B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


GDS China labur RM1.38 bilion dalam kampus pusat data hiperskala di Johor

GDS China labur RM1.38 bilion dalam kampus pusat data hiperskala di Johor

25 Apr 2022

Pemaju dan operator pusat data berprestasi tinggi terkemuka dari China, GDS Holdings Ltd, akan membangunkan kampus pusat data “hiperskala” di Nusajaya Tech Park, Iskandar Puteri dengan pelaburan RM1.38 bilion.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Johor, Lee Ting Han berkata pembangunan kampus pusat data hiperskala itu membabitkan keluasan lantai bersih berjumlah 22,500 meter persegi dengan kapasiti tenaga 54 megawatt.

Pusat data hiperskala merupakan fasiliti kritikal perniagaan yang direka untuk menyokong jumlah data yang besar serta sering dikaitkan dengan syarikat-syarikat penghasil data gergasi seperti Google, Microsoft, dan Facebook.

GDS mempunyai rekod prestasi 20 tahun dan pelanggannya terdiri daripada penyedia perkhidmatan awan hiperskala, syarikat internet besar, institusi kewangan, telekomunikasi termasuk penyedia perkhidmatan IT, antara lain.

Lee dalam catatan di Facebook bersempena dengan majlis pecah tanah di sini semalam berkata fasa pertama projek itu dijangka siap menjelang awal 2024.

“Kami melihat projek ini telah mengesahkan daya tarikan Johor sebagai peneraju antarabangsa serta destinasi pelaburan domestik yang utama, yang didorong oleh infrastruktur kelas dunia dan persekitaran pengawalseliaan yang mesra perniagaan.

“Pelaburan ini seperti memberi isyarat bahawa Johor mahu menjadi negara yang progresif dan berteknologi maju yang sentiasa mencari nilai tambah,” kata Lee yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Paloh.

Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dalam satu kenyataan berasingan berkata projek tersebut menandakan permulaan pelan pelaburan jangka panjang syarikat Shanghai itu di Malaysia dan Asia Tenggara yang akan merangkumi pembangunan fasa kedua kampus pusat data di Nusajaya itu.

Pusat data baharu itu juga diunjurkan mampu mewujudkan 64 pekerjaan berkemahiran tinggi selain akan melayani pelanggan berpotensi dari China dan juga di seluruh dunia.

Kehadiran GDS di Malaysia dan pembinaan pusat data di Nusajaya itu dijangka akan mencatatkan sumbangan yang luar biasa kepada pembangunan ekonomi digital Malaysia.

Pembangunan projek ini disokong oleh Pejabat Pelaburan Digital (DIO), yang merupakan platform kerjasama antara MIDA dan MDeC.

Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif GDS, William Huang berkata Malaysia adalah negara yang ideal untuk pelan penyerantauan syarikat, berdasarkan kepada lokasinya yang strategik, infrastruktur berkelas dunia dan akses kepada bakat berkemahiran tinggi, pelbagai budaya serta berbilang bahasa.

“Faktor-faktor ini, termasuk kedekatan Nusajaya ke Johor Bahru dan Singapura, akan menjadi baik untuk pelanggan GDS sedia ada yang ingin berkembang di rantau ini. Kami amat menghargai ekosistem Malaysia yang agak mantap dalam menyokong kehadiran kami di sini,” tambah Huang.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon