B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Pembukaan sempadan rancakkan ekonomi, tingkatkan hubungan Malaysia-Thailand

Pembukaan sempadan rancakkan ekonomi, tingkatkan hubungan Malaysia-Thailand

20 Mac 2022

Pembukaan semula sempadan negara akan kembali merancakkan sektor ekonomi Malaysia dan Thailand serta meningkatkan hubungan dua hala antara kedua-dua negara, sama seperti yang berlaku sebelum penularan COVID-19.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed (gambar) berkata keputusan kerajaan untuk membuka sempadan pada 1 April nanti amat dinantikan semua pihak khususnya mereka yang terkesan akibat pandemik tersebut.

“Kita (Malaysia) mempunyai hubungan baik dengan Thailand dari segi ekonomi dan pelancongan, keputusan pembukaan sempadan amat dinantikan.

“Kelantan mempunyai tiga pintu utama rasmi untuk keluar masuk ke Thailand iaitu di Rantau Panjang, Pengkalan Kubor dan Bukit Bunga, maka apabila sempadan dibuka ia akan meningkatkan perniagaan dan (sektor) pelancongan di bandar tersebut serta bandar berdekatan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Balai Bomba dan Penyelamat Kemahang, Tanah Merah, di sini hari ini.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan Zainal Madasin dan Pengarah Jabatan Kerja Raya Kelantan Ir Mohd Suhaili Ismail.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 8 Mac lepas mengumumkan Malaysia akan memasuki Fasa Peralihan Ke Endemik dan pembukaan semula sempadan negara mulai 1 April.

Ismail Sabri dilapor berkata keputusan itu dibuat setelah mengambil kira pelbagai faktor, melakukan penilaian risiko, mendapatkan pandangan Kementerian Kesihatan serta meneliti syor daripada Menteri Kuartet.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Jeli itu berkata sektor perniagaan dan pelancongan dijangka memerlukan tempoh enam bulan hingga setahun untuk kembali pulih sebaik pintu sempadan negara dibuka.

“Sudah pasti kita memerlukan masa, ia tidak berlaku serta-merta perlu mengambil masa mungkin enam bulan atau setahun sebelum kembali kepada (keadaan) sebelum COVID-19,” katanya. 

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon