B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


STMicroelectronics sumbang RM5 bilion kepada eksport negara

STMicroelectronics sumbang RM5 bilion kepada eksport negara

07 Feb 2022

Syarikat pembuatan semikonduktor STMicroelectronics Sdn Bhd menyumbang lebih daripada RM5 bilion kepada nilai eksport negara setiap tahun, kata Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata, syarikat yang memberi tumpuan kepada sektor automotif dan 5G itu mempunyai tenaga kerja kira-kira 4,400 orang dengan sebahagian besarnya adalah pekerja tempatan.

“Prestasi perdagangan negara pada tahun 2021 kekal berada pada kedudukan baik dan momentum ini akan diteruskan. Ini juga membuktikan apabila permintaan luaran meningkat, syarikat-syarikat tempatan mampu mengeluarkan produk dan perkhidmatan untuk eksport yang mempunyai kualiti baik dan memenuhi piawaian pasaran global.

“Tujuan saya ke sini adalah untuk mengiktiraf peranan penting industri semikonduktor termasuk STMicroelectronics yang menyumbang besar kepada pertumbuhan ekonomi negara setiap tahun dan ini berterusan,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke kilang itu di Kawasan Perindustrian Tanjung Agas di sini, hari ini.

Beliau turut berharap semua syarikat tempatan terus membina kekuatan masing-masing dalam membantu memulihkan ekonomi negara sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi mampan dan lestari.

“Kita berharap mereka terus membina kekuatan menerusi inisiatif Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA) yang memberi tumpuan kepada lima sektor utama iaitu elektrik dan elektronik (E&E), farmaseutikal, ekonomi digital, aeroangkasa dan kimia.

“Kita juga mahu tumpukan kepada kerangka besar yang baharu melalui agenda alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) supaya produk-produk dan perkhidmatan dapat kita cipta di Malaysia ini memenuhi permintaan di peringkat antarabangsa,” katanya.

Pada 24 Januari lalu, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) mengenal pasti lima sektor utama di bawah inisiatif NIA yang dapat menarik lebih ramai pelabur asing untuk melabur sama ada melalui penyelidikan dan pembangunan atau kemudahan pembuatan menggunakan teknologi baharu.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon