B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Malaysia Menarik RM264.6 Bilion (USD59.9 Bilion) Jumlah Pelaburan yang Diluluskan untuk 2022, Memfokuskan Pelaburan yang Menggalakkan Pertumbuhan Ekonomi Mampan dan Kemakmuran Rakyat

Malaysia Menarik RM264.6 Bilion (USD59.9 Bilion) Jumlah Pelaburan yang Diluluskan untuk 2022, Memfokuskan Pelaburan yang Menggalakkan Pertumbuhan Ekonomi Mampan dan Kemakmuran Rakyat

  • Konsep Malaysia Madani menitikberatkan konsep inovasimenitik berat elemen inovatif, inklusif dan mampan, di mana pertumbuhan ekonomi dicapai secara seimbang dan saksama, dengan mengambil kira amalan Alam sekitar, Sosial dan Tadbir urus (ESG). Dalam konteks ini, tren yang positif bagi pelaburan yang diluluskan untuk sektor perkilangan, perkhidmatan, dan utama pada tahun 2022 menggambarkan petanda yang menggalakkan bagi negara mencapai sasaran ekonomi mampan.
  • Pada 2022, Malaysia merekodkan pelaburan yang diluluskan berjumlah RM264.6 bilion (USD59.9 bilion). Jumlah ini merangkumi 4,454 projek, dengan unjuran 140,370 peluang pekerjaan baharu.
  • Sektor perkhidmatan merupakan penyumbang utama dengan RM154 bilion (USD34.8 bilion), diikuti dengan RM84.3 bilion (USD19.1 bilion) dalam sektor perkilangan, dan RM26.3 bilion (USD6 bilion) dalam sektor utama.
  • Pelaburan Langsung Asing (FDI) kekal sebagai penyumbang utama kepada jumlah pelaburan yang diluluskan iaitu 61.7 peratus atau RM163.3 bilion (USD36.9 bilion), manakala Pelaburan Langsung Domestik (DDI) menyumbang 38.3 peratus atau RM101.3 bilion (USD23 bilion).
  • Republik Rakyat China (RRC) mendominasi pelaburan asing berjumlah RM55.4 bilion (USD12.5 bilion) atau 33.9 peratus dan diikuti oleh Amerika Syarikat (17.9 peratus) Belanda (12.5 peratus), Singapura (8.3 peratus) dan Jepun (7 peratus).
  • Lima (5) negeri yang mencatatkan nilai pelaburan signifikan kepada jumlah pelaburan yang diluluskan termasuk, Johor (RM70.6 bilion)(USD16 bilion), Selangor (RM60.1 bilion)(USD13.6 bilion), Sarawak (RM28.2 bilion)(USD6.4 bilion), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (RM25 bilion)(USD5.7 bilion) dan Pulau Pinang (RM16.3 bilion)(USD3.7 bilion).
  • Sektor perkhidmatan di Malaysia mencatatkan sejumlah 3,581 projek bernilai RM154 bilion(USD34.8 bilion) bagi tempoh 2022.

Kuala Lumpur, 8 Mac 2023 – Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) sekali lagi mempamerkan status Malaysia sebagai destinasi pelaburan utama melalui pengumuman pelaburan yang diluluskan untuk tahun 2022. Bertemakan “Pelaburan yang Mampan untuk Pertumbuhan”; sektor perkilangan, perkhidmatan dan utama telah menonjolkan daya saing negara dalam menempuhi landskap ekonomi yang mencabar dan membuktikan bahawa Malaysia terus membangkitkan keyakinan dan kekal sebagai destinasi para pelabur global yang mencari peluang untuk mengembangkan peluang perniagaan jangka panjang yang stabil.

Semasa Sidang Media Tahunan (AMC); YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) menekankan kepentingan melabur dalam teknologi lestari. Beliau menegaskan, “Memandangkan dunia semakin berdepan dengan realiti perubahan iklim, keperluan mendesak untuk melabur dalam teknologi dan penyelesaian yang mampan tidak boleh dipertikaikan. MITI memandang serius kemampanan sebagai asas dalam merangka polisi termasuk penyediaan insentif kepada syarikat dan industri bagi kesejahteraan masa depan dunia yang lebih mampan dan saksama. Ini mestilah usaha seluruh negara, kerana kita mahu menarik pelaburan yang betul yang akan menyokong PKS tempatan dan rantaian bekalan, serta memberi lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat. Hasil usaha ini adalah bagi memperoleh sosio-ekonomi yang inklusif dan menjamin masa depan yang lebih cerah bagi rakyat Malaysia.

Malaysia merekodkan pelaburan yang diluluskan sebanyak RM264.6 bilion pada tahun 2022, merangkumi 4,454 projek dan dijangka akan mewujudkan 140,370 peluang pekerjaan baharu untuk rakyat Malaysia.

Pelaburan Langsung Asing (FDI) menyumbang sebanyak 61.7 peratus, atau RM163.3 bilion (USD36.9 bilion) daripada jumlah pelaburan. Manakala Pelaburan Langsung Domestik (DDI) merekodkan 38.3 peratus, atau RM101.3 bilion (USD23 bilion) kepada jumlah pelaburan yang diluluskan.

Republik Rakyat China (RRC) mendahului jumlah pelaburan diluluskan sebanyak RM55.4 bilion (USD12.5 bilion), diikuti oleh Amerika Syarikat (RM29.2 bilion)(USD6.6 bilion), Belanda (RM20.4 bilion)(USD4.6 bilion), Singapura (RM13.5 bilion)(USD3.1 bilion) , dan Jepun (RM11.4 bilion) (USD2.6 bilion).

Lima (5) negeri yang merekodkan aktiviti pelaburan yang tertinggi, didahului dengan Johor yang merekodkan pelaburan diluluskan sebanyak RM70.6 bilion (USD16 bilion). Ini diikuti oleh Selangor (RM60.1 bilion) (USD13.6 bilion), Sarawak (RM28.2 bilion) (USD6.4 bilion), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (RM25 bilion) (USD5.7 bilion) dan Pulau Pinang (RM16.3 bilion)(USD3.7 bilion).

YBhg. Tan Sri Dato’ Seri Dr. Sulaiman Mahbob, Pengerusi MIDA, dalam ucapan alu-aluannya menyatakan bahawa hasil pelaburan yang memberangsangkan pada tahun 2022 adalah daripada hasil usaha kolektif semua pihak berkepentingan dalam menggalakkan pertumbuhan ekonomi, kestabilan sosial, pembangunan bakat, keterangkuman ekonomi berterusan dan kemajuan ekonomi digital Malaysia.

MIDA telah menerapkan prinsip Dasar Pelaburan Baharu (NIP) dan prinsip amalan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) ke dalam strateginya seperti yang digambarkan pada tema AMC. Matlamat MIDA adalah untuk menghasilkan pelaburan jangka panjang yang mampan, serta memudahcara kerjasama dengan rakan kongsi yang mengutamakan “pelaburan yang berimpak”.

Sektor Perkhidmatan Mendominasi Landskap Pelaburan

Sektor perkhidmatan di Malaysia telah mencatat 3,581 projek berjumlah sebanyak RM154 bilion (USD34.8 bilion). Ini menunjukkan peningkatan sebanyak 58.8 peratus berbanding pelaburan tahun sebelumnya iaitu sebanyak RM97 bilion (USD23.3 bilion) dan berpotensi mewujudkan 63,464 peluang pekerjaan baharu.

Pelaburan asing menyumbang 55.1 peratus atau RM84.9 bilion (USD19.2 bilion) daripada jumlah pelaburan yang diluluskan dalam sektor perkhidmatan, manakala pelaburan domestik merangkumi baki 44.9 peratus atau RM69.1 bilion (USD15.6 bilion).

Subsektor maklumat dan komunikasi mendominasi sektor perkhidmatan, dengan pelaburan diluluskan bernilai RM84.7 bilion (USD19.2 bilion) atau 55 peratus. Daripada jumlah tersebut, terdapat lima (5) projek berkaitan perkhidmatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) termasuk pusat data dan perkhidmatan pengkomputeran awan yang mencatatkan nilai pelaburan sebanyak RM72.4 bilion (USD16.4 bilion) atau 85.5 peratus daripada pelaburan yang diluluskan oleh subsektor maklumat dan komunikasi.

Antara subsektor-subsektor lain yang telah menyumbang kepada jumlah besar pelaburan yang diluluskan adalah hartanah (RM28.9 bilion) (USD6.5 bilion), perkhidmatan kewangan (RM11.2 bilion) (USD2.5 bilion), utiliti (RM10.8 bilion) (USD2.4 bilion) dan perdagangan pengedaran (RM6.2 bilion) (USD1.4 bilion).

Pelaburan dalam Sektor Perkilangan

Daya tarikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan utama di rantau ini kekal kukuh, dengan lonjakan pelaburan berkualiti tinggi di sektor perkilangan. Sektor ini sahaja menyumbang sebanyak RM84.3 bilion (USD19.1 bilion) atau 31.9 peratus daripada jumlah pelaburan yang diluluskan dalam pelbagai sektor ekonomi.

Daripada jumlah pelaburan yang diluluskan, FDI berjumlah RM66 bilion (USD14.9 bilion) atau 78.3 peratus, manakala DDI menyumbang kepada baki 21.7 peratus atau RM18.3 bilion (USD4.2 bilion).

Bilangan projek pembesaran/kepelbagaian dalam sektor perkilangan merekodkan 385 projek atau RM49.3 bilion (USD11.2 bilion) pelaburan yang diluluskan. Manakala bilangan projek baharu yang diluluskan dalam sektor yang sama adalah sebanyak 416 projek berjumlah RM35 bilion (USD7.9 bilion).

Dari segi industri berprestasi tinggi, elektrikal dan elektronik (E&E) mendahului sektor perkilangan (RM29.3 bilion) (USD6.6 bilion), diikuti jentera dan kelengkapan (RM8.4 bilion) (USD1.9 bilion), kelengkapan pengangkutan (RM8 bilion) (USD1.8 bilion), kimia dan produk kimia (RM7.4 bilion) (USD1.7 bilion), produk petroleum (termasuk petrokimia) (RM5.9 bilion) (USD1.3 bilion), produk galian bukan logam (RM5.8 bilion)(USD 1.3 bilion), peralatan pengukuran dan saintifik (RM4.7 bilion) (USD1.1 bilion) dan produk getah (RM3.6 bilion) (USD0.8 bilion). Industri-industri ini menyumbang RM73.1 bilion (USD16.5 bilion) atau 86.7 peratus daripada jumlah pelaburan yang diluluskan dalam sektor ini.

Sebanyak 76,093 peluang pekerjaan baharu yang berpotensi diwujudkan dalam sektor perkilangan, di mana 27,894 (36.7 peratus) jawatan adalah bagi kategori pengurusan, profesional/teknikal/penyeliaan dan mahir, mencerminkan peralihan ke rantaian yang lebih bernilai tinggi bagi sektor perkilangan.

Pelaburan dalam Sektor Utama

Sektor utama mencatatkan jumlah pelaburan yang diluluskan sebanyak RM26.3 bilion (USD6 bilion) atau 9.9 peratus daripada keseluruhan jumlah pelaburan yang diluluskan dalam pelbagai sektor ekonomi pada 2022; mencatatkan peningkatan sebanyak 52.3 peratus berbanding pelaburan yang diluluskan dalam tahun 2021 sebanyak RM17.3 bilion (USD4.1 bilion).

Pelaburan domestik memacu sektor utama dengan pelaburan diluluskan bernilai RM13.9 bilion (USD3.1 bilion) atau 52.9 peratus, manakala baki 47.1 peratus atau RM12.4 bilion (USD2.9 bilion) adalah daripada sumber asing.

Subsektor perladangan dan komoditi merekodkan RM2.2 bilion (USD0.5 bilion) pelaburan yang diluluskan (2021: RM211.4 juta atau USD50.7 juta). Sementara itu, subsektor pertanian berjaya menarik RM154.4 juta (USD34.9 juta) dari jumlah pelaburan yang diluluskan (2021:RM20.5 juta atau USD4.9 juta).

MIDA Terus Kekal Menerajui Barisan Hadapan bagi Menarik Pelaburan

Di sebalik cabaran landskap ekonomi global, Malaysia telah membuktikan kesungguhan yang tidak berbelah bahagi dalam mengharungi masa sukar ini. MITI dan MIDA terus memainkan peranan proaktif dalam memastikan aliran pelaburan domestik dan asing yang stabil, yang telah meyumbang kepada daya tahan ekonomi negara.

Terdapat beberapa projek berpotensi dalam peringkat penilaian MIDA berjumlah sebanyak RM14.6 billon (USD3.3 bilion). Daripada jumlah keseluruhan projek berpotensi tersebut, 31 adalah daripada sektor perkilangan, dengan potensi pelaburan sebanyak RM10.6 bilion (USD2.4 bilion), manakala 218 projek adalah di bawah sektor perkhidmatan dengan potensi pelaburan sebanyak RM4 bilion (USD0.9 bilion). Tambahan pula, baru-baru ini Tesla dan Amazon Web Service (AWS) telah menunjukkan komitmen untuk melabur di Malaysia membuktikan kestabilan politik dan kekukuhan institusi Malaysia. Secara keseluruhan, ini mencerminkan komitmen MITI dan MIDA dalam menggalakkan pertumbuhan ekonomi yang mampan dan mewujudkan peluang pekerjaan di Malaysia.

Menurut YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul, melangkah ke hadapan bagi Malaysia adalah menjadi pintu masuk utama pelaburan Asia dan menjadi hab digital di rantau ASEAN dengan memanfaatkan infrastruktur termaju ICT negara, serta ketersediaan tenaga kerja STEM, perlindungan harta intelek yang kukuh dan kedaulatan undang-undang. Sehubungan ini, semakan semula Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 akan menetapkan tema pembangunan perindustrian Malaysia dengan menggariskan peluang pertumbuhan baharu, memudahcara fasilitasi perniagaan dan mengutamakan pelaburan berkualiti tinggi antaranya berkaitan teknologi pendigitalan. Pengutamaan pelaburan termasuk mewujudkan pekerjaan bergaji tinggi, projek hijau, tenaga boleh diperbaharui, pengurangan jejak karbon negara, pertumbuhan pembangunan yang mampan dan memastikan rakyat, bumi, perniagaan serta semua pihak berkepentingan menerima manfaat saksama.

MITI bersama MIDA akan terus menarik pelaburan berkualiti tinggi bagi mewujudkan lebih banyak pekerjaan bergaji tinggi dan pertumbuhan teknologi maju melibatkan teknologi digital, data dan pengkomputeran awan. Dalam mengorak langkah agar negara menjadi pintu pelaburan Asia, Kerajaaan terus komited untuk memacu pertumbuhan ekonomi yang mampan selari dengan kemakmuran dan kesejahteraan rakyat.

***TAMAT***

Mengenai MIDA
MIDA adalah agensi promosi dan pembangunan pelaburan utama kerajaan di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) untuk menyelaras dan menggalakkan pelaburan ke dalam sektor perkilangan dan perkhidmatan di Malaysia. Beribu pejabat di Kuala Lumpur Sentral, MIDA mempunyai 12 pejabat wilayah dan 21 pejabat luar negara. MIDA terus menjadi rakan strategik bagi perniagaan dalam merebut peluang yang timbul dari revolusi teknologi pada era masa kini. Untuk maklumat lebih lanjut, sila layari www.mida.gov.my dan ikuti kami di saluran Twitter, Instagram, Facebook, Linkedin, TikTok dan Youtube.

Untuk pertanyaan media, sila hubungi:

Pn. Fatmah Ahmad
Pengarah, Bahagian Komunikasi Korporat
Tel: +603-2267 2428 I Email: [email protected]

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon