B. Malaysia

|

|

This site
is mobile
responsive


Dutch Lady bangunkan hab tenusu di Bandar Enstek, labur RM340 juta

Dutch Lady bangunkan hab tenusu di Bandar Enstek, labur RM340 juta

17 Dis 2020

Dutch Lady Milk Industries Bhd (DLMI) memperuntukkan pelaburan RM340 juta untuk memajukan tanah perindustrian berkeluasan 13.19 hektar di Bandar Baru Enstek, Negeri Sembilan menjadi hab tenusu halal di Malaysia.

Pengarah Urusannya, Tarang Gupta, berkata perbelanjaan modal (capex) berskala besar yang dibiayai dana dalaman bagi tempoh 2021 hingga 2025 untuk membangunkan tanah yang diambilalih tahun ini, bakal memberi manfaat kepada Malaysia.

Katanya, pelan kumpulan itu bakal menyokong peningkatan penggunaan susu yang semakin meningkat di negara ini bagi menangani penyakit tidak berjangkit (NCD) yang membimbangkan di Malaysia.

“Kilang pengeluaran baharu akan menghasilkan pelbagai produk nutrisi DLMI dan kapasiti tambahan itu dapat meningkatkan penghasilan variasi inovatif lain pada masa hadapan.

“Hab tenusu halal baharu kami di Negeri Sembilan akan menjadi pusat bertaraf dunia dan dilengkapi dengan teknologi mesra alam terkini, untuk meningkatkan lagi kecekapan dan produktiviti,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Gupta berkata, pelan pengembangan operasi DLMI itu sejajar dengan Agenda Kesihatan Nasional bagi mencapai status kesihatan dan nutrisi lebih baik kepada rakyat Malaysia khususnya generasi muda.

“Kami ingin bekerjasama dengan kerajaan untuk mengembangkan sektor kritikal ini kerana susu adalah sumber nutrien yang sangat penting untuk penggunaan harian.

DLMI memiliki kemampuan dan pengalaman untuk membantu kerajaan dalam dua bidang utama iaitu keselamatan makanan dan membangunkan bekalan makanan domestik terutama pada era pandemik ketika ini,” katanya.

Beliau berkata, dengan pelaburan baharu DLMI di Bandar Baru Enstek, Malaysia dapat mengambil langkah ke hadapan untuk memenuhi keperluan makanannya selepas krisis COVID-19 meningkatkan keperluan bekalan domestik.

“Terima kasih kepada kerajaan terutama Kementerian Kewangan, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan kerajaan Negeri Sembilan di atas sokongan padu bagi membolehkan kami memuktamadkan pembelian tanah tahun ini serta menyelesaikan rancangan pelaburan di hab tenusu halal baharu ini,” katanya.

Gupta berkata, kilang pengeluaran baharu DLMI juga akan meningkatkan daya saing Negeri Sembilan sebagai pusat pelaburan baru dan seterusnya membantu mewujudkan manfaat baru kepada vendor dan ekonomi tempatan.

Sumber: Berita Harian

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon
X