B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


MITI akan terus perkukuh daya saing negara, pacu prestasi dagangan – Azmin

MITI akan terus perkukuh daya saing negara, pacu prestasi dagangan – Azmin

04 Sep 2022

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) akan terus memperkukuh daya saing negara dengan memajukan aspek kerumitan ekonomi serta memupuk ekosistem perindustrian yang mantap dengan meningkatkan inovasi untuk terus memacu prestasi perdagangan negara yang positif.

Ketika menegaskan komitmen itu, Menteri Kanan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata MITI akan turut mempertingkat aspek keterangkuman menerusi usaha mewujudkan pekerjaan berpendapatan tinggi dan menggalakkan peluang menyertai rangkaian bekalan serantau serta global.

“Malaysia di landasan tepat untuk mendapatkan lebih banyak projek berkualiti, berimpak tinggi dan berintensifkan modal dengan sektor perkhidmatan menjadi pemacu pertumbuhan utama ekonomi selain menjadi penyumbang terbesar pelaburan yang diluluskan bagi separuh pertama tahun ini,” katanya dalam ciapan Twitter beliau, hari ini.

Pada Jumaat lepas, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) mengumumkan kejayaan Malaysia menarik pelaburan diluluskan bernilai RM123.3 bilion (US$28.0 bilion) dalam sektor pembuatan, perkhidmatan dan utama bagi separuh pertama 2022.

Jumlah itu melibatkan sebanyak 1,714 projek yang dijangka dapat mewujudkan 57,771 pekerjaan.

Dalam kenyataannya, MIDA berkata pelaburan langsung asing kekal sebagai penyumbang utama aliran masuk pelaburan iaitu 70.9 peratus atau RM87.4 bilion (US$19.9 bilion) manakala pelaburan daripada sumber domestik pula menyumbang 29.1 peratus atau RM35.9 bilion (US$8.2 bilion).

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon