B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Xin Hwa jangka prospek positif susulan permintaan kukuh ruang gudang, pemulihan segmen logistik

Xin Hwa jangka prospek positif susulan permintaan kukuh ruang gudang, pemulihan segmen logistik

30 Sep 2021

Xin Hwa Holdings Bhd, penyedia perkhidmatan logistik bersepadu menjangkakan prospek positif bagi industri itu pada masa depan susulan sokongan permintaan yang kukuh terhadap ruang gudang dan pemulihan segmen logistik di dalam dan luar negara.

Pengarah Urusannya Ng Aik Chuan dalam satu kenyataan hari ini berkata syarikat itu percaya ia berada di kedudukan baik untuk meraih manfaat daripada prospek positif ini.

Beliau berkata, pusat e-penunaian baharu syarikat itu di Shah Alam yang disasar memulakan operasi pada bulan depan akan menambahkan lagi 300,000 kaki persegi atau 45.8 peratus kepada kapasiti gudang sedia adanya, meningkatkan jumlah ruang tersedia kumpulan kepada kira-kira 1.0 juta kaki persegi.

Menurut Ng, sekarang adalah masa yang sesuai bagi kumpulan untuk memanfaatkan  permintaan kukuh terhadap penyimpanan kerana gudang sedia adanya beroperasi hampir pada kapasiti penuh.

Beliau berkata lonjakan aktiviti membeli belah dalam talian berikutan pandemik COVID-19 dan sekatan pergerakan telah meningkatkan keperluan bagi ruang gudang.

Tambahan lagi, isu gangguan kontena perkapalan telah membawa kepada pergerakan perlahan kargo yang menyebabkan barangan perlu disimpan lebih lama di gudang, yang seterusnya memburukkan lagi masalah kekurangan ruang rumah gudang, katanya.

“Malahan, beberapa pelanggan berpotensi telahpun menghubungi kami untuk membincangkan untuk memajak ruang di pusat penunaian baharu kami. Oleh itu, kami menjangkakan kadar penggunaan gudang kami meningkat dengan kukuh dalam tempoh 12 bulan akan datang.

“Sementara itu, bagi segmen perkhidmatan pengangkutan darat kami, terdapat petanda kukuh pemulihan perlahan-lahan berikutan penyambungan semula aktiviti ekonomi di dalam negara,” katanya.

Menurut Kementerian Kewangan, keluaran dalam negara kasar (KDNK) perkhidmatan pengangkutan dan simpanan diunjur berkembang 7.5 peratus tahun ini berbanding tahun sebelumnya.

Selain itu, Ng berkata terdapat peluang besar yang boleh dimanfaatkan kumpulan apabila kerajaan dijangka melancarkan projek berkaitan prasarana dan pengangkutan mega baharu bagi merangsang ekonomi seperti Transit Aliran Berkapasiti Tinggi Lembah Klang dan menyambung semula projek mega lain termasuk Laluan Rel Pantai Timur, antara lainnya.

“Ini memberikan prospek baik bagi segmen perkhidmatan pengangkutan darat kumpulan pada masa depan,” katanya.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon