B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


MAHB, Dviation bangunkan kemudahan MRO aset penerbangan

MAHB, Dviation bangunkan kemudahan MRO aset penerbangan

25 Mei 2021

Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dan Dviation Group of Companies akan membangunkan kemudahan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) pertama di Asia Tenggara yang boleh mengendalikan kitaran hayat penuh aset penerbangan di Lapangan Terbang Subang.

Kemudahan baharu itu menawarkan perkhidmatan selepas pasaran ‘end-to-end’ termasuk MRO, menguraikan pesawat, bahan pesawat kitar semula dan perdagangan alat ganti.

Kemudahan baharu itu juga akan mengukuhkan lagi kedudukan Lapangan Terbang Subang sebagai hab MRO pilihan di rantau ini kerana potensi bagi Malaysia untuk menguasai bahagian penting pasaran perkhidmatan selepas pasaran bernilai AS$3.635 trilion di Asia Pasifik (APAC) dalam tempoh 20 tahun akan datang.

Ketua KLIA Aeropolis MAHB, Randhill Singh, berkata berdasarkan laporan terbaru oleh syarikat aeroangkasa dan penerbangan terbesar di dunia, Boeing, adalah dijangkakan APAC mencatatkan penghantaran pesawat tertinggi sebanyak 41 peratus daripada jumlah penghantaran global dalam tempoh 20 tahun akan datang.

Beliau berkata, ia menjadikan kira-kira 17,500 penghantaran pesawat yang merangkumi bersaiz sempit, lebar, jet wilayah dan pengangkut barang.

Katanya, saiz pasaran perkhidmatan selepas pasaran untuk Asia Pasifik dijangka menguasai pasaran terbesar 40 peratus daripada jumlah keseluruhan global.

“Kami merebut peluang dan amat komited dalam mengembangkan industri aeroangkasa dan penerbangan untuk negara. Inisiatif Pembangunan Semula Lapangan Terbang Subang akan memastikan kehadiran ekosistem menyeluruh dan sesuai untuk masa depan bagi memenuhi pasaran APAC.

“Kami sangat senang hati untuk membolehkan syarikat tempatan memperluas penawaran nilai mereka dan memenuhi pasaran serantau,” katanya dalam satu kenyataan.

Di samping itu, Randhill berkata, apabila pesawat tamat beroperasi selepas 20-25 tahun dalam perkhidmatan, dianggarkan 85 peratus hingga 95 peratus beratnya dapat dikitar semula untuk memastikan pembuangan yang betul dan memanfaatkan banyak komponen berkualiti daripadanya.

Beliau berkata, proses pelbagai disiplin itu membabitkan pelbagai aspek berbeza ekonomi pesawat dan peningkatan prestasi persekitaran memberikan peluang baharu bagi Malaysia.

Kerjasama Malaysia Airports dengan Dviation memanfaatkan kepakaran Dviation dalam penyelesaian latihan teknikal dan pekerja membabitkan penerbangan serta latihan berkaitan yang diluluskan.

Dviation Group adalah penyedia penyelesaian penerbangan khusus tempatan menawarkan penyelesaian komprehensif dan khusus meliputi kitaran hidup aset penerbangan dari pemerolehan, hingga akhir hayat.

Teras perniagaan unitnya mempunyai kepakaran dalam menyediakan perundingan penerbangan, latihan teknikal, penyelesaian tenaga kerja, pengurusan teknikal armada dan perkhidmatan penyelenggaraan pesawat.

Beribu pejabat di Selangor, Malaysia dan Zug, Switzerland, Dviation mempunyai kehadiran di seluruh Asia, Eropah, dan Asia Barat.

Pengarah Urusan Kumpulan Dviation Group, Kevin Teoh, berkata pihaknya sungguh berbesar hati untuk bekerjasama dengan MAHB memandangkan kumpulan itu terus memperluaskan perkhidmatannya sesuai dengan keperluan komuniti penerbangan.

Beliau berkata, pihaknya berminat untuk menjadi juara kelestarian alam sekitar dalam industri penerbangan.

“Oleh itu, cita-cita MAHB untuk mempromosikan negara ini sebagai hab Asia Pasifik bagi MRO dan ekosistem aeroangkasa sangat tepat pada masanya dengan rancangan pertumbuhan bagi aktiviti merobohkan dan kitar semula pesawat. “Dengan anggaran 12,000 pesawat akan berhenti beroperasi dalam dua dekad akan datang, dan sebahagian besar pesawat ini berpusat di Asia Pasifik, kami percaya bahawa menubuhkan kemudahan khusus bagi merobohkan sangat sesuai dalam portfolio kami dan pada masa yang sama, berfungsi sebagai platform yang ideal untuk komuniti penerbangan di rantau ini bagi membantu mengurangkan jejak alam sekitar,” katanya.

Sumber: Berita Harian

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon