B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Malaysia Merekodkan Pelaburan Yang Diluluskan Sebanyak RM123.3 Billion Pada Januari – Jun 2022

Malaysia Merekodkan Pelaburan Yang Diluluskan Sebanyak RM123.3 Billion Pada Januari – Jun 2022

Malaysia Terus Menjadi Destinasi Pelaburan Menarik untuk Pelaburan Langsung Asing (FDI) dan Pelaburan Langsung Domestik (DDI) Bagi Memacu Pertumbuhan Ekonomi Negara

  • Malaysia merekodkan RM123.3 bilion (USD28.0 bilion) pelaburan yang diluluskan dalam sektor perkilangan (RM43.1 bilion atau USD9.8 bilion), sektor perkhidmatan (RM78.0 bilion atau USD17.7 bilion) dan sektor utama (RM2.2 bilion atau USD0.5 bilion).
  • Pelaburan Langsung Asing (FDI) kekal sebagai penyumbang utama bagi jumlah pelaburan yang diluluskan pada 70.9 peratus atau RM87.4 bilion (USD19.9 bilion).
  • Pelaburan yang diluluskan untuk tempoh ini bakal menjana 57,771 peluang pekerjaan baharu di negara ini.
  • Sektor perkhidmatan di Malaysia memperoleh pelaburan bernilai RM78.0 bilion (USD17.7 bilion) untuk separuh pertama tahun 2022, berbanding RM52.4 bilion (USD12.6 bilion) yang diperolehnya untuk tempoh yang sama pada 2021, peningkatan besar sebanyak 48.8 peratus.

Kuala Lumpur, 02 September 2022 – Malaysia kekal sebagai destinasi pelaburan yang menarik untuk pembesaran perniagaan global dan serantau dengan jumlah Pelaburan Langsung Asing (FDI) dan Pelaburan Langsung Domestik (DDI) yang terus berkembang untuk tempoh Januari hingga Jun 2022. Ekonomi negara berada pada landasan pemulihan yang kukuh sejak pembukaan semula sempadan pada tahun lalu. Disokong oleh ekosistem perindustrian yang teguh, peningkatan permintaan dalam negeri dan langkah-langkah pembendungan yang memudahkan, prestasi ekonomi Malaysia terus pulih dan berkembang dengan kukuh.

Selain daripada peningkatan jumlah kehadiran syarikat-syarikat multinasional ke Malaysia, syarikat-syarikat Malaysia juga telah memanfaatkan kehadiran mereka di sini dengan membina keupayaan untuk menyediakan produk-produk dan perkhidmatan yang diperlukan oleh syarikat-syarikat global ini.

Malaysia telah menarik sejumlah RM123.3 bilion (USD28.0 bilion) pelaburan yang diluluskan dalam sektor perkilangan, perkhidmatan dan utama yang melibatkan 1,714 projek bagi tempoh Januari hingga Jun 2022 dan dijangka mewujudkan 57,771 peluang pekerjaan di negara ini. FDI kekal sebagai penyumbang utama, pada 70.9 peratus atau RM87.4 bilion (USD19.9 bilion), manakala pelaburan daripada sumber domestik menyumbang 29.1 peratus berjumlah RM35.9 bilion (USD8.2 bilion).

Dalam tempoh ini, sektor perkhidmatan memainkan peranan penting dalam memacu pemulihan ekonomi negara, menyumbang 63.3 peratus daripada jumlah pelaburan yang diluluskan iaitu sebanyak RM78.0 bilion (USD17.7 bilion). Prestasi cemerlang bagi sektor perkhidmatan melebihi jangkaan bagi Januari hingga Jun 2022, dengan peningkatan sebanyak 48.8 peratus daripada pencapaian yang dicapai dalam tempoh yang sama pada 2021. Ini diikuti oleh sektor perkilangan sebanyak RM43.1 bilion (USD9.8 bilion) atau 34.9 peratus dan sektor utama pada RM2.2 bilion (USD0.5 bilion) atau 1.8 peratus.

FDI menyumbang 70.9 peratus daripada pelaburan yang diluluskan, bernilai RM87.4 bilion (USD19.9 bilion). Daripada jumlah pelaburan yang diluluskan, Republik Rakyat China (RRC) mendominasi pelaburan asing bagi tempoh Januari hingga Jun 2022, dengan pelaburan berjumlah RM48.6 bilion (USD11.0 bilion). Ini diikuti oleh Jerman (RM9.0 bilion) (USD2.0 bilion), Singapura (RM6.0 bilion) (USD1.4 bilion), Brunei (RM5.1 bilion) (USD1.2 bilion), dan Belanda ( RM4.1 bilion) (USD0.9 bilion).

Bagi projek yang diluluskan mengikut negeri, lima (5) negeri utama iaitu Johor, Selangor, Sabah, Kedah dan Pulau Pinang menyumbang RM103.5 bilion (USD23.5 bilion) atau 83.9 peratus daripada jumlah pelaburan yang diluluskan dari Januari hingga Jun 2022.

YB. Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, Menteri Kanan dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) menyatakan, “Malaysia berada di trajektori yang tepat untuk mendapatkan lebih banyak projek berkualiti tinggi, berimpak tinggi dan berintensifkan modal, dengan sektor perkhidmatan menjadi pemacu pertumbuhan utama ekonomi dan penyumbang terbesar bagi pelaburan yang diluluskan untuk separuh pertama tahun ini. Untuk mengekalkan momentum, MITI akan terus memperkukuh daya saing negara dengan meningkatkan tahap kompleksiti  ekonomi, memupuk ekosistem perindustrian yang kukuh dengan keamatan inovasi yang tinggi, meningkatkan keterangkuman melalui penciptaan pekerjaan berpendapatan tinggi dan menggalakkan peluang dalam rantaian bekalan serantau dan global. Didorong oleh Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA), MITI akan mempergiatkan tumpuan ke arah sektor seperti ekonomi digital, elektrikal dan elektronik (E&E), farmaseutikal, kimia dan aeroangkasa dengan potensi ekonomi yang ketara dan pertumbuhan jangka panjang yang mampan.”

Kerajaan Malaysia telah merangka misi perdagangan dan pelaburan (TIM) yang strategik tertumpu dan bersasar untuk meraih pelaburan dalam industri teknologi tinggi, inovasi dan dipacu penyelidikan yang akan melengkapkan dan mengukuhkan lagi ekosistem perindustrian Malaysia.

Sektor Perkhidmatan Menerajui Pelaburan Yang Diluluskan

Sektor perkhidmatan yang pelbagai di Malaysia terus mengadaptasi pendigitalan untuk meningkatkan rantaian nilai dan meningkatkan kecekapan operasi apabila trend kerja jauh dan automasi telah dipercepatkan semasa kita beralih ke era baharu endemik. Perkhidmatan baru telah menjadi kenyataan melalui ciptaan Internet Kebendaan (IoT), Kecerdasan Buatan (AI) dan rangkaian awan telah mentakrifkan semula kepentingan sektor perkhidmatan dalam ekonomi Malaysia.

Pejabat Pelaburan Digital (DIO), iaitu platform kerjasama digital sepenuhnya antara MIDA dan MDEC, telah ditubuhkan untuk menyelaraskan usaha menarik pelaburan digital ke dalam negara sambil menyediakan kemudahan hujung ke hujung kepada pelabur, sekali gus membantu pelabur merealisasikan pengembangan pertumbuhan perniagaan mereka di Malaysia. Pejabat ini komited untuk menarik pelaburan yang bernilai tinggi, mampan dan berteknologi.

Ini selaras dengan matlamat kerajaan untuk menarik pelaburan RM70.0 bilion (USD15.6 bilion) bagi mempercepatkan usaha pendigitalan menjelang 2025. Inisiatif ini tepat pada masanya dan selaras dengan evolusi landskap pelaburan global ke arah pendigitalan dan Industri 4.0, mewujudkan cadangan nilai yang unik dan menarik untuk projek digital yang melibatkan projek infrastruktur digital seperti pusat data dan kabel dasar laut serta projek teknologi digital yang menggunakan teknologi IR4.0 seperti pengkomputeran awan, Kecerdasan Buatan (AI) dan analisis data besar.

Bagi tempoh ini, sektor perkhidmatan merupakan penyumbang bahagian terbesar daripada jumlah pelaburan yang diluluskan, dengan nilai pelaburan berjumlah RM78.0 bilion (USD17.7 bilion) daripada 1,351 projek yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara. Ini merupakan peningkatan ketara berbanding pelaburan RM52.4 bilion (USD12.6 bilion) yang diluluskan untuk sektor perkhidmatan dalam tempoh yang sama tahun lepas. Sebanyak 22,569 pekerjaan baharu bakal diwujudkan dalam sektor perkhidmatan.

Berdasarkan jumlah pelaburan yang diluluskan untuk separuh pertama tahun 2022, pelaburan asing merupakan bahagian terbesar, mencatatkan RM50.4 bilion (USD11.5 bilion) atau 64.6 peratus daripada jumlah pelaburan yang diluluskan untuk sektor perkhidmatan, manakala baki 35.4 peratus atau RM27.6 bilion (USD6.3 bilion) adalah daripada sumber domestik.

Dari segi subsektor berprestasi tinggi bagi tempoh tersebut, subsektor maklumat dan komunikasi mendominasi sektor perkhidmatan, dengan pelaburan diluluskan bernilai RM53.7 bilion (USD12.2 bilion) atau 68.8 peratus. Daripada jumlah pelaburan yang diluluskan bagi subsektor ini, tiga (3) projek pusat data telah diluluskan dengan pelaburan terkumpul berjumlah RM51.1 bilion (USD11.6 bilion) atau 95.2 peratus.

Antara subsektor berprestasi lain yang menyumbang kepada jumlah besar pelaburan yang diluluskan ialah hartanah (RM11.0 bilion) (USD2.5 bilion), utiliti (RM4.8 bilion) (USD1.1 bilion), perdagangan pengedaran (RM2. 1 bilion) (USD0.5 bilion) dan hotel dan pelancongan (RM1.8 bilion) (USD0.4 bilion).

Lima (5) subsektor menunjukkan perkembangan positif dari segi peratusan kenaikan pelaburan yang diluluskan iaitu maklumat dan komunikasi, dengan anjakan peningkatan sebanyak 1,300 peratus. Ini diikuti oleh lain-lain perkhidmatan dengan peningkatan sebanyak 153.4 peratus, hotel dan pelancongan (15.3 peratus), perdagangan pengedaran (14.3 peratus), dan utiliti (7.2 peratus).

Di antara projek utama yang diluluskan dalam sektor perkhidmatan adalah syarikat dari Republik Rakyat China iaitu Bridge Data Centres Malaysia III Sdn. Bhd. dan ByteDance System Sdn. Bhd., serta syarikat tersenarai awam Malaysia YTL Power International Berhad. Ketiga-tiga (3) adalah projek pusat data. Projek-projek ini adalah bukti ketersediaan dan daya tarikan Malaysia untuk menempatkan lebih banyak projek pelaburan digital dalam masa terdekat.

Sektor Perkilangan

Malaysia terus menarik pelaburan berkualiti tinggi dalam sektor perkilangan bagi tempoh Januari hingga Jun 2022, yang mencerminkan daya saing negara sebagai lokasi pilihan pelaburan di rantau ini. Sektor perkilangan menyumbang RM43.1 bilion (USD9.8 bilion) (34.9 peratus) daripada jumlah pelaburan yang diluluskan dalam pelbagai sektor ekonomi, berbanding RM75.8 bilion (USD18.3 bilion) untuk tempoh yang sama pada 2021. Kelulusan sebuah projek mega merupakan faktor utama jumlah pelaburan diluluskan yang tinggi dalam sektor perkilangan bagi separuh pertama tahun 2021.

Dari jumlah pelaburan yang diluluskan pada 1H2022 untuk sektor perkilangan, FDI menyumbang sebanyak RM35.5 bilion (USD8.1 bilion) (82.4 peratus), manakala pelaburan domestik menyumbang kepada baki RM7.6 bilion (USD1.7 bilion) (17.6 peratus).

Dari RM43.1 bilion (USD9.8 bilion) pelaburan yang diluluskan dalam sektor perkilangan, pelaburan untuk projek pembesaran/kepelbagaian menunjukkan perkembangan positif dengan peningkatan sebanyak 31.9 peratus berjumlah RM26.0 bilion (USD5.9 bilion) bagi separuh pertama tahun 2022, berbanding tempoh yang sama pada 2021. Manakala baki RM17.1 bilion (USD3.9 bilion) direkodkan daripada projek baharu.

Dari segi industri berprestasi tinggi untuk tempoh ini, produk elektrikal dan elektronik (E&E) mendahului sektor perkilangan (RM19.4 bilion) (USD4.4 bilion), diikuti oleh produk petroleum (termasuk petrokimia) (RM5.1 bilion) (USD1.2 bilion), produk galian bukan logam (RM4.8 bilion) (USD1.1 bilion), peralatan pengukuran dan saintifik (RM3.6 bilion) (USD0.8 bilion), produk logam fabrikasi (RM2.8 bilion) (USD0.6 bilion), kimia dan produk kimia (RM1.5 bilion) (USD0.3 bilion), jentera dan kelengkapan (RM1.4 bilion) (USD0.3 bilion), serta pengilangan makanan (RM1.1 bilion ) (USD0.3 bilion). Industri ini merangkumi RM39.5 bilion (USD9.0 bilion) (91.6 peratus) daripada jumlah pelaburan yang diluluskan dalam sektor ini. Sebanyak 35,032 peluang pekerjaan dijangka dapat diwujudkan dalam sektor perkilangan, di mana ia memerlukan 1,745 (5 peratus) jawatan pengurusan, 4,122 (11.8 peratus) peranan profesional/teknikal dan penyeliaan, seperti jurutera dalam

bidang E&E, mekanikal, kimia dan disiplin lain, mencerminkan peralihan rantaian nilai yang lebih tinggi bagi sektor perkilangan. Projek perkilangan yang diluluskan juga akan memerlukan 7,491 (21.4 peratus) kategori tenaga mahir, seperti penyelia penyelenggaraan loji, pembuat alat dan acuan, jurumesin, kakitangan IT, pengawal kualiti, juruelektrik dan pengimpal.

Antara projek utama yang diluluskan dalam sektor perkilangan untuk separuh pertama tahun 2022 termasuk:

• The ams OSRAM Group (SIX:AMS), peneraju global dalam penyelesaian optik, sedang melabur dalam penyelidikan, pembangunan dan keupayaan perkilangan terkini dalam entiti sah milik sepenuhnya Osram Opto Semiconductors (Malaysia) Sdn. Bhd di Kulim High-Tech Park. Perluasan itu akan membantu ams OSRAM untuk menetapkan piawaian antarabangsa dalam bidang pencahayaan, visualisasi dan teknologi penderia melalui pembinaan sambungan kemudahan perkilangan automatik sepenuhnya ke kilang semasanya di Kulim Hi-Tech Park. Kemudahan utama ini, yang tertumpu pada fabrikasi wafer, akan memainkan peranan penting dalam pertumbuhan teknologi masa depan. ams OSRAM akan terus menyumbang kepada ekosistem E&E domestik Malaysia dan syarikat menjangkakan peluang pekerjaan di dalam negara. ams OSRAM ialah perintis teknologi optik multinasional yang beribu pejabat di Austria dan Munich yang menubuhkan operasi di Pulau Pinang sejak tahun 1972.

Petroventure Energy Sdn. Bhd. ialah sebuah syarikat Special Purpose Vehicle (SPV) yang berpangkalan di Sabah dan akan mengeluarkan produk petroleum di Sabah, termasuk petrol, minyak tanah, benzena, gas petroleum cecair, akrilik, sulfur, buburan, minyak bahan api dan diesel. Projek ini bakal membantu merangsang ekonomi Sabah kerana produk dari kilang penapisan akan mewujudkan rantaian bekalan baharu yang akan memberi manfaat kepada banyak perniagaan. Selain itu, projek itu dijangka mewujudkan antara 500 hingga 1,000 peluang pekerjaan yang berpotensi.

Sektor Utama

Sektor utama mencatatkan sejumlah RM2.2 bilion (USD0.5 bilion) pelaburan yang diluluskan (1.8 peratus) daripada jumlah pelaburan yang diluluskan dalam pelbagai sektor ekonomi bagi tempoh Januari hingga Jun 2022, berbanding RM6.5 bilion (USD1.6 bilion) pelaburan yang diluluskan untuk tempoh yang sama pada 2021. FDI menguasai sektor utama dengan pelaburan bernilai RM1.5 bilion (USD0.3 bilion) (68.2 peratus), manakala baki RM0.7 bilion (USD0. 2 bilion) (31.8 peratus) adalah daripada sumber domestik.

Dua (2) subsektor menunjukkan pertumbuhan yang ketara iaitu pertanian serta perladangan dan komoditi. Jumlah pelaburan yang diluluskan untuk subsektor pertanian berjumlah RM184.7 juta (USD42.0 juta) lonjakan peningkatan 1,500 peratus berbanding RM11.5 juta (USD2.6 juta) untuk pelaburan yang diluluskan pada tempoh yang sama pada 2021. Sementara itu, subsektor perladangan dan komoditi merekodkan pelaburan yang diluluskan sebanyak RM109.1 juta (USD24.8 juta) peningkatan 36.6 peratus daripada pelaburan sebelumnya RM79.8 juta (USD19.2 juta) untuk tempoh yang sama pada 2021.

Malaysia kekal fokus dalam landasannya sebagai destinasi pelaburan terpilih di rantau ini dan bersedia untuk melonjakkan usaha negara untuk mencapai ekonomi mampan dalam menempuhi peringkat fasa endemik. Sambil kita melangkah ke hadapan dalam landasan pemulihan ekonomi yang disokong oleh pembaharuan dasar yang berterusan dan pendigitalan, kerajaan terus komited untuk mengutamakan keperluan rakyat dan pemain-pemain industri.

Sehingga Ogos 2022, MIDA telah mengenalpasti sebanyak 276 projek dengan cadangan pelaburan berjumlah RM25.1 bilion (USD5.6 bilion); 198 projek adalah daripada sektor perkhidmatan (RM13.7 bilion) (USD3.1 bilion), manakala 78 projek adalah daripada sektor perkilangan (RM11.4 bilion) (USD2.6 bilion), yang kesemuanya terletak di bawah bidang kuasa dan penyeliaan MIDA.

Menurut 2021 Global Services Location Index (GSLI) oleh firma perunding global Kearney, Malaysia ialah lokasi Perkhidmatan Perniagaan Global (GBS) ketiga paling kompetitif di dunia, selepas India dan China. Indeks dwitahunan ini menjejaki kontur landskap global merentas 60 negara dalam empat kategori utama: daya tarikan kewangan, kemahiran dan ketersediaan manusia, persekitaran perniagaan dan resonans digital. Dalam mengorak langkah ke hadapan, MITI dan MIDA berhasrat untuk meneruskan momentum dalam mendapatkan pelaburan baharu yang mampan dan inklusif untuk memacu pertumbuhan ekonomi Malaysia.

*****

Mengenai MIDA
MIDA adalah agensi promosi dan pembangunan pelaburan utama Kerajaan di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) untuk menyelaras dan menggalakkan pelaburan ke dalam sektor perkilangan dan perkhidmatan di Malaysia. Beribu pejabat di Kuala Lumpur Sentral, MIDA mempunyai 12 pejabat wilayah dan 20 pejabat luar negara. MIDA terus menjadi rakan strategik bagi perniagaan dalam merebut peluang yang timbul dari revolusi teknologi pada era masa kini. Untuk maklumat lebih lanjut, sila layari www.mida.gov.my dan ikuti kami di saluran Twitter, Instagram dan Facebook, Linkedin, Youtube dan TikTok.

Pertanyaan Media:
Puan Fatmah Ahmad
Pengarah, Bahagian Komunikasi Korporat, MIDA
Emel: [email protected] | Tel: +603-2267 2428

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon