B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Melaka pengeluar lampu LED kereta mewah dunia

Melaka pengeluar lampu LED kereta mewah dunia

07 Feb 2022

Beberapa syarikat pengeluar kenderaan mewah terkemuka dunia memilih Melaka sebagai lokasi untuk mendapatkan lampu kenderaan yang menggunakan teknologi diod pemancar cahaya (LED).

EXCO Perindustrian, Pelaburan dan Pembangunan Usahawan negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, berkata ia berikutan pengeluar lampu LED itu, Dominant Opto Technologies Sdn Bhd merekodkan permintaan tinggi daripada pengeluar kenderaan mewah terkemuka dunia untuk mendapatkan bekalan produk berkenaan.

Berikutan itu, katanya, syarikat terbabit dicatatkan menduduki tempat keempat di dunia sebagai pembekal lampu LED untuk kenderaan mewah.

“Jenama kenderaan terkemuka dunia iaitu BMW X Series antara kenderaan yang menggunakan teknologi LED yang dikeluarkan syarikat dimiliki anak jati Melaka ini.

“Berdasarkan perancangan awal tahun ini, Dominant Opto Technologies akan meneruskan pelaburan besar di Melaka membabitkan nilai RM1.3 bilion dan diharap syarikat itu mampu menjadi pelopor teknologi pembuatan LED di negara ini,” katanya selepas mengadakan lawatan kerja ke syarikat itu di Batu Berendam di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM), Datuk Azmi Hussein, CEO Dominant Opto Techniologies Sdn Bhd, Tay Kheng Chiong dan Pengurus Besar Invest Melaka, Ramli Mohd Ali.

Sementara itu, Kheng Chiong berkata, operasi syarikat itu disokong 2,126 pekerja tempatan dan 404 pekerja asing dengan menyasarkan peningkatan 20 peratus hasil perniagaan dalam sektor berkenaan setiap tahun.

Katanya, setakat ini 120 kakitangan terbabit dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) membabitkan reka bentuk dan pengubahsuaian supaya produk dihasilkan mampu bersaing di peringkat dunia.

“Kita membawa nama Melaka dan Malaysia yang kini berada di tempat keempat dunia sebagai pembekal kepada kenderaan berteknologi tinggi selepas Jerman di tangga pertama diikuti Jepun dan Amerika Syarikat,” katanya.

Sumber: Berita Harian

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon