B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Sulaiman Mahbob dilantik Pengerusi MIDA berkuat kuasa 3 Sept

Sulaiman Mahbob dilantik Pengerusi MIDA berkuat kuasa 3 Sept

05 Sep 2022

Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) mengumumkan pelantikan Tan Sri Dr Sulaiman Mahbob sebagai pengerusi berkuat kuasa 3 Sept, 2022.

Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, MIDA memainkan peranan yang penting dan memerlukan pendekatan yang kreatif, inovatif dan komprehensif serta perlu berdaya saing dan berdaya tahan bagi menarik pelaburan yang berkualiti dan berteknologi tinggi ke Malaysia.

“Pelantikan Sulaiman sememangnya akan memberikan perspektif baharu untuk menjadikan MIDA yang dinamik dan berkepakaran. Pengalaman luas beliau amat bernilai terutamanya dalam bidang perancangan ekonomi, model perniagaan yang strategik, dan analisis trend global,” kata MIDA dalam kenyataan hari ini.

Ini adalah kali kedua Sulaiman dilantik sebagai pengerusi. Pelantikan pertama beliau pada 2009 hingga 2012.

Sulaiman telah bertugas dengan cemerlang dalam perkhidmatan awam, pernah berkhidmat di pelbagai kementerian dan jabatan.

Beliau kini adalah Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pemulihan Negara, ahli lembaga pengarah di Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional.

Beliau juga merupakan Pengerusi Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia, dan ahli lembaga Perbadanan Insurance Deposit Malaysia dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

Sulaiman berkelulusan ijazah ekonomi di Universiti Malaya dan memiliki PhD di Maxwell School, Syracuse University, Amerika Syarikat.

“Beliau adalah peneraju pemikir dalam bidang dasar ekonomi, pembangunan dan kewangan awam serta dalam pelbagai subjek yang luas, Sulaiman selalu mengutarakan pandangannya melalui artikel dan kuliah di dalam dan luar negara,” tambah MIDA lagi.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon