B. Malaysia
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Sultan Kedah mahu pertumbuhan negeri terus dipacu

Sultan Kedah mahu pertumbuhan negeri terus dipacu

20 Mac 2022

Kejayaan Kedah menarik pelaburan berjumlah RM68.3 bilion sepanjang tahun lalu yang menjadi rekod tertinggi pernah dicatat kerajaan negeri, diharap dapat meningkatkan taraf kehidupan rakyatnya.

Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah, bertitah kejayaan hasil kerjasama erat kerajaan negeri bersama agensi tempatan serta penggerak industri, membuktikan negeri itu sentiasa menjadi destinasi pilihan pelabur.

Dengan jumlah pelaburan besar yang dicapai, baginda berharap ia dapat meningkatkan taraf hidup rakyat Kedah supaya setanding negeri maju lain di negara ini.

“Di sebalik krisis pandemik COVID-19, beta berbangga kerana Kedah berjaya mencatat pelaburan berjumlah RM68.3 bilion bagi tahun 2021, iaitu satu sejarah dan rekod baharu untuk jumlah pelaburan yang masuk ke negeri ini.

“Kejayaan ini adalah hasil jalinan kerjasama erat antara kerajaan negeri, Kulim Technology Park Corporation, Invest KedahBerhad dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) serta pemain industri dalam menarik pelaburan luar ke Kedah.

“Pelaburan ini melebihi sasaran ditetapkan dalam Pelan Pembangunan Kedah 2035 yang menyasarkan pelaburan RM10 bilion setahun.

“Usaha berterusan harus digandakan agar pelaburan masuk dapat ditingkatkan di Bandar Getah Kedah (KRC), Zon Ekonomi Khas Sempadan Bukit Kayu Hitam, Kawasan Industri Gurun dan Kedah Aerotropolis,” titah baginda.

Sultan Kedah bertitah demikian pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima, Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah yang ke-14 di sini, hari ini.

Sultan Sallehuddin bertitah, kerajaan negeri diharap terus memacu pertumbuhan ekonomi negeri supaya lebih lestari, mampan dan berdaya saing pada masa hadapan.

“Beta juga mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan yang terus membantu Kedah dalam menyediakan pelbagai kemudahan infrastruktur dan utiliti kepada rakyat.

“Antaranya pemulihan aktiviti ekonomi tempatan, pembinaan rangkaian jalan raya, menaik taraf jalan raya dan jambatan, rancangan tebatan banjir, naik taraf sistem saliran dan loji rawatan air serta projek pembaikan paip dasar laut,” titah baginda.

Baginda bertitah, nasib rakyat yang terkesan akibat penularan COVID-19 harus terus dibela melalui pelaksanaan pelbagai langkah dan inisiatif yang dilaksanakan kerajaan negeri.

“Justeru, beta menyeru Ahli Yang Berhormat dan semua agensi kerajaan yang berkaitan supaya lebih proaktif dalam menyelami isu rakyat dari dekat dan memantau pencapaian program yang dilaksanakan.

“Kerajaan negeri juga hendaklah memberi tumpuan dalam penyediaan dan menaik taraf pembangunan infrastruktur perkhidmatan jalur lebar, bagi memperkasa pembentukan ekosistem ekonomi digital yang lebih baik ke seluruh daerah,” titah baginda.

Sultan Kedah berharap pemulihan industri pelancongan dapat dilakukan segera selepas penutupan pintu sempadan dan sekatan perjalanan akibat COVID-19, memberi impak ketara apabila kedatangan pelancong tahun lalu, menurun sehingga 71.5 peratus berbanding 2020.

Sumber: Berita Harian

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon
X