B. MalaysiaEnglish
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


AT&S Menyempurnakan Upacara Pecah Tanah Untuk Fasiliti Pembuatan Berteknologi Tinggi Baharu Di Taman Teknologi Tinggi Kulim, Malaysia

AT&S Menyempurnakan Upacara Pecah Tanah Untuk Fasiliti Pembuatan Berteknologi Tinggi Baharu Di Taman Teknologi Tinggi Kulim, Malaysia

Malaysia, Kedah, 30 Oktober 2021 – AT&S Austria Technologie & Systemtechnik (Malaysia) Sdn. Bhd. dengan sukacita mengumumkan permulaan kerja-kerja pembinaan pusat pengeluaran substrat litar bersepadu (IC) di Kulim Hi-Technology Park, Kedah.

Upacara pecah tanah dirasmikan oleh YAB Tuan Haji Muhammad Sanusi Md Nor, Menteri Besar Negeri Kedah dan YB Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, Menteri Kanan dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Semasa ucapan beliau, YB Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali menyatakan, “Meskipun pandemik, syarikat-syarikat seperti AT&S masih berterusan untuk menjalankan projek pembesaran. Saya amat gembira AT&S telah memilih Malaysia sebagai lokasi untuk menubuhkan kilang pembuatannya yang pertama di Asia Tenggara. Ini merupakan pelaburan terbesar dalam sejarah AT&S iaitu sebanyak €1.7 bilion Euros dan dijangka bakal mewujudkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi melebihi 6,000 kepada rakyat Malaysia.Pelaburan ini tepat pada masanya memandangkan sentimen pasaran yang lebih positif disebabkan permintaan global yang dinamik.   

Saya juga ingin mengambil peluang untuk mengucapkan tahniah kepada MIDA terhadap usaha pantas sejak November 2020 untuk merealisasikan pelaburan ini. Saya amat berbesar hati apabila dimaklumkan bahawa projek ini hanya mengambil masa selama 12 bulan untuk membuahkan hasil daripada permulaan sehingga upacara pecah tanah. Sesungguhnya, upacara pecah tanah ini amat dinantikan dan kami amat bergembira untuk menerima salah satu pemain utama industri elektrik dan elektronik (E&E) global di Kedah.”

Encik Arham Abdul Rahman, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) menyatakan, “Kita bangga AT&S akan memanfaatkan kluster industri E&E Malaysia. Kedudukan strategik Malaysia dalam rantau ASEAN, kebolehan bakat tempatan dan kemantapan rantaian bekalan tempatan yang sepadu dengan rantaian nilai global adalah antara faktor tarikan yang tidak dapat dinafikan bagi pelabur antarabangsa seperti AT&S untuk memilih Malaysia sebagai batu loncatan mereka ke rantau ini. Sebagai agensi penggalakan pelaburan utama Malaysia di bawah MITI, MIDA berharap terus bekerjasama rapat dengan AT&S untuk menyokong pertumbuhan operasi mereka di Malaysia.” Walaupun dalam situasi pandemik global, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) tetap meneruskan kerjasama dengan AT&S sejak November 2020 untuk merealisasikan pelaburan ini. Pusat Sehenti bagi Pelawat Perniagaan (One Stop Centre forBusiness Travellers)

yang dikendalikan oleh MIDA, membolehkan pelabur datang ke Malaysia dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat bagi tujuan membuat keputusan perniagaan sebagaimana yang dilaksanakan oleh AT&S untuk menubuhkan kilang pembuatannya di Kulim, Kedah.

Industri elektrikal dan elektronik (E&E) menyumbang sebahagian besar daripada ekonomi Malaysia. Sektor pembuatan E&E Malaysia kini mengalami perubahan yang pesat, di mana syarikat pembuatan sedang mengubah tumpuan mereka ke arah kegiatan teknologi tinggi, intensif pengetahuan dan bernilai tinggi. Dengan adanya ekosistem E&E, MIDA meneruskan usaha untuk menarik syarikat multinasional bernilai tinggi ke Malaysia.

Projek di Malaysia ini dijangka akan mempertingkatkan lagi pembangunan ekosistem semikonduktor Malaysia, pada masa yang sama membuka peluang kepada vendor tempatan untuk menceburi bidang elektronik termaju.

Ketua Pegawai Eksekutif AT&S, Encik Andreas Gerstenmayer berkata, “Langkah ini merupakan pencapaian sebenar bagi AT&S. Dengan adanya kilang termaju kami bagi substrat IC, kami mampu mewujudkan sektor teknologi yang serba baharu di Malaysia, yang bakal menjadi salah sebuah kawasan khas mikroelektronik global. Kami bukan sahaja mengeluarkan substrat IC atasan untuk pemproses prestasi tinggi di pusat pengeluaran baharu kami, tetapi juga menjalankan kegiatan R&D di lokasi ini yang akan mewujudkan situasi menang-menang bagi kedua-dua belah pihak, iaitu AT&S serta masyarakat Malaysia memandangkan pelaburan dalam R&D adalah pelaburan untuk masa depan sebuah negara.”

“Dengan pelaburan AT&S di Malaysia, kita akan mewujudkan 6,000 peluang pekerjaan teknologi tinggi di rantau ini dan akan membantu dalam menetapkan rangka kerja bagi pertumbuhan di Malaysia pada masa akan datang,” kata Ketua Pegawai Operasi AT&S, Encik Ingolf Schröeder. “Bagi kami, ini adalah tanggungjawab asasi kami sebagai syarikat antarabangsa untuk tetap berpegang kepada komitmen sosial dan kedudukan kami sebagai majikan yang inklusif, pelbagai dan bertanggungjawab di lokasi baharu ini.”

MIDA dan AT&S menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) bagi kerjasama jangka panjang dalam penyelidikan dan pembangunan dan program peningkatan kemahiran dengan universiti serta institusi latihan dan penyelidikan di Malaysia, dengan matlamat mewujudkan peluang kerja dalam bidang berkemahiran tinggi dan bernilai tambah tinggi. 

Dengan menandatangani MOU ini, MIDA mengharapkan kedua-dua belah pihak dapat meningkatkan kecekapan bakat di Malaysia terutamanya dalam bidang PCB dan substrat IC atasan.

*****

Mengenai MIDA

MIDA adalah agensi promosi dan pembangunan pelaburan utama Kerajaan di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) untuk menyelaras dan menggalakkan pelaburan ke dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan di Malaysia. Beribu pejabat di Kuala Lumpur Sentral, MIDA mempunyai 12 pejabat wilayah dan 20 pejabat luar negara. MIDA terus menjadi rakan strategik bagi perniagaan dalam merebut peluang yang timbul dari revolusi teknologi pada era masa kini. Untuk maklumat lebih lanjut, sila layari www.mida.gov.my dan ikuti kami di saluran Twitter, Instagram dan Facebook, Linkedin dan Youtube.

Mengenai AT&S

AT&S merupakan peneraju dalam pembuatan papan litar bercetak dan substrat IC atasan. AT&S mengindustrikan teknologi termaju untuk segmen perniagaan teras syarikat tersebut iaitu Peranti Mudah Alih dan Substrat, Automotif, Perindustrian dan Perubatan. AT&S  mempunyai kehadiran global dengan tapak pengeluaran di Austria (Leoben, Fehring) dan kilang di India (Nanjangud), China (Shanghai, Chongqing) dan Korea (Ansan yang terletak berhampiran Seoul). Syarikat ini mempunyai kira-kira 12,000 kakitangan. Untuk maklumat lanjut, sila layari www.ats.net

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi :

Mr. Gerald Reischl, Director Communications & PR – AT&S AG
Tel.: +43 664 88592452 | Email: [email protected]  

 Ms. WaiQuan Wong, Junzi Communications On behalf of AT&S AG
Tel.: 03+6012-456 0308 | Email: [email protected]  

Ms. Azlina Hamdan, Director, E&E Division, MIDA
Tel.: +603-2267 3791| Email: [email protected]

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon
X