B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Tiong Nam labur RM217.9 juta perkukuh keupayaan logistik, gudang

Tiong Nam labur RM217.9 juta perkukuh keupayaan logistik, gudang

29 Ogo 2022

Tiong Nam Logistics Holdings Bhd akan memperuntukkan perbelanjaan modal sebanyak RM217.9 juta untuk mengembangkan bahagian perkhidmatan logistik dan pergudangan bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2023 dan 31 Mac 2024.

Pelaburan yang penting itu akan disalurkan ke kemudahan pergudangan kumpulan bagi menampung permintaan yang semakin meningkat khususnya untuk penyelesaian logistik secara keseluruhan.

Pengarah Urusan Tong Nam, Ong Yoong Nyock, berkata perkhidmatan logistik dan pergudangan kekal penting kerana perniagaan dan isi rumah bergantung pada rantaian bekalan yang cekap.

“Kami komited untuk mengukuhkan kedudukan sebagai penyedia penyelesaian logistik menyeluruh yang terkemuka di Malaysia, dengan ketersambungan armada logistik yang lancar dan kewujudan gudang kami di semua negeri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, memandangkan ekonomi serantau terus bertambah baik, kumpulan itu bersedia untuk menyokong peningkatan aktiviti perdagangan melalui laluan yang meluas dan ketersambungannya ke negara lain di ASEAN sehingga ke China.

Kerjasama baru-baru ini dengan anak syarikat Johor Corporation, JLand Group akan membolehkan kumpulan itu membina rangkaian pengedaran yang lebih kukuh yang boleh meningkatkan kelebihan daya saingnya dalam jangka panjang, katanya.

Tiong Nam berkata, daripada jumlah perbelanjaan modal itu, 70 peratus akan diperuntukkan kepada pembinaan gudang yang sedang dilaksanakan di Senai, Johor dan bakinya untuk pembinaan dua gudang di Kempas, Johor dan Kulim, Kedah.

Pembinaan gudang di Senai, Johor dijangka siap pada tahun kewangan 2023 dan akan disewakan kepada Mercedes Benz Parts Logistics Asia Pacific Sdn Bhd, manakala pembinaan dua gudang di Kempas, Johor dan Kulim, Kedah dijangka bermula pada tahun kewangan 2023 dan siap pada tahun kewangan 2024.

Kombinasi gudang sedia ada di Malaysia, Singapura, Thailand dan Laos, bersama dengan gudang baharu itu akan meningkatkan jumlah kapasiti pergudangan kumpulan sebanyak 16.2 peratus kepada 7.9 juta kaki persegi pada tahun kewangan 2024 daripada 6.8 juta kaki persegi pada Mac 2022.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon