B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Tahap Keyakinan Pelabur Terhadap Malaysia Semakin Memuncak

Tahap Keyakinan Pelabur Terhadap Malaysia Semakin Memuncak

Malaysia Mencatatkan Pelaburan Yang Diluluskan Berjumlah RM193.7 Bilion (USD41.7 Bilion) Bagi Tempoh Januari-September 2022

  • Malaysia merekodkan RM193.7 bilion (USD41.7 bilion) pelaburan yang diluluskan dalam sektor perkhidmatan (RM113.3 bilion atau USD24.4 bilion), sektor perkilangan (RM64.9 bilion atau USD14 bilion), dan sektor utama (RM15.5 bilion or USD3.3 bilion), iaitu peningkatan 2.5 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2021.
  • Pelaburan Langsung Asing (FDI) kekal sebagai penyumbang utama bagi jumlah pelaburan yang diluluskan sebanyak 67.5 peratus atau RM130.7 bilion (USD28.1 bilion), iaitu peningkatan 15 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2021, sementara Pelaburan Langsung Domestik (DDI) menyumbang 32.5 peratus atau RM63 bilion (USD13.6 bilion).
  • Republik Rakyat China (RRC) mendominasi pelaburan asing berjumlah RM49.2 bilion (USD10.6 bilion).
  • Lima (5) negeri telah merekodkan nilai pelaburan yang signifikan terhadap jumlah pelaburan yang diluluskan termasuk Johor (RM63.9 bilion) (USD13.8 bilion), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (RM26.1 bilion) (USD5.6 bilion), Selangor (RM25.7 bilion) (USD5.5 bilion), Sarawak (RM17.6 bilion) (USD3.8 bilion) dan Kedah (RM12.1 bilion) (USD2.6 bilion).
  • Pelaburan yang diluluskan untuk tempoh ini bakal menjana 98,414 peluang pekerjaan baharu di Malaysia.
  • Sektor perkhidmatan di Malaysia merekodkan projek-projek bernilai RM113.3 bilion (USD24.4 bilion) untuk tempoh Januari – September 2022, berbanding RM70.4 bilion (USD16.8 bilion) untuk tempoh yang sama pada 2021, iaitu peningkatan sebanyak 60.9 peratus.

Kuala Lumpur, 14 Disember 2022 – Malaysia kekal sebagai destinasi pelaburan terunggul dan pangkalan para pelabur global untuk mengembangkan perniagaan. Para pelabur terus menunjukkan keyakinan untuk melabur di Malaysia kerana kepimpinan kerajaan baharu memberi tumpuan untuk mengukuhkan pembangunan ekonomi negara dan mengekalkan reputasi Malaysia sebagai sebuah destinasi pelaburan yang stabil.

Malaysia telah menarik sejumlah RM193.7 bilion (USD41.7 bilion) pelaburan yang diluluskan dalam sektor perkilangan, sektor perkhidmatan dan sektor utama yang melibatkan 2,786 projek bagi tempoh Januari sehingga September 2022 dan dijangka mewujudkan 98,414 peluang pekerjaan di negara ini. Pencapaian ini merupakan peningkatan 2.5 peratus berbanding RM188.9 bilion (USD45.1 bilion) pelaburan yang diluluskan pada tempoh yang sama tahun lepas.

YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), menyatakan, “Kejayaan Malaysia menarik hampir RM194 bilion pelaburan yang diluluskan bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun ini adalah bukti kedudukannya sebagai destinasi pelaburan utama di Asia. Rantaian bekalan yang mantap, struktur kos yang kompetitif, proses operasi perniagaan yang dipermudahkan, inovasi dan keupayaan teknologi canggih, serta bakat tempatan yang terlatih menjadi pemangkin untuk memacu pertumbuhan ekonomi mampan. Memandang ke hadapan, MITI dan agensi-agensinya juga akan memastikan agar peluang pelaburan baharu akan membina kapasiti dan modal insan yang sesuai di dalam industri sasaran bagi membina ekonomi negara secara mampan”.

FDI kekal sebagai penyumbang utama sebanyak 67.5 peratus atau RM130.7 bilion (USD28.1 bilion), sementara DDI menyumbang 32.5 peratus atau RM63 bilion (USD13.6 bilion).  Ini merupakan peningkatan sebanyak 15 peratus berbanding FDI yang diluluskan pada tempoh yang sama tahun 2021.

Daripada jumlah pelaburan yang diluluskan, Republik Rakyat China (RRC) mendominasi pelaburan asing sebanyak RM49.2 bilion (USD10.6 bilion). Ini diikuti oleh Amerika Syarikat (RM16.9 bilion) (USD3.6 bilion), Belanda (RM16.5 bilion) (RM3.6 bilion), Jerman (RM9.2 bilion) (USD2 bilion) dan Singapura (RM8.7 bilion) (USD1.9 bilion).

Lima (5) negeri telah merekodkan pelaburan diluluskan yang signifikan termasuk Johor (RM63.9 bilion) (USD13.8 bilion), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (RM26.1 bilion) (USD5.6 bilion), Selangor (RM25.7 bilion) (USD5.5 bilion), Sarawak (RM17.6 bilion) (USD3.8 bilion) dan Kedah (RM12.1 bilion) (USD2.6 bilion).

Dalam tempoh ini, sektor perkhidmatan memainkan peranan penting dalam memacu pemulihan ekonomi negara, merangkumi 58.5 peratus daripada jumlah pelaburan yang diluluskan dengan nilai RM113.3 bilion (USD24.4 bilion). Prestasi cemerlang sektor perkhidmatan telah melangkaui jangkaan bagi Januari hingga September 2022, dengan peningkatan sebanyak 60.9 peratus berbanding pencapaian dalam tempoh yang sama pada tahun 2021. Ini diikuti dengan sektor perkilangan dengan RM64.9 bilion (USD14 bilion) atau 33.5 peratus dan sektor utama pada RM15.5 bilion (USD3.3 bilion) atau 8 peratus.

YBhg. Datuk Wira Arham Abdul Rahman, Ketua Pegawai Eksekutif MIDA berkata, “Malaysia mempunyai jenama yang baik di persada antarabangsa dan merupakan sebuah negara yang diyakini para pelabur. Negara ini mempunyai asas yang kukuh dalam membuka peluang pelaburan dan perniagaan kepada para pelabur. Dengan iklim pelaburan yang menarik, negara bersedia menjadi hab ekonomi besar yang semakin mendapat perhatian dalam kalangan pelabur. Malaysia menawarkan pelbagai ciri-ciri kompetitif untuk syarikat-syarikat tampil maju di pasaran antarabangsa melalui kedudukannya yang strategik di Selat Melaka, ekosistem industri yang komprehensif dikelilingi dengan kekayaan sumber asli serta populasi yang muda, berbakat dan berdaya saing.”

“Kerajaan sedang giat melaksanakan langkah-langkah yang agresif dalam menarik lebih banyak projek yang berkualiti tinggi, berimpak tinggi dan berintensifkan modal dalam sektor perkilangan serta perkhidmatan. Projek-projek ini dijangka akan menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara. Kerajaan akan terus memberikan tumpuan dalam ekonomi digital, tenaga dan aktiviti perkilangan bernilai tinggi seperti teknologi pengangkutan termasuk kenderaan elektrik dan ekosistemnya yang bakal menyumbang kepada potensi ekonomi yang ketara dan pembangunan jangka panjang yang mampan.” tambah Datuk Wira Arham.

Sektor Perkhidmatan Menerajui Pelaburan Yang Diluluskan

Malaysia sedang pesat berkembang sebagai salah satu daripada ekonomi yang dilengkapi teknologi di Asia. Melalui digitalisasi, Malaysia merupakan destinasi pelaburan yang unggul untuk para pelabur domestik dan antarabangsa. Transformasi digital adalah penting untuk perniagaan yang merangkumi pelbagai saiz dan industri. Kebanyakan perniagaan kini sedang melalui peralihan digital dan bersiap sedia ke arah pembesaran yang pantas. Perkhidmatan-perkhidmatan baharu telah diperkenalkan melalui penciptaan Internet Kebendaan (IoT), kecerdasan buatan (AI) dan pengkomputeran awan (cloud computing).

Bagi tempoh ini, sektor perkhidmatan merangkumi sebahagian besar daripada jumlah pelaburan yang diluluskan, sebanyak RM113.3 bilion (USD24.4 bilion) daripada 2,167 projek yang menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara. Ini merupakan peningkatan yang memberangsangkan berbanding RM70.4 bilion (USD16.8 bilion) pelaburan yang diluluskan untuk sektor perkhidmatan pada tempoh yang sama tahun lepas. Sejumlah 39,772 pekerjaan baharu dijangka akan diwujudkan dalam sektor perkhidmatan.

Berdasarkan jumlah pelaburan yang diluluskan untuk tempoh Januari hingga September 2022, pelaburan asing merekodkan jumlah terbesar, iaitu RM69 bilion (USD14.9 bilion) atau 60.9 peratus daripada jumlah pelaburan yang diluluskan untuk sektor perkhidmatan, manakala baki 39.1 peratus atau RM44.3 bilion (USD9.5 bilion) adalah daripada sumber domestik.

Subsektor maklumat dan komunikasi mendominasi sektor perkhidmatan, dengan pelaburan yang diluluskan bernilai RM69.2 bilion (USD14.9 bilion) atau 61.1 peratus. Daripada jumlah pelaburan yang diluluskan dalam subsektor ini, lima (5) perkhidmatan Maklumat dan Komunikasi Teknologi termasuk pusat data dan perkhidmatan pengkomputeran awan diluluskan dengan pelaburan berjumlah RM60.7 bilion (USD13.1 bilion) atau 87.7 peratus.

Antara subsektor berprestasi yang merekodkan sejumlah besar pelaburan yang diluluskan adalah hartanah (RM16.9 bilion) (USD3.6 bilion), perkhidmatan kewangan (RM9 bilion) (USD1.9 bilion), utiliti (RM7.5 bilion) (USD1.6 bilion) dan perdagangan pengedaran (RM3.7 bilion) (USD0.8 bilion).

Enam (6) subsektor yang menunjukkan perkembangan positif dari segi peratusan peningkatan pelaburan yang diluluskan merupakan maklumat dan komunikasi, dengan peningkatan sebanyak 1,101.1 peratus. Ini diikuti dengan perkhidmatan lain dengan peningkatan sebanyak 244.4 peratus, perkhidmatan pendidikan (175 peratus), utiliti (15.5 peratus), perdagangan pengedaran (9.7 peratus) dan perkhidmatan kewangan (3.2 peratus).

Di antara projek utama yang diluluskan dalam sektor perkhidmatan adalah syarikat Bridge Data Centres Malaysia III Sdn. Bhd., ByteDance System Sdn. Bhd., dan YTL Power International Berhad. Projek infrastruktur digital ini akan memacu pertumbuhan Malaysia ke arah ekonomi yang mendahulukan digital. Selain pelaburan digital, projek utama lain dalam sektor perkhidmatan termasuk Mamee Double Decker Ditsribution (M) Sdn. Bhd. (Mamee) yang telah membangunkan Pusat Ibu Pejabat Serantau mereka untuk mengurus aktiviti rantaian bekalan merentasi fasiliti pengilangan syarikat di rantau ini dan menyelaraskan pengedaran produk ke negara-negara di seluruh dunia.

Pelaburan oleh syarikat tempatan seperti Mamee, membuktikan peranan penting DDI dalam membantu membangunkan ekosistem untuk menyokong perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta memperkasakan kedudukan Malaysia dalam membangunkan keupayaan PKS untuk diintegrasi ke dalam rantaian bekalan global.

Sektor Perkilangan Kekal Berdaya Saing

Malaysia terus menarik pelaburan berkualiti tinggi dalam sektor perkilangan bagi tempoh Januari hingga September 2022, mencerminkan daya saing negara sebagai lokasi pelaburan yang terpilih di rantau ini. Sektor perkilangan menyumbang RM64.9 bilion (USD14 bilion) (33.5 peratus) daripada jumlah pelaburan yang diluluskan dalam pelbagai sektor ekonomi, berbanding RM103.9 bilion (USD24.8 bilion) untuk tempoh yang sama pada 2021. Kelulusan beberapa projek besar merupakan penyumbang kepada rekod jumlah pelaburan diluluskan yang tinggi dalam sektor perkilangan pada tempoh yang sama pada 2021.

Daripada jumlah pelaburan yang diluluskan pada Januari hingga September 2022 untuk sektor perkilangan, FDI menyumbang kepada RM50.2 bilion (USD10.8 bilion) (77.3 peratus) sementara pelaburan domestik menyumbang baki RM14.7 bilion (USD3.2 bilion) (22.7 peratus).

Daripada pelaburan yang diluluskan dalam sektor perkilangan berjumlah RM64.9 bilion (USD14 bilion), pelaburan untuk projek pembesaran/kepelbagaian menunjukkan perkembangan positif dengan peningkatan sebanyak 51 peratus, iaitu sebanyak RM40.2 bilion (USD8.7 bilion) pada Januari hingga September 2022, berbanding tempoh yang sama pada 2021. Baki RM24.7 bilion (USD5.3 bilion) direkodkan daripada projek-projek baharu.

Antara industri yang menunjukkan prestasi pelaburan yang memberangsangkan untuk tempoh ini adalah elektrikal dan elektronik (E&E) dengan mencatatkan pelaburan tertinggi bagi sektor perkilangan (RM22.6 bilion) (USD4.9 bilion), diikuti dengan peralatan pengangkutan (RM7.5 bilion) (USD1.6 bilion), produk petroleum (termasuk petrokimia) (RM5.5 bilion) (USD1.2 bilion), produk galian bukan logam (RM5.4 bilion) (USD1.2 bilion), jentera dan kelengkapan (RM4 bilion) (USD0.9 bilion), peralatan pengukuran dan saintifik (RM3.6 bilion) (USD0.8 bilion), pengilangan makanan (RM3.2 bilion) (USD0.7 bilion) dan produk getah (RM3.2 bilion) (USD0.7 bilion). Kesemua industri ini merangkumi RM54.9 bilion (USD11.8 bilion) (84.6 peratus) daripada jumlah pelaburan yang diluluskan dalam sektor ini.

Sebanyak 58,141 peluang pekerjaan dijangka akan diwujudkan untuk sektor perkilangan, yang memerlukan 2,631 (4.5 peratus) jawatan pengurusan, 6,277 (10.8 peratus) peranan profesional/teknikal dan penyeliaan, menandakan peralihan rantaian nilai yang lebih tinggi bagi sektor perkilangan. Projek perkilangan yang diluluskan juga akan memerlukan 12,040 (20.7 peratus) pekerja mahir.

Antara projek utama yang diluluskan dalam sektor perkilangan bagi tempoh ini termasuk:

  • Samsung SDI Energy Malaysia Sdn. Bhd. yang mencatatkan kejayaan baharu dalam pembukaan kemudahan pembuatan sel bateri EV Fasa Dua di Malaysia. Gergasi semikonduktor dari Korea tersebut telah melaksanakan pelaburan terkumpul sebanyak RM7 bilion merangkumi Fasa Satu: RM1 bilion dan Fasa Dua: RM6 bilion dengan memilih Malaysia sebagai lokasi pengeluaran pertamanya di Asia Tenggara.
  • TF-AMD Microelectronics Sdn. Bhd. telah mengumumkan rancangan untuk mengembangkan kemudahan perkilangannya di Pulau Pinang dengan pembinaan tapak kedua di Taman Perindustrian Batu Kawan, Pulau Pinang. Dengan pelaburan modal hampir RM2 bilion, kemudahan pembuatan baharu itu dijangka mewujudkan lebih 3,000 pekerjaan baharu dalam bidang kejuruteraan semikonduktor termaju, reka bentuk dan teknologi proses untuk penyelesaian pengkomputeran berprestasi tinggi. Pengembangan strategik melalui pelaburan penting oleh TF-AMD di Malaysia sepanjang 50 tahun ini akan menyokong pertumbuhan berterusan syarikat tersebut.
  • Ferrotec Holdings Corporation, pembekal global bahan, komponen dan sistem ketepatan penyelesaian (precision system solutions), telah mengumumkan pembinaan kemudahan pembuatan baharu di Kulim Hi-Tech Park, Kedah. Kilang yang bakal menjalankan kerja pemasangan elektro-mekanik dan fabrikasi bahan termaju bagi peralatan semikonduktor, berhasrat untuk memenuhi keperluan pelanggan sambil mengembangkan perniagaan kumpulan syarikat di serata dunia.
  • Smart Glove Holdings Berhad, salah satu pengeluar sarung tangan inovatif terkemuka di Malaysia telah mengembangkan kapasiti pengeluaran dengan pelaburan berjumlah RM2 bilion. Pelbagai jenis sarung tangan perubatan syarikat ini diperbuat daripada bahan nitril, getah asli, polychloroprene dan getah sintetik lain, bagi memastikan keberdayasaingan industri asli pembuatan sarung tangan Malaysia di pasaran dunia.

Sektor Utama

Sektor utama mencatatkan sejumlah RM15.5 bilion (USD3.3 bilion) pelaburan yang diluluskan (8 peratus) daripada jumlah pelaburan yang diluluskan dalam pelbagai sektor ekonomi bagi tempoh Januari hingga September 2022, berbanding RM14.7 bilion (USD3.5 bilion) pelaburan diluluskan untuk tempoh yang sama pada 2021. FDI mendominasi sektor utama dengan pelaburan bernilai RM11.5 bilion (USD2.5 bilion) (74.2 peratus), manakala baki RM4 bilion (USD0.9 bilion) (25.8 peratus) adalah daripada sumber domestik.

Subsektor pertanian menyumbang RM142.9 juta (USD30.8 juta) kepada jumlah pelaburan yang diluluskan, merangkumi 760.9 peratus peningkatan daripada pelaburan sebanyak RM16.6 juta (USD4 juta) dalam tempoh yang sama pada 2021. Manakala, subsektor perladangan dan komoditi merekodkan RM109.1 juta (USD23.5 juta) pelaburan yang diluluskan, suatu peningkatan sebanyak 28.7 peratus daripada pelaburan berjumlah RM84.8 juta (USD20.2 juta) untuk tempoh yang sama pada 2021.

Sehingga November 2022, MIDA telah mengenalpasti 285 projek dengan cadangan pelaburan sebanyak RM19.9 bilion (USD4.4 bilion); di mana 247 projek adalah daripada sektor perkhidmatan (RM13.7 bilion) (USD3 bilion), manakala 38 projek adalah daripada sektor perkilangan (RM6.2 bilion) (USD1.4 bilion), kesemuanya di bawah bidang kuasa dan penyeliaan MIDA.

Ekonomi Malaysia sedang berkembang pesat. Dipacu oleh pembaharuan yang berterusan dan usaha pendigitalan mutakhir ini, negara sedang menempuhi fasa pemulihan ekonomi yang paling kukuh sejak pandemik dua tahun lalu, yang telah merencatkan ekonomi global. Dengan kerjasama utuh bersama MITI, MIDA terus mempergiatkan usaha menarik pelaburan dalam industri sasaran dari seluruh dunia untuk menaiktaraf ekosistem perindustrian dan lanskap perdagangan Malaysia. Inisiatif ini termasuklah menawarkan kemudahan fasilitasi perniagaan dan rangkaian nilai yang diperlukan kepada syarikat asing, tempatan dan syarikat pemula untuk memastikan operasi mereka dalam pasaran yang dinamik ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya. Iltizam kerajaan adalah untuk membantu perniagaan supaya berjaya, seterusnya menjadikan Malaysia destinasi yang ideal untuk syarikat-syarikat mencapai keseluruhan potensi yang optimum.

Kerajaan akan terus gigih berusaha dan berikhtiar untuk meneroka sektor pertumbuhan baharu dan memperkasakan perniagaan dan komuniti tempatan di samping menegakkan prinsip integriti, tata kelola yang baik dan kedaulatan undang-undang, serta menggalakkan keterangkuman dan pembangunan mampan melalui prinsip Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dan Dasar Pelaburan Baharu (NIP) berpaksikan Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA).

*****

Mengenai MIDA

MIDA adalah agensi promosi dan pembangunan pelaburan utama Kerajaan di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) untuk menyelaras dan menggalakkan pelaburan ke dalam sektor perkilangan dan perkhidmatan di Malaysia. Beribu pejabat di Kuala Lumpur Sentral, MIDA mempunyai 12 pejabat wilayah dan 21 pejabat luar negara. MIDA terus menjadi rakan strategik bagi perniagaan dalam merebut peluang yang timbul dari revolusi teknologi pada era masa kini. Untuk maklumat lebih lanjut, sila layari www.mida.gov.my dan ikuti kami di saluran Twitter, Instagram, Facebook, LinkedIn, TikTok dan YouTube.

Untuk pertanyaan media, sila hubungi:

Puan Fatmah Ahmad
Pengarah, Bahagian Komunikasi Korporat, MIDA
Emel: [email protected] | Tel: +603-2267 2428

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon