B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Prestasi Ekonomi Malaysia Terus Cemerlang

Prestasi Ekonomi Malaysia Terus Cemerlang

Tahun 2021 Merekodkan Nilai Pelaburan Yang Diluluskan Tertinggi Berjumlah RM306.5 bilion

  • MIDA berjaya menarik RM306.5 bilion pelaburan yang diluluskan dalam sektor perkilangan, perkhidmatan dan utama.
  • Mencatatkan peningkatan yang cemerlang iaitu 83.1 peratus berbanding prestasi pelaburan pada tahun 2020.
  • Pelaburan langsung asing (FDI) merekodkan prestasi memberangsangkan dengan menyumbang sebanyak 68.2 peratus bagi nilai pelaburan yang diluluskan berjumlah RM208.6 bilion berbanding RM64.2 bilion pada tahun 2020, lonjakan sebanyak 224.9 peratus. Manakala pelaburan langsung domestik berjumlah RM97.9 bilion.
  • Sektor perkilangan Malaysia mencatatkan pelaburan yang diluluskan berjumlah RM195.1 billion pada tahun 2021, berbanding RM91.3 bilion pada tahun 2020, dengan peningkatan sebanyak 113.7 peratus.
  • Industri elektrikal dan elektronik (E&E) telah menerima pelaburan yang diluluskan sebanyak RM148 bilion.
  • Malaysia telah memperoleh 75 projek berintensif modal bernilai RM100 juta dan ke atas bagi memacu pertumbuhan teknologi pembuatan baharu dan menghasilkan tenaga kerja berkemahiran tinggi.
  • Sektor perkhidmatan mencatatkan 3,803 projek yang diluluskan berjumlah RM94.1 bilion.
  • Subsektor perlombongan menyaksikan pelaburan yang diluluskan bernilai RM17.1 bilion, mewakili 98.7 peratus daripada keseluruhan jumlah pelaburan diluluskan dalam sektor utama.

Kuala Lumpur, 8 Mac 2022 – Malaysia mencatatkan prestasi ekonomi yang cemerlang dengan jumlah pelaburan yang diluluskan bernilai RM306.5 bilion dalam sektor perkilangan, perkhidmatan dan utama pada tahun 2021. Negara ini terus menjadi destinasi pelaburan yang menarik bagi pengembangan perniagaan global dan serantau dengan lonjakan jumlah pelaburan langsung asing (FDI) dan pelaburan langsung domestik (DDI) yang amat memberangsangkan pada tahun 2021, peningkatan sebanyak 83.1 peratus berbanding pencapaian yang direkodkan tahun 2020.

“Ekosistem perniagaan Malaysia yang kukuh telah meletakkan negara ini pada unjuran yang positif dalam menarik pelaburan strategik dan mewujudkan jalinan perdagangan baharu bagi terus memacu ekonomi negara serta mempercepatkan usaha ke arah pertumbuhan sosio-ekonomi yang inklusif.” kata YB. Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, Menteri Kanan dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) pada Sidang Media Tahunan (AMC) MIDA 2022.

“Kelonggaran terhadap beberapa langkah pembendungan COVID-19 serta kadar vaksinasi yang tinggi dalam kalangan profesional dari pelbagai industri telah membolehkan aktiviti ekonomi diteruskan semula. Pelbagai usaha telah dilaksanakan untuk memastikan ekosistem perniagaan kekal responsif ke arah aliran global dengan dasar dan inisiatif yang mesra perniagaan, peningkatan kemahiran dan latihan semula, pendigitalan dan automasi. Secara ringkasnya, langkah-langkah ini telah berjaya meletakkan ekonomi kita pada landasan yang teguh dan berdaya tahan ke arah pertumbuhan yang rancak dan pemulihan yang mampan,” tambahnya.

Beliau juga menjelaskan bahawa prestasi cemerlang FDI telah berjaya menyumbang sebahagian besar daripada jumlah pelaburan yang diluluskan iaitu sebanyak 68.1 peratus atau RM208.6 bilion berbanding RM64.2 bilion pada tahun 2020, peningkatan sebanyak 224.9 peratus. Sementara, DDI pula merangkumi baki RM97.9 bilion (31.9 peratus) dari jumlah pelaburan yang diluluskan. Sektor perkilangan menerajui jumlah pelaburan yang diluluskan pada tahun 2021, dengan mencatatkan RM195.1 bilion, diikuti oleh sektor perkhidmatan RM94.1 bilion dan sektor utama dengan nilai RM17.3 bilion.

Belanda (RM78 bilion), Singapura (RM47.3 bilion), Republik Rakyat China (RM31.3 bilion), Austria (RM18.9 bilion) dan Jepun (RM9.9 bilion) adalah lima (5) sumber FDI teratas dari keseluruhan sektor ekonomi di Malaysia, menyumbang kepada 88.9 peratus daripada jumlah FDI yang diluluskan.

Pulau Pinang (RM83.5 bilion) mencatatkan pelaburan tertinggi yang diluluskan pada tahun lalu, diikuti oleh Kedah (RM68.3 bilion), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (RM37.7 bilion), Selangor (RM28.8 bilion) dan Sarawak (RM25.7 bilion). Lima (5) buah negeri ini sahaja telah menyumbang sebanyak 79.6 peratus daripada jumlah pelaburan yang diluluskan untuk tahun 2021.

Sektor Perkilangan Memacu Ekonomi Negara

Sektor perkilangan Malaysia telah berjaya memperoleh projek-projek yang bernilai RM195.1 bilion untuk tahun 2021 berbanding RM91.3 bilion pada tahun 2020, peningkatan ketara sebanyak 113.7 peratus. Kejayaan dari projek-projek ini akan mewujudkan 74,575 peluang pekerjaan, di mana 28,698 adalah jawatan pengurusan, teknikal dan penyeliaan (MTS).

Industri elektrikal dan elektronik (E&E) mencatatkan pelaburan terbesar, dengan 94 projek yang telah diluluskan bernilai RM148 bilion. Selain industri E&E, Malaysia turut menyaksikan kelulusan pelaburan yang tinggi dalam industri lain, termasuk produk logam asas (RM19.4 bilion), bahan kimia dan produk kimia (RM5.8 bilion), produk getah (RM5.8 bilion) dan pemprosesan makanan (RM5.4 bilion).

Sektor perkilangan juga berjaya merekodkan 75 projek bermodal tinggi yang bernilai RM100 juta dan ke atas.  Kesemua projek ini akan memacu teknologi perkilangan termaju yang baharu serta menghasilkan tenaga kerja yang berkemahiran tinggi. Pulau Pinang (RM76.2 bilion) adalah penerima pelaburan terbesar dalam sektor perkilangan untuk tahun 2021, diikuti oleh Kedah (RM66.2 bilion), Pahang (RM10.5 bilion), Selangor (RM7.5 bilion) dan Johor (RM7.0 bilion). Lima (5) negeri ini menyumbang lebih 85 peratus daripada jumlah keseluruhan pelaburan yang diluluskan dalam sektor ini tahun lalu.

Sektor perkilangan terus menjadi tunjang utama ekonomi bagi tahun 2021 dalam menjana kesan pengganda yang signifikan terhadap aktiviti dan pertumbuhan ekonomi negara. Peratusan projek berkualiti yang diluluskan meningkat kepada 81.3 peratus pada tahun lalu. Menurut indeks MTS, bilangan peluang pekerjaan dalam jawatan pengurusan, teknikal dan penyeliaan juga meningkat kepada 38.5 peratus pada tahun 2021.

Insentif Kawasan Kurang Membangun (Less Developed Area – LDA) telah diperkenalkan pada tahun 2015 bagi memacu pembangunan wilayah dan keterangkuman melalui penyediaan peluang pekerjaan yang meluas serta pembangunan luar bandar dalam peralihan negara kepada ekonomi berpendapatan tinggi. Pada tahun 2021, jumlah pelaburan yang diluluskan bernilai RM80.7 bilion (41.4 peratus), berbanding RM34.3 bilion (37.6 peratus) pada tahun 2020. Menteri Kanan MITI menegaskan bahawa “Dalam usaha untuk merealisasikan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030, adalah penting untuk ditekankan pada tahun 2021, kita telah memperoleh sejumlah RM80.7 bilion pelaburan yang diluluskan bagi kawasan kurang membangun.”

Projek utama yang diluluskan tahun lalu merangkumi syarikat multinasional dalam industri berimpak tinggi dan berteknologi tinggi yang telah beroperasi di Malaysia. Ini termasuk Risen Solar, yang akan melabur sebanyak RM42.2 bilion bagi aktiviti reka bentuk pembangunan dan perkilangan modul dan sel solar, diikuti oleh Intel Electronics dengan jumlah pelaburan yang diluluskan sebanyak RM30 bilion untuk pengeluaran fabrikasi wafer dan susunan acuan. Selain itu, AT&S, sebuah syarikat yang berpangkalan di Austria dan peneraju global dalam pembuatan papan litar bercetak (PCB) serta substrat litar bersepadu (IC) berspesifikasi tinggi, akan mewujudkan pembangunan reka bentuk dan pembuatan substrat IC di Kulim Hi-Tech Park dengan jumlah pelaburan yang diluluskan sebanyak RM8.5 bilion. Pelaburan syarikat-syarikat ini membuktikan keupayaan Malaysia dalam memfasilitasi projek pelaburan berskala mega. Sebuah subsidiari syarikat Fortune 500, SK Nexilis juga mengumumkan penubuhan pangkalan pengeluaran pertama di luar negara mereka di Kompleks Perindustrian KKIP, Kota Kinabalu, Sabah dengan pelaburan yang diluluskan bernilai RM4.29 bilion.

Pelaburan oleh Infineon Technologies (Malaysia) di Melaka yang bernilai RM3.25 bilion, bakal mengukuhkan kedudukan syarikat tersebut dalam pasaran semikonduktor kuasa (power semiconductors). Sheng Long Aqua Technology akan menghasilkan makanan akuakultur dengan pelaburan yang diluluskan bernilai RM3.03 bilion. Ibiden Electronic akan mengembangkan operasi penghasilan PCB berbilang lapisan (multilayer) melalui pelaburan yang bernilai RM886 juta. Taiyo Yuden telah menyuntik sebanyak RM680 juta dalam pelaburan modal bagi pengeluaran kapasitor seramik pelbagai lapisan di Sarawak. Fasiliti syarikat yang terletak di Kuching mempunyai keluasan melebihi 36,500 meter persegi, dijangka akan beroperasi menjelang Mac 2023. Fasiliti baharu itu akan menampilkan penggunaan peralatan berteknologi tinggi dengan ciri-ciri terkini serta sokongan penjimatan tenaga dan menggabungkan bumbung berkuasa solar (solar powered roofs), selaras dengan pelaksanaan amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).Antara pelaburan signifikan yang lain adalah Wilmar Greenfarm Vegan Food, syarikat tempatan dalam teknologi makanan dan industri berasaskan sumber, akan melabur sebanyak RM196.39 juta bagi operasi perkilangannya yang merupakan sebuah projek baharu bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran makanan agro dan vegan untuk pengguna.

Selain daripada itu, projek perkilangan Greatech Integration bernilai RM182.52 juta, mensasarkan penghasilan sistem automasi kilang serta modul dan komponen di Batu Kawan, Pulau Pinang. Pada masa yang sama, Delta Industrial juga telah melabur sebanyak RM154.38 juta bagi melaksanakan reka bentuk dan pembangunan, perkilangan serta pemasangan pesawat amfibia (amphibious aircrafts) di Subang Jaya.

Sektor Perkhidmatan Di Malaysia Semakin Berkembang

Berikutan pandemik COVID-19, sektor perkhidmatan dan subsektornya yang pelbagai terus menerapkan aspek pendigitalan dalam meningkatkan rantaian nilai serta kecekapan operasi selari dengan trend peningkatan kerja secara fleksibel dan automasi. Perkhidmatan-perkhidmatan baharu kini wujud melalui Internet Pelbagai Benda (Internet of Things/IPB). Teknologi kecerdasan buatan serta jaringan awanantelah mentakrifkan semula kepentingan sektor perkhidmatan dalam ekonomi Malaysia.

Rangka Tindakan (Blueprint) Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL) telah dirangka untuk mengukuhkan asas dan pembangunan infrastruktur digital negara. Rangka tindakan tersebut bertujuan untuk menarik sebanyak RM70 bilion pelaburan bagi memacu usaha pendigitalan. Ekonomi digital di negara ini dijangka dapat menyumbang sebanyak 22.6 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), serta mensasarkan 500,000 peluang pekerjaan menjelang tahun 2025.

Pejabat Pelaburan Digital (DIO) telah ditubuhkan untuk memudahkan pelaburan digital di Malaysia selaras dengan sasaran Kerajaan untuk menarik pelaburan berjumlah RM70 bilion bagi meningkatkan usaha pendigitalan menjelang tahun 2025. Penubuhan DIO dengan kerjasama Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) adalah tepat pada waktunya serta selaras dengan landskap pelaburan global ke arah pendigitalan dan Industri 4.0 sekaligus mewujudkan iklim perniagaan yang unik untuk menarik pelaburan projek-projek digital. Melalui gabungan sinergi antara MIDA and MDEC, sejumlah RM3.4 bilion pelaburan telah diluluskan di bawah seliaan DIO melibatkan pusat data serta projek berstatus Multimedia Super Corridor (MSC).

Pada tahun 2021, Malaysia telah mencatat sebanyak 3,803 projek perkhidmatan dengan nilai pelaburan yang diluluskan sebanyak RM94.1 bilion. Sementara itu, DDI menyumbang sebanyak RM69.2 bilion pada tahun 2021 berbanding RM63.5 bilion pada tahun 2020 dalam sektor perkhidmatan. Prestasi ini menggambarkan kekuatan sedia ada syarikat-syarikat perkhidmatan di Malaysia yang berpotensi untuk dimanfaatkan oleh eksport perkhidmatan.

Lima (5) penyumbang utama pelaburan yang diluluskan dalam sektor perkhidmatan adalah hartanah (RM28.8 billion), pertubuhan global (RM19.7 billion), perkhidmatan kewangan (RM12.0 billion), utiliti (RM9.6 billion) serta komunikasi dan maklumat (RM8.2 billion) dengan pertumbuhan sebanyak 36.6 peratus yang bernilai RM78.3 bilion berbanding tahun 2020.

Subsektor pertubuhan global telah mencatatkan pelaburan RM19.7 bilion bagi tahun 2021, iaitu lebih tinggi berbanding RM595.2 juta yang dicapai pada tahun 2020. Sejumlah 102 hab utama, pejabat serantau/perwakilan telah diluluskan pada tahun 2021 dan dijangka akan mewujudkan 3,838 jawatan baharu bagi kategori profesional dan berkemahiran tinggi.

Sebagai langkah untuk membangunkan teknologi Revolusi Perindustrian Keempat (IR 4.0) bagi mempercepatkan transformasi digital Malaysia, Huawei Technologies (Malaysia) telah menubuhkan Ibu Pejabat Operasi Global baharunya di Kuala Lumpur bagi memperkukuhkan kesiapsiagaannya dalam usaha meningkatkan inovasi 5G.

Selaras dengan Rancangan Malaysia Kedua Belas, pertumbuhan hijau juga menjadi keutamaan, khususnya dalam teknologi hijau serta kemampanan tenaga sebagai penggalak utama ekonomi hijau di Malaysia; sejajar dengan usaha untuk mencapai status sebuah negara neutral karbon menjelang tahun 2050. Pusat rawatan sisa berjadual yang mampan (SSWTC) yang dimiliki oleh Berjaya Alam Murni bernilai RM172.95 juta akan dibangunkan bagi kemudahan pengurusan sisa bersepadu.

Sebuah syarikat Singapura akan melabur sebanyak RM689 juta bagi pembinaan LQ Hotel yang bertaraf 4/5 bintang di Kuala Lumpur. Sementara itu, di bawah industri teknologi hijau, Solarpack Suria Sungai Petani akan melabur sejumlah RM353.13 juta untuk membina projek solar fotovoltaik (PV) berskala besar di Kedah. Di Selangor pula, ILM Logistics akan melaksanakan pelan pengembangan perkhidmatannya yang bernilai RM226.82 juta.

Perlombongan Mengungguli di Sektor Utama

Sektor utama telah mencatatkan pelaburan yang diluluskan sebanyak RM17.3 bilion pada tahun 2021 berbanding RM6.1 bilion pada tahun 2020. Subsektor perlombongan telah menerajui sebahagian besar pelaburan di sektor utama, menyumbang kepada RM17.1 bilion (98.7%) daripada jumlah pelaburan yang diluluskan dalam sektor ini, ekoran harga minyak mentah dan gas asli yang tinggi. Selebihnya, pelaburan sektor utama terdiri daripada subsektor perladangan dan komoditi yang bernilai RM211.4 juta dan subsektor pertanian sebanyak RM20.5 juta.

Ke arah Pemulihan Ekonomi yang Lebih Berdaya Saing

Dalam usaha menyokong daya tahan ekonomi ke arah pemulihan negara yang mampan, Dato’ Seri Azmin menegaskan “Malaysia akan terus melangkah kehadapan, “memperkasakan daya tahan” melalui dasar polisi yang teguh yang mampu meningkatkan lagi trajektori pertumbuhan positif. Aspirasi Pelaburan Negara (NIA) dibangunkan untuk menarik pelaburan berimpak tinggi dalam bidang pertumbuhan baharu seterusnya membawa kesan limpahan ekonomi yang positif. Berikutan itu, Pelan Induk Perindustrian Baharu 2022-2033 akan terus mendorong industri tempatan untuk mempercepatkan usaha pendigitalan bagi merealisasikan manfaat Industri 4.0 sepenuhnya.”

Sebagai cerminan NIA dalam memacu pertumbuhan jangka panjang Malaysia melalui aliran pelaburan berkualiti yang mampan dalam bidang baharu dan kompleks, MITI dan MIDA telah merangka Misi Perdagangan dan Pelaburan (TIM) bersasar dan Misi Projek Spesifik (SPM) untuk menarik pelaburan dalam teknologi tinggi, inovasi serta industri yang berteraskan penyelidikan bagi melengkapkan ekosistem perindustrian Malaysia. Pada 2021, MITI dan MIDA secara proaktif telah melaksanakan empat (4) TIM utama ke Republik Korea dan Jepun, Arab Saudi dan UAE, Qatar, Austria dan Turki, serta Jerman, Perancis dan United Kingdom; dan berjaya memperoleh pelaburan bernilai sehingga RM50.2 bilion.

Sebanyak 254 projek telah diluluskan dan dilaksanakan pada tahun 2021 dengan pelaburan yang direalisasikan berjumlah RM160.8 billion, iaitu lebih 80 peratus pelaburan diluluskan di sektor perkilangan. Daripada jumlah projek perkilangan yang diluluskan sejak lima (5) tahun lepas, pelaburan yang direalisasikan berjumlah RM383.2 bilion.

Dalam usaha membantu mempercepatkan kadar vaksinasi tenaga kerja dalam sektor perkilangan, MITI dengan kerjasama Kementerian Kesihatan, telah melancarkan Program Imunisasi Industri COVID-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS).

Tambahan pula, walaupun berdepan dengan situasi penutupan sempadan antarabangsa yang berterusan serta prosedur operasi standard (SOP) yang ketat dilaksanakan di seluruh dunia bagi membendung wabak COVID-19, MIDA melalui 20 pejabat luar negara dan 12 pejabat serantau terus memainkan peranannya dalam memberi maklum balas dan sokongan kepada pelabur berpotensi dan sedia ada. Para pegawai MIDA sentiasa bersedia untuk menarik pelaburan melalui aktiviti promosi pelaburan yang inovatif dan agresif. Dalam memastikan kelancaran perjalanan bagi pengembara perniagaan, MIDA telah mewujudkan sebuah pusat khidmat sehenti (OSC) untuk menilai permohonan kemasukan jangka pendek ke negara ini bagi tujuan perdagangan dan pelaburan dengan pematuhan SOP yang ketat. Inisiatif OSC berserta Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) ini memainkan peranan yang penting dalam melancarkan aktiviti perniagaan dan pelaburan.

Selain itu, MIDA telah menubuhkan unit PACU@MIDA atau ‘Project Acceleration and Coordination Unit’ bagi mempercepatkan pelaksanaan serta menyediakan fasilitasi menyeluruh untuk semua projek yang diluluskan di Malaysia.

Sejajar dengan evolusi landskap pelaburan di rantau ini ke arah digitalisasi serta Industri 4.0, MIDA telah mentransformasi proses promosi dan fasilitasi pelaburannya bagi mengukuhkan dan merancakkan ekosistem digital di masa hadapan, dalam usaha untuk memastikan Malaysia kekal berdaya saing dalam fasa pemulihan pasca COVID 19.

Antara inisiatif promosi pelaburan termasuk portal InvestMalaysia – sebuah portal dalam talian untuk pelabur mengakses permohonan yang melibatkan e-Lesen Pengilang (e-ML), e-Insentif dan Permohonan Jawatankuasa Pengecualian Cukai (JPC), profil syarikat serta ativiti promosi. Kemudahan tersebut menawarkan permohonan syarikat untuk mendapatkan kelulusan bagi lesen pengilang, insentif dan pengecualian cukai kastam bagi mempercepatkan pelaksanaan projek.

Dengan kerjasama Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), MIDA telah menubuhkan Pejabat Pelaburan Digital (DIO), sebuah platform digital yang lengkap bagi menyelaraskan dan memudahkan pelaburan digital di Malaysia. Penubuhan DIO telah meningkatkan kesedaran terhadap pelaburan digital dalam negara. Operasi DIO telah menyelaraskan usaha kesemua Agensi Penggalakan Pelaburan (IPA) dalam mempromosi dan menarik pelaburan baharu dalam segmen yang berevolusi pantas. Peranan DIO selaras dengan Rangka Tindakan MyDigital dan Aspirasi Pelaburan Nasional, sejajar dengan garis panduan Wawasan Kemakmuran Bersama (SPV) 2023.

Pusat Pembangunan Penilaian MIDA (MADC) ialah sebuah inisiatif bersepadu yang dikenali sebagai HyTalentProgramme; sebuah usahasama antara tiga (3) universiti tempatan terkemuka yang menawarkan program peningkatan kemahiran semula kepada graduan tempatan dan individu yang berbakat bagi membantu mereka bersedia untuk menceburi bidang kerjaya dan industri.

Tambahan pula, MITI telah melantik MIDA sebagai Agensi Pelaksana untuk menyediakan Dana Intervensi Industry4WRD, kemudahan sokongan kewangan bagi Perusahaan Kecil dan Sederhana (SME) dalam sektor perkilangan dan sektor perkhidmatan dalam persediaan ke arah Industri 4.0. Dana ini ditawarkan kepada semua SME yang telah berjaya menjalani program Penilaian Kesediaan (Readiness Assessment) bagi Industri4WRD yang dibiayai oleh kerajaan.

MIDA Merancakkan Ekonomi Malaysia

Sehingga Disember 2021, MIDA telah mengenalpasti sebanyak 352 projek pelaburan asing yang berprofil tinggi termasuk syarikat Fortune 500 dalam sektor perkilangan dan perkhidmatan, dengan anggaran nilai pelaburan sebanyak RM39.2 bilion. Ini termasuk bidang aeroangkasa, kenderaan elektrik, jentera dan peralatan, rekabentuk papan litar bersepadu, elektronik canggih; bahan termaju; bahan kimia halus; tenaga boleh diperbaharui seperti fotovoltaik; optik dan fotonik; teknologi paparan; petrokimia; farmaseutikal, peranti perubatan dan keselamatan makanan. Projek-projek ini dijangka akan mewujudkan lebih 19,000 peluang pekerjaan baharu kepada rakyat.

Walaupun tahun 2021 telah memberikan cabaran ekonomi yang unik, Malaysia kekal sebagai destinasi pelaburan utama di rantau ini serta mampu untuk mencapai pemulihan yang lebih kukuh dalam melayari pasca pandemik. Sedang kita mengorak langkah di tahun baharu, Kerajaan akan terus komited dalam mengutamakan keperluan rakyat dan perniagaan ke arah pemulihan ekonomi yang disokong oleh pembaharuan dasar yang berterusan, pelaksanaan program vaksinasi yang berkesan serta memacu dan menjayakan usaha pendigitalan negara.

*****

Mengenai MIDA
MIDA adalah agensi promosi dan pembangunan pelaburan utama kerajaan di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) untuk menyelaras dan menggalakkan pelaburan ke dalam sektor perkilangan dan perkhidmatan di Malaysia. Beribu pejabat di Kuala Lumpur Sentral, MIDA mempunyai 12 pejabat wilayah dan 20 pejabat luar negara. MIDA terus menjadi rakan strategik bagi perniagaan dalam merebut peluang yang timbul dari revolusi teknologi pada era masa kini. Untuk maklumat lebih lanjut, sila layari www.mida.gov.my dan ikuti kami di saluran Twitter, Instagram, Linkedin dan Youtube.

Untuk pertanyaan media, sila hubungi:
Pn. Fatmah Ahmad
Pengarah, Bahagian Komunikasi Korporat
Tel: +603-2267 2428 I Email: [email protected],my

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon