B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


TTM Technologies labur US$130 juta dalam kilang di Pulau Pinang, pertama di Asia Tenggara

TTM Technologies labur US$130 juta dalam kilang di Pulau Pinang, pertama di Asia Tenggara

25 Apr 2022

TTM Technologies Inc yang tersenarai di NASDAQ, akan mendirikan kilang pembuatannya yang pertama di Asia Tenggara di Pulau Pinang, memperuntukkan pelaburan modal sebanyak US$130 juta (RM550 juta) hingga 2025.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata pembinaan kemudahan itu dijangka bermula bulan depan dan pengeluaran perintis dijadualkan bermula pada separuh kedua 2023. 

“Pelaburan ini dijangka mewujudkan 800 pekerjaan dalam tempoh tiga tahun, dalam pembuatan papan litar bercetak (PCB) yang terkini seperti jumlah lapisan tinggi dan kesalinghubungan berketumpatan tinggi (HDI),” katanya kepada pemberita selepas majlis pecah tanah kilang pembuatan TTM di sini hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif TTM Tom Edman berkata kemudahan baharu ini menjadi yang pertama untuk TTM berikutan secara lazimnya, ia membina syarikat melalui pengambilalihan.

Bagaimanapun, ia memilih untuk memberikan modal yang besar untuk kemudahan baharu di Pulau Pinang.

Beliau berkata dengan kemudahan baharu itu, pihaknya merancang untuk bermula dari bawah dengan pendekatan Industri 4.0 yang sebenar untuk pembuatan PCB.

Sehubungan itu, katanya keputusan untuk mewujudkan kemudahan baharu itu di Malaysia, terutamanya di Pulau Pinang, untuk memenuhi permintaan pelanggannya bagi daya tahan rantaian bekalan, keupayaan kapasiti kemudahan untuk PCB berteknologi tinggi di luar China dan keupayaan infrastruktur Malaysia.

Sementara itu, Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Operasi TTM Phil Titterton berkata kemudahan pembuatan yang akan datang di sini akan menjadi kilangnya yang paling maju berikutan ia merupakan kemudahan baharu.

“Kami memutuskan untuk melabur di sini berikutan teknologi, tenaga kerja dan kejuruteraan di kawasan itu merupakan satu kelebihan, namun perbezaan yang memihak kepada Pulau Pinang ialah penyelarasan yang lancar oleh InvestPenang dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia, walaupun negara berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan pada masa itu,” katanya.

Kilang baharu itu akan memberikan perkhidmatan kepada pasaran komersial global TTM termasuk komunikasi rangkaian, pengkomputeran pusat data serta perubatan, perindustrian dan instrumentasi.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon