B. MelayuEnglish
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Belanjawan 2024 – Malaysia Bakal Menarik Pelaburan Lebih Berkualiti dan Mampan dalam Mengharungi Ekonomi Global yang Mencabar

Belanjawan 2024 – Malaysia Bakal Menarik Pelaburan Lebih Berkualiti dan Mampan dalam Mengharungi Ekonomi Global yang Mencabar

Kuala Lumpur, 14 Oktober 2023 – Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) menyambut baik cadangan Kerajaan Malaysia MADANI yang dibentangkan oleh YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri pada Belanjawan 2024 semalam. Dengan pengumuman tersebut, Malaysia bakal menarik pelaburan lebih berkualti dan mampan dalam mengharungi ekonomi global yang kian mencabar. Kerajaan bertekad untuk terus mengembleng usaha menjadikan Malaysia sebuah destinasi pelaburan terpilih di rantau Asia Tenggara.

Datuk Wira Arham Abdul Rahman, Ketua Pegawai Eksekutif MIDA mengalu-alukan pengumuman belanjawan tersebut dengan menyatakan, “Dalam mengharungi ekonomi global yang kian mencabar, MIDA komited untuk memastikan Malaysia terus kekal menjadi destinasi pelaburan utama di rantau Asia Tenggara. MIDA mengalu-alukan dasar strategik dan pengenalan insentif cukai seperti yang digariskan dalam Belanjawan 2024 yang semestinya memupuk kestabilan iklim perniagaan untuk menarik lebih banyak Pelaburan Langsung Asing (FDI) dan Pelaburan Langsung Domestik (DDI), memecutkan peralihan ke arah ekonomi lestari berasaskan pengetahuan, selaras dengan NIMP 2030. Langkah ini selaras dengan visi kami untuk menarik pelaburan bernilai RM89 bilion menjelang 2025 di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 yang bakal mengukuhkan ekosistem sektor perkilangan dan  perkhidmatan.”

Selain itu, MIDA juga menyambut baik pengumuman penubuhan Jawatankuasa Tindakan Penyelarasan Pelaburan dan Perdagangan (JTPPP) yang bertanggungjawab melaporkan secara terus kepada Majlis Pelaburan Negara yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Malaysia. Penubuhan Jawatankuasa ini yang dipengerusikan oleh YB Menteri MITI akan  dapat  menyelaras aktiviti pelaburan dan perdagangan dengan lebih berkesan, berkoordinasi dan holistik.

Pengumuman Kerajaan untuk melaksanakan kadar cukai efektif minimum di peringkat global (Global Minimum Tax – GMT) pada tahun 2025 dijangka akan memberikan impak positif kepada negara, mengekalkan keupayaan untuk menarik pelaburan baharu serta pelaburan sedia ada oleh syarikat multinasional. Ini juga akan memberi jaminan kepada para pelabur terhadap perancangan negara dalam pelaksanaan GMT.

Antara insentif yang diperkenalkan di bawah Belanjawan 2024, bertemakan Reformasi Ekonomi, Memperkasa Rakyat adalah seperti berikut:

  • Peruntukan sehingga 10 peratus daripada jumlah pelaburan NIMP 2030 sebagai pemangkin untuk memacu misi NIMP dengan dana permulaan 2024 sebanyak RM200 juta. Penyaluran peruntukan ini akan dapat menggalakkan pelaburan bernilai tinggi dalam sektor perkilangan dan perkhidmatan yang akan menjadi pemacu perubahan kepada lonjakan ekonomi negara dan menjadikan Malaysia lebih berdaya saing dari segi menarik pelaburan, dengan kesan limpahan positif kepada ekonomi terutamanya meningkatkan kedudukan syarikat Malaysia dalam rantaian nilai global dan menyediakan pekerjaan berpendapatan tinggi untuk rakyat.
  • Pendekatan insentif berasaskan keberhasilan dengan memberikan galakan cukai pelaburan semula bagi sektor yang telah dikenal pasti di bawah NIMP 2030 secara tiering sebanyak 70 peratus atau 100 peratus untuk tempoh 5 tahun bermula 1 Januari 2024 sehingga 31 Disember 2028. Usaha ini akan merancakkan syarikat untuk menjana ekonomi melalui pelaburan di dalam bidang berpertumbuhan dan bernilai tinggi dan seterusnya mewujudkan kluster ekonomi baharu, memperluas rangkaian domestik dan mengimbangi kelestarian ekonomi.
  • Galakan Cukai Hab Perkhidmatan Global dengan Insentif Kadar Cukai Pendapatan 5 peratus atau 10 peratus yang ditentukan berdasar keberhasilan untuk tempoh 10 tahun selaras dengan aspirasi Kerajaan di bawah NIMP 2030. Ini akan menggalakkan lebih banyak syarikat multinasional dan konglomerat tempatan menjadikan Malaysia sebagai pusat perkhidmatan global.
  • Pengkajian semula galakan cukai teknologi hijau. Inisiatif  ini adalah selari dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (National Energy Transition Roadmap, NETR) yang dilancarkan baru-baru ini bagi memenuhi sasaran
  • Sumbangan Yang Ditentukan Negara (NDC) sebanyak 45 peratus pengurangan intensiti pelepasan GHG seunit daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2030. Ini adalah selaras dengan aspirasi nasional untuk menjadi sebuah negara yang inklusif, mampan dan neutral karbon menjelang 2050. MIDA akan meneruskan kerjasama dengan Kementerian dan agensi berkaitan dalam mempromosikan industri ini.
  • Merangka insentif cukai baharu bagi menggalakkan pelaburan dalam projek Carbon Capture Storage (CCS) dan Hydrogen Sulphide adalah sejajar dengan komitmen Malaysia ke arah karbon sifar bersih (net-zero carbon). Insentif cukai ini juga adalah selaras dengan Misi ke-3 di bawah NIMP iaitu Push to Net-Zero.
  • Pemberian pakej galakan cukai dalam bentuk kadar cukai khas atau elaun cukai pelaburan akan menarik minat pemain-pemain industri kimia dan petrokimia yang berteknologi tinggi dari dalam dan luar negara untuk melabur di Pengerang Integrated Petroleum Complex (PIPC), Pengerang, Johor. Selain meningkatkan FDI dan DDI, langkah ini dijangka membuka peluang pekerjaan berpendapatan tinggi, khususnya untuk generasi muda.
  • Pembangunan ekosistem yang lebih luas untuk kluster elektrik dan elektronik (E&E) di wilayah utara di mana Kerajaan akan membuka kawasan perindustrian berteknologi tinggi di Kerian, Perak Utara. Selain memberi limpahan ekonomi di kawasan Perak Utara, pembukaan kawasan perindustrian baharu ini akan memberi peluang kepada pemain-pemain Industri E&E sedia ada di Malaysia untuk menjalankan projek pembesaran di lokasi baharu. Selain itu, ia juga mampu menarik pelabur-pelabur baharu dari dalam dan luar negara untuk melabur di Malaysia yang mempunyai ekosistem industri E&E yang lengkap.

Peruntukan di bawah Belanjawan 2024 mencerminkan komitmen Malaysia dalam menyokong pertumbuhan ekonomi yang positif dan lestari. Inisiatif-inisiatif yang digariskan dalam  Belanjawan 2024 menyahut usaha dan peranan MITI dan MIDA yang kian penting dalam memperkukuhkan daya saing negara di peringkat ASEAN dan antarabangsa, serta memacu inovasi dan pertumbuhan ekonomi, memupuk landskap ekosistem sektor perkilangan dan perkhidmatan yang dinamik.

MITI dan MIDA terus teguh bersama menerajui barisan hadapan membangunkan ekonomi Malaysia. Kami komited sepenuhnya untuk merealisasikan visi yang digariskan dalam Kerangka Kerja Ekonomi MADANI sebagai sebuah negara bangsa yang progresif, makmur dan mampan. Belanjawan 2024 yang strategik, berupaya memperkasakan perniagaan serta memupuk keupayaan baharu dan meningkatkan nilai ekosistem ekonomi negara. Ini akhirnya mewujudkan peluang pekerjaan berpendapatan tinggi serta memberi manfaat berterusan kepada rakyat.

-Tamat-

Mengenai MIDA

MIDA adalah agensi promosi dan pembangunan pelaburan utama kerajaan di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) untuk menyelaras dan menggalakkan pelaburan ke dalam sektor perkilangan dan perkhidmatan di Malaysia. Beribu pejabat di Kuala Lumpur Sentral, MIDA mempunyai 12 pejabat wilayah dan 21 pejabat luar negara. MIDA terus menjadi rakan strategik bagi perniagaan dalam merebut peluang yang timbul dari revolusi teknologi pada era masa kini. Untuk maklumat lebih lanjut, sila layari www.mida.gov.my dan ikuti kami di saluran X, Instagram, Linkedin dan Youtube.

Untuk Pertanyaan Media:

Pn. Santha Devi Subramaniam
Pengarah, Bahagian Perancangan Strategik & Advokasi Polisi (Perkhidmatan)
Tel.: + 603-2267 6722
Email: [email protected]

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon