B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Xinyi labur RM1.5 bilion bina kilang di Jasin

Xinyi labur RM1.5 bilion bina kilang di Jasin

29 Dis 2021

Xinyi Glass Holdings Ltd, syarikat pengeluar kaca terbesar di Asia bakal melabur kira-kira RM1.5 bilion bagi pembinaan dua kilang baharu yang akan mengeluarkan kaca bagi kegunaan industri automotif di Kawasan Perindustrian Elkay, Lipat Kajang di sini.

Exco Kanan Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan Usahawan Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, berkata dua kilang berkenaan akan dibina di kawasan seluas 52.61 hektar dan dijangka mula dibangunkan dalam tempoh enam bulan akan datang.

“Berdasarkan perbincangan yang diadakan, pihak Xinyi amat tertarik dengan kemudahan dan kawasan persekitaran di Lipat Kajang dan bercadang membesarkan operasi dengan pertambahan modal kira-kira RM1.5 bilion dalam masa terdekat.

“Jadi semua pihak termasuk kerajaan negeri dan agensi yang hadir pada hari ini berusaha untuk membantu Xinyi supaya dapat memulakan projek pembesaran kilang di Melaka kerana Xinyi adalah satu-satunya kilang pengeluar kaca terbesar di rantau Asia,” katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan ke kilang Xinyi Glass di sini, hari ini.

Ab Rauf berkata, pembinaan dua kilang berkenaan dijangka mampu mewujudkan kira-kira 800 peluang pekerjaan khususnya untuk rakyat tempatan di Melaka dan sehingga kini, syarikat berkenaan telah menggaji lebih 1,700 pekerja dengan 55 peratus daripadanya terdiri daripada rakyat tempatan.

Beliau berkata, sehingga kini, syarikat yang berpangkalan di Hong Kong, itu membawa pelaburan berjumlah RM2.2 bilion sejak mula beroperasi di Melaka pada 2016.

Katanya, selain itu, Xinyi Glass Holdings Ltd turut berminat melabur bagi menaik taraf kemudahan di Pelabuhan Tanjung Bruas di Tanjung Kling di sini kerana syarikat berkenaan menggunakan pelabuhan itu untuk mengeksport kaca ke luar negara.

“Xinyi memilih untuk menggunakan Pelabuhan Tanjung Bruas berbanding Pelabuhan Klang dan dalam tempoh sebulan, terdapat dua penghantaran ke luar negara membabitkan 500 kontena bagi setiap satu penghantaran di pelabuhan terbabit,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata kerajaan negeri akan melakukan rundingan dengan pengurusan Pelabuhan Tanjung Bruas, Zon Ekonomi Pesisir Pantai Melaka (M-WEZ) dan agensi terbabit dalam tempoh dua minggu ini bagi menyelaras usaha menambah baik kemudahan di pelabuhan berkenaan.

“Jumlah pelaburan akan ditentukan mengikut kapasiti kemudahan yang akan dibangunkan, namun kita menganggarkan projek menaik taraf pelabuhan berkenaan menelan belanja antara RM1 bilion hingga RM2 bilion,” katanya.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon