B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


KOA Corporation komited teruskan pelaburan di Malaysia – Mohamed Azmin

KOA Corporation komited teruskan pelaburan di Malaysia – Mohamed Azmin

05 Sep 2022

KOA Corporation, pengeluar utama perintang dan komponen elektrik sejak 1940, komited untuk melabur di Malaysia dalam tempoh dua tahun.

Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata kumpulan dari Jepun itu yang merupakan satu daripada syarikat elektrik dan elektronik terbesar dunia, juga dijangka terus melabur di negara ini melangkaui 2024 dalam kilang baharu yang akan menggunakan automasi dalam proses pembuatannya sekali gus meningkatkan kapasiti pengeluarannya sehingga 10 bilion keping sebulan. 

“Pelaburan terbaharu ini sudah pastinya akan meningkatkan lagi pindahan teknologi dan pengetahuan serta membangunkan rantaian bekalan tempatan serta menyediakan peluang bagi tenaga kerja tempatan untuk menambah kemahiran,” katanya di laman Twitter beliau bersempena dengan Misi Perdagangan dan Pelaburannya ke Jepun. 

Dalam misi perdagangannya, beliau bertemu dengan pengarah lembaga serta pengarah urusan KOA Corporation Akira Nonomura dan pengarah lembaga Katsuhiko Momose.

Mohamed Azmin berkata KOA Denko ketika ini menghasilkan perintang cip filem tebal yang menyumbang 50 peratus daripada jumlah jualan syarikat dengan pekerja seramai hampir 800 orang yang mana 70 peratus daripadanya adalah rakyat Malaysia. 

Kemudahan KOA Denko di Melaka menghasilkan 4.3 bilion keping perintang cip filem tebal dengan kadar pertumbuhan dijangka berkembang 18 peratus setahun.

“Saya dimaklumkan bahawa dalam tempoh empat bulan akan datang, kapasiti pengeluaran akan meningkat kepada 8.2 bilion keping sebulan.

“Permintaan terhadap produk KOA dijangka meningkat terutamanya daripada sektor automotif serta pemohon lain, kerana syarikat itu telah memutuskan untuk membina kilang pengeluaran terbesar di dunia, di Melaka,” katanya

Mohamed Azmin berkata Malaysia dikenali sebagai satu daripada hab pelaburan dalam industri semikonduktor global terutamanya dalam bahagian pemasangan dan ujian serta pembuatan peralatan. 

“Disokong oleh kecemerlangan pembuatannya selama lima dekad yang membuka jalan bagi pembangunan industri mampan, kami komited untuk mengukuhkan lagi kluster perindustriannya. 

“Saya beri jaminan kepada kedua-dua Nonomura dan Momose bahawa KOA Corporation mengambil langkah yang betul untuk mengembangkan pertumbuhan perniagaannya di Malaysia dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia bersedia untuk membantu memudahkan operasi mereka di rantau ini,” katanya.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon