B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Tiga firma tempatan kembang operasi di Pulau Pinang

Tiga firma tempatan kembang operasi di Pulau Pinang

05 Nov 2021

Tiga syarikat besar tempatan dalam rantaian bekalan pembuatan peralatan mengembangkan operasi mereka masing-masing di Taman Perindustrian Batu Kawan dengan jumlah pelaburan bernilai RM520 juta.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, berkata tiga syarikat berkenaan iaitu Greatech Technology Bhd (Greatech), Pentamaster Corporation Bhd (Pentamaster) dan UWC Bhd (UWC) secara kolektif membeli tanah seluas 14 hektar dan kesemua projek dijangka bermula pada suku pertama 2022.

Beliau berkata, keputusan oleh ketiga-tiga syarikat itu untuk melabur semula di Pulau Pinang, menunjukkan keyakinan berterusan mereka terhadap ekosistem perindustrian yang kukuh di negeri ini dan apabila siap kelak dan beroperasi sepenuhnya ia dijangka mewujudkan sehingga 1,300 peluang pekerjaan bagi tenaga kerja tempatan.

“Saya gembira hari ini Pulau Pinang bukan saja mempunyai reputasi tinggi sebagai lokasi pilihan bagi syarikat multinasional tetapi juga di kenali sebagai negeri keusahawanan yang menyediakan persekitaran kondusif bagi syarikat tempatan untuk berkembang maju.

“Malahan, Pulau Pinang adalah lokasi pilihan majoriti syarikat besar tempatan dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E) serta mesin dan peralatan (M&E).

“Dalam tempoh lima tahun lalu, kami menyaksikan pertumbuhan pesat LLC ini yang menyediakan perkhidmatan kepada pemain global dalam pelbagai industri,” katanya selepas majlis mengumumkan pelan pengembangan tiga syarikat itu di sini, hari ini.

Turut hadir pada majlis itu ialah penasihat pelaburan khas kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Lee Kah Choon; Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Pulau Pinang, Datuk Mohd Bazid Abd Kahar; Ketua Pegawai Eksekutif InvestPenang, Datuk Loo Lee Lian; Pengarah Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Pulau Pinang, Muhd Ghaddaffi Sardar; Pengerusi Lembaga Greatech, Ooi Hooi Kiang; Pengerusi Eksekutif Pentamaster, Chuah Choon Bin; dan Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan UWC, Datuk Ng Chai Eng.

Kon Yeow berkata, pelaburan langsung domestik (DDI) meningkat ke paras paling tinggi dalam tempoh sedekad sebanyak RM3.6 bilion pada 2020, mewakili 25 peratus daripada jumlah pelaburan langsung negeri manakala dalam separuh pertama 2021, syarikat tempatan menyumbang RM700 juta pelaburan langsung bersamaan dengan 54 peratus daripada jumlah pelaburan langsung di Pulau Pinang.

“Syarikat besar tempatan dan PKS, terutama memainkan peranan penting dalam meningkatkan pertumbuhan sektor M&E di negeri ini. Pulau Pinang kini memiliki rantaian bekalan komprehensif dalam M&E dan domain automasi yang diterajui oleh syarikat tempatan dengan pelbagai jenis kecekapan teras seperti Greatech, Pentamaster dan UWC.

“Saya berharap pertumbuhan berterusan syarikat besar tempatan akan diterjemahkan kepada lebih banyak peluang perniagaan dan membawa kepada pemindahan pengetahuan kepada PKS tempatan, sekali gus membolehkan mereka diberi dorongan dan lebih banyak syarikat besar tempatan ditubuhkan di Pulau Pinang,” tambahnya.

Dengan gabungan permodalan pasaran hampir RM20 bilion, ketiga-tiga syarikat besar tempatan itu berkembang pesat dalam tempoh lima tahun lalu dari segi hasil, pelanggan, serta portfolio produk masing-masing termasuk aktiviti nilai tambah dan huluan yang tinggi.

Sementara itu, Hooi Kiang berkata dengan jumlah keluasan binaan 24,619.31 meter persegi, fasiliti baharu itu, Batu Kawan IV, akan menempatkan aktiviti reka bentuk dan pemasangan bernilai tinggi bagi produk baharu yang memenuhi keperluan industri yang pesat membangun, seperti sains hayat dan semikonduktor.

“Kami menyasar menyiapkan pembinaan itu pada suku ketiga tahun depan. Fasiliti baharu itu bakal mewujudkan 500 peluang pekerjaan, yang mana, 300 adalah jurutera dan selebihnya 200 adalah pekerja pemasangan dan jurumesin,” katanya sambil menambah sebaik sahaja fasiliti baharu itu beroperasi, Greatech akan mempunyai keseluruhan 1,200 pekerja.

Choon Bin, dalam pada itu berkata, fasiliti baharu itu akan menjadi yang ketiga bagi Pentamaster di negeri ini dan pengembangan itu akan melibatkan pelaburan sebanyak RM120 bilion bagi membina kemudahan canggih seluas 46,451.52 kaki persegi fasiliti yang dan disokong oleh 300 jurutera baharu.

Bagi UWC pula, Chai Eng berkata syarikat itu akan melabur sebanyak RM200 juta dalam projek pengembangan terbabit bagi tempoh tiga tahun, melengkapkan pelan jangka panjangnya untuk beralih menjadi pemain bersepadu.

“Saya gembira projek ini bakal mewujudkan 300 jawatan kejuruteraan dan 200 kekosongan juruteknik bagi pekerja tempatan, mengukuhkan lagi kedudukan Pulau Pinang sebagai magnet pekerjaan di wilayah utara,” tambahnya.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon