B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Malaysia dijangka lulus pelaburan baharu RM138 bilion

Malaysia dijangka lulus pelaburan baharu RM138 bilion

11 Dis 2020

UOB Global Economics and Markets Research meningkatkan unjuran pelaburan diluluskan Malaysia untuk tahun ini kepada RM138 bilion.

Ini berikutan jumlah kelulusan pelaburan negara bagi sembilan bulan pertama tahun ini melepasi jangkaan awalnya sebanyak RM100 bilion.

Ahli Ekonomi Kanannya, Julia Goh, berkata sasaran baharu itu kira-kira 32 peratus lebih tinggi daripada pelaburan sebenar yang diluluskan ketika krisis kewangan global pada 2009.

“Ini adalah isyarat menggalakkan bahawa Malaysia kekal sebagai destinasi pelaburan yang menarik dengan usaha berterusan kerajaan untuk mempercepatkan proses kelulusan pelaburan di samping menawarkan insentif yang berdaya saing,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut firma penyelidikan itu, sektor pembuatan mempamerkan daya tahan dengan pelaburan diluluskan meningkat 16.6 peratus tahun ke tahun kepada RM65.3 bilion pada sembilan bulan pertama tahun ini.

“Ini mengimbangi sebahagian daripada penurunan dalam sektor perkhidmatan dan utama, masing-masing merosot 51. 8 peratus tahun ke tahun kepada RM42.8 bilion dan 73.5 peratus tahun ke tahun kepada RM1.7 bilion,” katanya.

Ia menambah, China, Singapura dan Switzerland adalah tiga sumber utama pelaburan langsung asing dalam sektor pembuatan.

Subsektor utama yang memberikan manfaat termasuk produk petroleum, produk logam asas, elektrik dan elektronik, jentera serta peralatan serta produk kimia serta kimia.

Dalam pada itu, Goh berkata dalam Belanjawan 2021, kerajaan melancarkan pelbagai inisiatif untuk mempercepatkan pelaburan di Malaysia bagi mendorong pertumbuhan ekonomi dan mewujudkan kesan pengganda yang lebih tinggi dalam ekonomi.

Inisiatif ini termasuk pakej insentif istimewa berjumlah RM1 bilion bagi projek teknologi bernilai tambah tinggi termasuk pelaburan penyelidikan dan pembangunan dalam kluster aeorangkasa dan elektronik.

Beliau berkata, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) turut melaksanakan beberapa inisiatif termasuk menubuhkan Unit Penyelarasan dan Pemecutan Projek (PACU) untuk menyediakan kemudahan menyeluruh terhadap semua projek yang diluluskan bagi membolehkan pelaburan di negara ini dibuat tepat pada masanya.

“Dengan inisiatif bagi menarik pelaburan di tengah-tengah peluang perniagaan yang pesat membangun dalam normal baharu pasca pandemik dan pemulihan ekonomi global, kami menjangkakan pelaburan keseluruhan akan meraih semula momentum pada 2021 hingga 2022.

“Pelaksanaan pelaburan yang diluluskan ini, setakat ini akan membantu memulakan pelaburan swasta pada 2021 dan seterusnya,” kata beliau.

Goh berkata, ratifikasi daripada Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) yang baharu ditandatangani menjelang 2021 akan memperkuatkan kedudukan Malaysia sebagai gerbang ke ASEAN dan lebih daripada itu, serta memperkukuh unjuran pelaburan dan perdagangan negara dalam jangka pertengahan.

Sumber: Berita Harian

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon