B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Teknologi digital pacu kemajuan Malaysia

Teknologi digital pacu kemajuan Malaysia

13 Dis 2020

Sejak dulu, saya optimis kuasa internet membuka jalan ke hadapan. Sewaktu remaja, saya berniaga aksesori komputer di eBay untuk menjana duit poket tambahan.

Semangat sama diperlihatkan warga Malaysia di mana saja, daripada perniagaan bukan digital yang menerima dan menghantar tempahan menggunakan aplikasi pesanan, hinggalah kepada syarikat berimpak tinggi seperti AirAsia yang mempertaruhkan aplikasi baharu super mereka.

Semakin menghampiri penghujung tahun yang getir, penting untuk kekal optimistik. Sehubungan itu, diketengahkan bagaimana ekonomi Malaysia dapat terus melangkah ke hadapan pada 2021.

Google menerbitkan laporan e-Conomy bersama Bain and Temasek berjudul At Full Velocity: Resilient and Racing Ahead. Ia mengutarakan tiga bahagian penting perlu ditangani bersama perniagaan swasta, kerajaan dan masyarakat awam.

Pertama, kita harus terus melabur dalam ekonomi digital, terutama di luar Lembah Klang. Menurut laporan e-Conomy, Malaysia melangkaui keupayaan dan menjana kadar pertumbuhan e-dagang terkuat di Asia Tenggara pada 2020 dari tahun ke tahun melebihi 87 peratus.

Ia diterajui gelombang baharu pengguna servis digital (lebih satu daripada tiga pengguna adalah pengguna kali pertama) dengan sebahagian besarnya dari luar Lembah Klang. Ini sangat memberangsangkan, kerana terdapat ruang pertumbuhan buat Malaysia.

Kita juga melihat inisiatif memberangsangkan daripada agensi kerajaan seperti kempen ‘Shop Malaysia Online’ dengan suntikan RM140 juta dilaksanakan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), demi membantu perniagaan Malaysia menceburi e-dagang.

Terdapat juga beraneka alatan percuma boleh digunakan sebaiknya oleh perniagaan. Google contohnya, tahun ini membolehkan perniagaan menyenarai dan menjual produk masing-masing di Google Shopping dengan percuma.

Kedua, kita perlu menggembleng tenaga merapatkan jurang digital melalui program peningkatan kemahiran (upskilling) dan kemahiran semula (reskilling) dalam soal kemahiran digital yang lestari.

Menurut laporan e-Conomy, semua pemboleh ekonomi digital menunjukkan kemajuan positif kecuali bakat digital. Inisiatif kerjasama dengan Google seperti Akademi Redbeat AirAsia yang membangunkan bakat awan (cloud skill), program mentor ‘Wanita Cukup Berani’ oleh MAGGI untuk melatih wanita kumpulan B40 dan program keusahawanan digital e-usahawan, adalah contoh kerjasama kukuh perlu dibentuk dan diteruskan pada 2021.

Google sendiri bersemangat dengan inisiatif 2021 dicadangkan kerajaan berkenaan hal ini melalui peruntukan RM1 bilion untuk program peningkatan kemahiran dan kemahiran semula.

Usaha lebih teratur dan terkoordinasi kedua-dua pihak iaitu awam dan swasta dalam perkara ini amatlah dialu-alukan.

Akhir sekali, kita harus melabur dalam menggerakkan adaptasi berterusan dan penggunaan teknologi dalam pendidikan atau EdTech.

Adalah berhemah untuk kita tidak lupa norma baharu bukan sekadar memberi impak kepada ekonomi hari ini, malah terhadap masa depan generasi anak-anak, yang mana pengalaman persekolahan mereka sedang terkesan.

Untuk kebanyakan mereka, sekarang adalah tahun pembentukan pendidikan paling penting. Di Malaysia, diyakini pendekatan hibrid dengan teknologi mampu membantu memudahkan peralihan ini.

Salah satu contoh ialah DELIMA (Digital Educational Learning Initiative Malaysia), usaha sama antara Kementerian Pendidikan dan Google.

Hampir tiga juta pelajar berdaftar, menjadikan Malaysia satu daripada pengguna Google Classrom terbesar rantau Asia Pasifik. Seramai lima juta pelajar mungkin berdaftar tahun depan.

Tambahan, isi kandungan pendidikan daripada Kementerian Pendidikan seperti Kelas@Rumah yang disiarkan di RTM dan EduwebTV di YouTube menyediakan kaedah alternatif untuk peralihan kepada model baharu pendidikan dari rumah.

Walaupun kemajuan menggalakkan, kami kekal komited terus bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan dan peneraju industri pendidikan pada 2021, demi memastikan adaptasi serta kualiti pendidikan berterusan. Usaha sama lain dalam hal ini amat dinantikan.

COVID-19 mengubah asas penting kehidupan harian warga Malaysia. Adaptasi digital yang diramal berlaku dalam masa beberapa tahun, sebaliknya memecut pantas.

Ditambah dengan usia populasi rantau yang muda, pelbagai dan kebanyakannya mementingkan aspek ‘mobile’ atau mudah alih serta ramai usahawan berbakat, Malaysia mampu membentuk masa hadapan teknologi di Asia Pasifik.

Seperti di serata dunia, Malaysia turut menghadapi cabaran signifikan dalam pembinaan semula dan pertumbuhan di kala pandemik, namun wujud peluang besar jika kita boleh membantu negara merealisasikan potensinya.

Pada 2021, marilah kita memilih untuk kekal optimistik dan meneruskan langkah ke hadapan dengan internet.

Marc Woo – Penulis adalah Pengarah Urusan Google Malaysia

Sumber: Berita Harian

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon