B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


SEMICON Southeast Asia kembali ke Pulau Pinang selepas dua tahun

SEMICON Southeast Asia kembali ke Pulau Pinang selepas dua tahun

04 Mac 2022

SEMICON Southeast Asia, perhimpunan terunggul serantau mengenai industri semikonduktor dan mikroelektronik, kembali ke Pulau Pinang selepas “lenyap” selama dua tahun akibat pandemik Covid-19.

Semiconductor Equipments & Materials International (SEMI) dalam satu kenyataan hari ini berkata acara itu akan dilaksanakan di Setia SPICE Convention Centre & Arena mulai 21 hingga 23 Jun depan.

Presiden  Semi Southeast Asia Linda Tan berkata peningkatan dalam teknologi  awan, penggunaan 5G, kenderaan yang disambungkan  dan pendigitalan telah mewujudkan permintaan yang tidak pernah berlaku sebelum ini untuk pengkomputeran berprestasi tinggi.

“Sebagai tulang belakang dunia yang bersambung, industri semikonduktor perlu mengekalkan keseimbangan permintaan dan penawaran yang mampan bagi memastikan daya tahan dan fleksibiliti rantaian bekalannya. Kilasan ke dalam rangkaian rantaian bekalan bersepadunya adalah kritikal dalam membolehkan industri mengenal pasti dan menguruskan sebarang gangguan.

“SEMINCON Southeast Asia 2022 akan melihat ke dalam ini serentak dengan usaha kami untuk menyokong pemain industri di Malaysia dan di rantau ini,” katanya.

Bertemakan “Maju sebagai Satu – Membina Rantaian Bekalan Elektronik yang Berdaya Tahan dan Mampan di Asia Tenggara”, SEMICON Southeast Asia 2022 menghimpunkan pakar industri untuk perkembangan terkini, inovasi dan trend merentasi rantaian bekalan semikonduktor.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Datuk Arham Abdul Rahman berkata industri elektrik dan elektronik (E&E) adalah asas serta kekuatan subsektor pembuatan Malaysia dan sektor ini telah berkembang pesat, dipacu oleh tuntutan terhadap semikonduktor dan cip semasa pandemik.

Ini merupakan penghormatan kepada  MIDA untuk bekerjasama dengan SEMI sejak lapan tahun lepas bagi mempromosikan dan mengemas kini pihak berkepentingan industri mengenai kemajuan teknologi.

“MIDA terus menghargai perkongsian ini memandangkan pendedahan kepada trend terkini dan peluang rangkaian industri yang ditawarkan dan manfaat semasa SEMICON sebelum ini telah terbukti penting kepada peneraju industri E&E,” katanya.

Arham berkata MIDA komited untuk memperluaskan ekosistem pembuatannya dengan menggalakkan dan mengejar pelaburan berkualiti serta berteknologi tinggi yang didorong oleh pendigitalan global dalam industri ini bagi mengukuhkan rantaian bekalan Malaysia, inovasi produk dan keupayaan pembangunan bakat.

“SEMICON Southeast Asia 2022 adalah sejajar dengan aspirasi kami untuk menggalakkan pembangunan industri melalui langkah-langkah proaktif dan berpandu sambil membolehkan pelabur berpotensi meneroka kelebihan daya saing Malaysia sebagai destinasi pelaburan yang ideal,” katanya.

SEMICON Southeast Asia 2022 akan memperingati tahun ke-50 kecemerlangan Malaysia dalam pembuatan serta reputasi Pulau Pinang sebagai Lembah Silikon di Timur, yang dibina dengan dekad kecemerlangan pembuatan dan pengalaman industri.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon