B. Malaysia
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Gas asli pacu masa depan mampan untuk industri gas Malaysia

Gas asli pacu masa depan mampan untuk industri gas Malaysia

30 Dis 2021

Gas asli sebagai hidrokarbon terbersih mempunyai peranan penting dalam pengurangan pelepasan karbon, khususnya di Malaysia.

Kerajaan telah menggariskan beberapa inisiatif untuk memajukan industri tenaga bagi tenaga mampan masa hadapan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) yang termasuk gas asli seperti cadangan Dasar Tenaga Negara yang bersifat menyeluruh,  yang akan menyediakan hala tuju strategik jangka panjang bagi menyokong aspirasi keneutralan karbon.

Sama penting peranannya pada masa lalu, gas asli akan terus amat diperlukan untuk penjanaan kuasa dan sebagai padanan bagi tenaga boleh baharu dalam sistem tenaga masa depan mampan Malaysia.

Gas asli diharapkan berperanan bagi jangka panjang untuk menyediakan akses tenaga dan jaminan kepada negara, dan pada masa sama membantu negara mencapai sasaran pengurangan pelepasan karbon rumah hijau yang lebih baik iaitu sebanyak 45 peratus menjelang 2030.

Simposium Gas Malaysia 2021

Sebagai pengiktirafan terhadap kepentingan gas asli yang semakin meningkat dalam peralihan tenaga bersih Malaysia, Persatuan Gas Malaysia (MGA) sekali lagi berjaya menganjurkan Simposium Gas Malaysia (MyGAS) 2021 dari 22 hingga 25 Nov, 2021.

Sepanjang empat hari perbincangan panel, MyGAS berfungsi sebagai platform wacana untuk penceramah dari Malaysia dan luar negara membicarakan peranan penting gas dalam peralihan tenaga.

Negara yang sedang membangun di rantau ini, termasuk Malaysia, terus dicabar untuk mengimbangi dilema tenaga, dengan jaminan tenaga dan kemampuan tenaga kekal menjadi keutamaan.

Kira-kira 152 juta orang di rantau ini kekurangan akses kepada elektrik, manakala 900 juta lagi mengalami kekurangan akses kepada masakan bersih.

Langkah tergesa-gesa kepada peralihan tenaga akan membawa akibat yang tidak diingini, bukan hanya membahayakan jaminan tenaga kita malah pertumbuhan ekonomi.

Sebagai contoh, di United Kingdom, kapasiti terpasang untuk turbin angin ialah 24GW.

Bagaimanapun, bagi beberapa bulan 2021, kemarau angin mengakibatkan penurunan ketara dalam keupayaan penjanaan oleh turbin angin. Syukurlah, gas asli tersedia untuk memastikan bekalan tenaga tidak terganggu.

Dalam kenyataannya pada sesi pembukaan MyGAS, Presiden MGA, Abdul Aziz Othman menekankan bahawa dalam mempercepat peralihan tenaga, Malaysia mesti mengimbangi keutamaannya yang penting kepada negara.

Beliau menyuarakan bahawa dasar tenaga merupakan antara elemen utama untuk mencapai peralihan tenaga yang pragmatik dan adil, justeru gas asli, bersamasama dengan gas boleh baharu dan gas rendah karbon lain, akan kekal relevan dalam menyediakan akses dan jaminan tenaga masa hadapan di Malaysia.

Matlamat Liberalisasi Malaysia

Gas asli, digabungkan dengan gas karbon rendah dan boleh baharu, akan terus berperanan penting dalam Dasar Tenaga Negara dan laluan Malaysia untuk mencapai keneutralan karbon.

MyGAS mendapatkan sebahagian pandangan daripada industri penting semasa sesi panel itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Tenaga bagi Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia,  Steven Aroki yang mengendalikan sesi panel ketiga  MyGAS, merumuskan terdapat trend baharu bagi liberalisasi pasaran, sekali gus menyebabkan wujudnya cabaran apabila harga berubah.

“Usaha sama sepenuhnya oleh semua pihak merentasi seluruh rantaian nilai gas adalah penting untuk mencapai matlamat kita dalam liberalisasi. Kami berharap lebih banyak penambahbaikan ke arah ketelusan pasaran gas Malaysia,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif  Nano Malaysia Bhd, Dr Rezal Khairi Ahmad pada sesi panel keempat MyGAS menegaskan bahawa hidrogen dan gas asli saling memerlukan dan berupaya hidup dengan harmoni.

“Kedua-duanya mampu memberikan manfaat antara satu dengan lain, hidrogen dan gas asli boleh mewujudkan simbiosis yang baik untuk mencapai agenda hijau dan penyahkarbonan demi masa depan mampan sektor tenaga Malaysia,” katanya.

Laporan oleh Agensi Tenaga Antarabangsa yang diterbitkan pada Mei 2021 meramalkan penghasilan sekitar 40 peratus hidrogen daripada gas asli menjelang 2050.

Gas Asli Kekal Sebagai Bahan Api Utama Dalam Campuran Tenaga

Gas asli dijangka kekal sebagai bahan api utama dalam campuran tenaga walaupun pada 2050.

Menurut Prospek Peralihan Tenaga DNV bagi 2021, bekalan gas asli pada 2050 dijangka kekal menghampiri tahap seperti 2019 dan diunjurkan membentuk kira-kira 25 peratus daripada jumlah bekalan tenaga utama dunia pada 2050.

Pada masa sama, permintaan terhadap gas asli dalam sektor tenaga dijangka kekal pada tahap yang sama pada 2019.

Bertemakan ‘Peranan Gas dalam Matlamat Malaysia Menuju Neutral Karbon Menjelang 2050’, MyGAS diadakan tepat pada masanya, seiring dengan komitmen Malaysia untuk mencapai keneutralan karbon seawal 2050.

Malaysia telah meletakkan komitmen yang lebih berani — untuk tidak lagi membina loji janakuasa arang batu pada masa depan. Ini bererti, gas asli adalah pilihan terbaik dan paling munasabah untuk mengambil alih peranan sepenuhnya dalam menyediakan tenaga beban asas.

Harga pasaran gas pada masa ini bukan sahaja menawarkan insentif untuk menarik lebih banyak peserta  memasuki pasaran, malah memastikan kejayaan liberalisasi pasaran.

Selain itu, kerancakan pasaran akan turut menggalakkan penggunaan gas yang lebih meluas, sekali gus mendorong lebih banyak peluang perniagaan dan pelaburan yang berterusan merentasi rantaian nilai industri gas.

Tenaga boleh baharu bukan satu-satunya penyelesaian yang segera dan efektif. Gas asli sebagai bahan api fosil terbersih akan melakukan peranan pentingnya untuk melengkapkan pertumbuhan gas-gas baharu muncul seperti hidrogen, bio-metana dan ammonia bagi mempercepat komitmen Malaysia dalam neutral karbon.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon
X