B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Sumbangan eksport kepada pertumbuhan KDNK bergantung kepada kemajuan vaksinasi – Ahli ekonomi

Sumbangan eksport kepada pertumbuhan KDNK bergantung kepada kemajuan vaksinasi – Ahli ekonomi

24 Mei 2021

Peranan penting yang boleh dimainkan eksport dalam pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) pada 2021 akan bergantung kepada kemajuan program vaksinasi di negara ini, kata ahli-ahli ekonomi.

Ahli Ekonomi Fakulti Perniagaan Universiti Sunway Profesor Dr Yeah Kim Leng berkata penggunaan dan pelaburan boleh diperkukuh dengan kelonggaran aktiviti sosial dan ekonomi, yang hanya dapat dicapai menerusi peningkatan proses vaksinasi untuk mencapai imuniti kelompok menjelang akhir tahun dan membendung kes jangkitan harian pada paras yang boleh dikawal.

“Tanpa aktiviti penggunaan dan pelaburan kembali normal, sukar bagi perdagangan bersih untuk menyumbang kepada pemulihan berbentuk V,” katanya dalam satu temu bual dengan The Edge Market baru-baru ini.

Bagaimanapun, beliau berkata ekonomi kekal berada di landasan untuk mencapai pertumbuhan KDNK 5.5 peratus hingga 6.5 peratus atas sokongan peningkatan prestasi eksport, tanpa mengambil kira keadaan tidak dijangka daripada pandemik COVID-19 kekal tinggi sepanjang tahun.

Sementara itu, Ahli Ekonomi  OCBC Bank Wellian Wiranto berkata bank tersebut mengunjurkan momentum pertumbuhan ekonomi yang lebih rendah bagi  suku pertama 2021, walaupun tahap penguncupan ekonomi lebih rendah daripada 3.4 peratus yang dicatatkan pada suku keempat 2020. 

“KDNK menguncup -0.5 peratus pada suku pertama dan bukan sebaliknya 1.9 peratus, juga turut mengatasi jangkaan pasaran pada -0.9 peratus,” katanya.

Malaysia merekodkan penurunan KDNK sebanyak  0.5 peratus pada Suku Pertama 2021, petanda pemulihan daripada penguncupan  3.4 peratus pada suku sebelumnya dengan semua sektor ekonomi mencatatkan peningkatan.

Dengan prosedur operasi standard lebih ketat dilaksanakan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, Menteri Kewangan Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz barubaru ini berkata ia boleh menurunkan pertumbuhan KDNK sebanyak  1.0  peratus kepada kira-kira  5.0 hingga  6.5 peratus bagi  2021, lebih rendah berbanding sasaran 6.0 hingga 7.5 peratus yang diunjurkan oleh Bank Negara Malaysia sebelum ini.

Beliau juga berkata kadar vaksinasi telah mencapai 76,000 suntikan setiap hari dan dijangkakan terus meningkat bermula Julai sejajar dengan jadual bekalan vaksin berbanding kira-kira 30,000 hingga 40,000 sebelum ini.

Menurut Ketua Ahli Ekonomi  Bank Islam Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, impak berkaitan  COVID-19 ke atas permintaan  luar akan terus tidak seimbang.

“Kekurangan cip mikro bermakna industri berkaitan teknologi seperti semikonduktor akan sibuk memenuhi pesanan pelanggan,” katanya sambil menambah kekurangan itu juga bermakna gangguan dalam aktiviti ekonomi disebabkan bahan mentah yang tidak mencukupi untuk menyiapkan proses.

Pada masa yang sama, beliau berkata, sekatan pergerakan yang dikenakan di banyak negara di dunia juga akan menjejaskan rantaian bekalan yang boleh merencatkan proses pemulihan Sementara itu, Ahli Ekonomi Kanan UOB Malaysia Julia Goh berkata impak daripada PKP terbaharu dijangka lebih besar daripada PKP sebelumnya berikutan jumlah jangkitan kes yang tinggi dan kemungkinan sekatan dilanjutkan dan diperketatkan lagi serta tekanan inasi tinggi terhadap perniagaan dan isi rumah.

Bagaimanapun, katanya, pertumbuhan eksport pada April dijangka berkembang 59 peratus tahun ke tahun susulan permintaan dunia yang bertambah baik dan aliran perdagangan tinggi daripada pempelbagaian perdagangan. 

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon