ke kanan dan klik Sahkan Digicert.
  • • Sistem akan meminta anda memasukkan pin anda. Selepas selesai, status Sijil Digital anda akan bertukar menjadi Disahkan dan anda boleh menyerahkan permohonan anda di InvestMalaysia Portal.

Bagaimanakah cara untuk menyemak status permohonan Sijil Digital saya?

Pergi ke https://mycrs.posdigicert.com.my/. Log masuk dan semak status di bawah bahagian Pengurusan Sijil.

Saya dimaklumkan bahawa Sijil Digital saya telah diluluskan dan e-mel daripada [email protected] telah dihantar kepada saya tetapi saya tidak menerimanya. Apakah yang harus yang saya lakukan?

Sila semak tetapan e-mel anda kerana e-mel untuk kelulusan Sijil Digital mungkin telah dihantar ke folder spam/sarap anda. Jika anda tidak menemui e-mel tersebut, sila semak dasar IT syarikat anda sama ada terdapat sebarang sekatan daripada pengirim ‘no-reply’. Pelayan syarikat anda perlu membenarkan penerimaan e-mel daripada pengirim ‘no-reply’.

Saya masih belum menerima kelulusan Sijil Digital selepas 3 hari bekerja. Apakah yang harus saya lakukan?

Sila hubungi Pegawai Perkhidmatan Pelanggan kami di talian 03 – 2267 3633 atau log laporan di https://investmalaysia.mida.gov.my/EIP/CustomerService.aspx.

Saya berjaya mencipta pin dan status pin adalah aktif di laman web POS Digicert MYCRS. Namun, apabila saya mengklik ‘Sahkan Digicert’ di Portal InvestMalaysia, sistem menunjukkan mesej “ID anda belum mempunyai sebarang Sijil Digital, sila daftarkan yang baharu di laman web DigiCert”. Apakah yang harus saya lakukan?

Semak maklumat di ruang Kad Pengenalan / No. Pasport bagi Orang Diberi Kuasa. Pastikan maklumat berikut dan cuba lagi:-

  • Bagi warga Malaysia, masukkan nombor Kad Pengenalan anda tanpa sebarang sengkang “-” (cth. 770101101001)
  • Bagi bukan warganegara Malaysia, masukkan nombor pasport anda tanpa sebarang aksara khas (cth. P121234)

PIN saya disekat. Bagaimanakah cara untuk menetapkan semula PIN saya?

Pergi ke laman web POS Digicert MYCRS. Klik butang TETAPKAN SEMULA PIN yang terletak di sebelah kanan atas halaman web. Masukkan NRIC atau Nombor Pasport anda (tanpa sebarang sengkang atau aksara khas). Semak alamat e-mel berdaftar anda untuk e-mel daripada [email protected]. E-mel ini mengandungi pautan untuk menetapkan semula PIN anda. Klik pada pautan dan ikut arahan pada skrin untuk meneruskannya.

Orang Diberi Kuasa dalam syarikat saya sudah mempunyai Sijil Digital (sijil dikeluarkan) tetapi kami tidak dapat menyerahkan permohonan kami. Apakah yang harus saya lakukan?

Sila sahkan Sijil Digital anda di Portal InvestMalaysia:

  • Pergi ke Profil Syarikat – tatal ke bawah kepada Orang Diberi Kuasa – tatal ke kanan dan klik Sahkan Digicert.
  • Sistem akan menggesa anda memasukkan pin anda.
  • Selepas selesai, status Sijil Digital anda akan bertukar menjadi disahkan dan anda boleh menyerahkan permohonan anda.

Bagaimanakah cara untuk mendapatkan salinan resit bagi pembayaran Sijil Digital?

Sila hubungi Bahagian Kewangan dan Akaun MIDA untuk mendapatkan bantuan:

 

Pengarah Bahagian Kewangan dan Akaun

Telefon: +603-2263 2479

Maklumat Perhubungan Bahagian https://www.mida.gov.my/ms/staffdirectory/bahagian-pengurusan-kewangan-dan-akaun/

Saya telah membeli Sijil Digital terus dari laman web POS Digicert MYCRS. Namun, saya memerlukan bayaran balik. Bagaimanakah cara untuk meminta bayaran balik?

Sila hubungi POS Digicert di talian 03 – 8800 8008 atau e-mel [email protected].

Saya mempunyai dua (2) syarikat. Bolehkah saya menggunakan Sijil Digital yang sama untuk kedua-dua syarikat?

Tidak. Setiap syarikat perlu mempunyai Sijil Digital yang tersendiri. Sijil Digital terikat dengan Kad Pengenalan Orang Diberi Kuasa dan nombor Pendaftaran Syarikat (ROC).

Pelarasan Harga untuk Sijil Digital (DigiCert)

Berapakah harga terkini DigiCert?

Berkuatkuasa mulai 6 Jun 2023, harga terkini Sijil Digital (DigiCert) ialah RM1,000 untuk tempoh sah selama dua (2) tahun.

Berapa lamakah tempoh sah laku DigiCert?

Dua (2) tahun dan syarikat boleh memperbaharui DigiCert selepas dua (2) tahun./a>.

Tarikh kuat kuasa harga terkini DigiCert?

6hb Jun 2023

Mengapakah harga DigiCert dinaikkan?

Semakan terakhir pelarasan harga telah dibuat pada 2017. Sistem dalam talian MIDA telah ditambahbaik sejak 1 April 2021 yang membolehkan pihak berkepentingan memohon pelbagai perkhidmatan melalui portal InvestMalaysia.

Apakah perbezaan antara sistem sebelum ini dengan sistem atas talian MIDA yang terkini?

Sebelum ini, sistem ini hanya menyediakan satu (1) modul aplikasi dan kini telah ditambah baik sehingga dua puluh lima (25) modul aplikasi.

Adakah sebab lain mengapa harga dinaikkan?

Pelarasan ini perlu disebabkan peningkatan kos penyelenggaraan dan peningkatan infrastruktur dalam talian kami.

wpChatIcon