B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Kedah sasar pelaburan RM10 bilion setahun

Kedah sasar pelaburan RM10 bilion setahun

20 Mac 2022

Pembangunan Fasa 4A dan 5 Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP) dijangka mampu membantu mengekalkan sasaran pelaburan RM10 bilion setahun di bawah Pelan Pembangunan Kedah 2035.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, berkata kejayaan Kedah mencapai rekod pelaburan RM68.3 bilion pada tahun lalu, amat mengejutkan banyak pihak dan ia dilihat seolah sukar diulangi pada masa depan.

Beliau berkata, ini sejajar usaha kerajaan negeri mentransformasi Kedah daripada negeri berasaskan pertanian kepada berteraskan perindustrian yang mampu memberi manfaat kepada rakyat.

“Mungkin selepas ini (pelaburan) tak boleh capai RM60 bilion ke atas, tetapi sasaran RM10 bilion setahun bukan sesuatu yang mustahil. Selain itu, kita juga ambil beberapa langkah antaranya penyediaan dua fasa baharu KHTP iaitu Fasa 4A dan 5.

“Dua fasa ini sudah ada pihak yang menyatakan minat untuk melabur, malah pelabur sedia ada juga memberi komitmen mahu memperluas kawasan industri mereka.

“Disebabkan itu saya yakin, angka pelaburan sebanyak RM10 bilion pada 2022 dan tahun berikutnya bukanlah sesuatu yang mustahil dicapai,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau menghadiri Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima, Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah yang ke-14, dirasmikan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah.

Muhammad Sanusi berkata, kerajaan negeri juga ketika ini dalam perancangan membuka satu lagi kawasan industri baharu di Gurun membabitkan tanah seluas lebih 400 hektar.

“Kedah akan berubah dengan bukan lagi bergelar negeri pertanian semata-mata, sebaliknya muncul negeri industri di utara tanah air. Di sini kita dapat melihat perkembangan baik di Zon Ekonomi Khas Sempadan Bukit Kayu Hitam, Taman Teknologi Sains Kedah (KSTP) dan Bandar Getah Kedah (KRC) yang baru dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Semua ini akan melonjakkan Kedah sebagai kuasa industri baharu, cuma kita kena sediakan rakyat untuk menyambut pembangunan sektor industri melalui persediaan ilmu dan kemahiran bagi memenuhi keperluan industri,” katanya.

Sementara itu, kerajaan negeri menetapkan pemaju perlu menyediakan tapak pembinaan infrastruktur kemudahan jalur lebar, sebagai syarat tambahan kelulusan kebenaran merancang bagi setiap cadangan pembangunan baharu di negeri ini.

“Sama seperti kewajipan pemaju menyediakan sub-stesen Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan kolam Indah Water Konsortium (IWK), pemaju juga perlu menyediakan tapak pembinaan infra struktur kemudahan jalur lebar bagi setiap pembangunan baharu sebagai syarat tambahan.

“Kita sudah putuskan perkara itu pada Mesyuarat EXCO minggu lalu, kerana dapat bantu kerajaan dan pihak berkaitan menyediakan kemudahan jalur lebar serta internet lebih berkualiti kepada rakyat,” katanya.

Sumber: Berita Harian

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon