B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Azmin: MITI komited Malaysia capai KDNK 5.8% tahun ini

Azmin: MITI komited Malaysia capai KDNK 5.8% tahun ini

03 Mac 2022

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri komited Malaysia mampu mencapai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 5.8 peratus seperti yang diunjurkan Bank Dunia.

Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Mohamed Azmin Ali berkata, unjuran itu dapat dicapai pada tahun ini dengan sokongan Majlis Pemulihan Negara (MPN), pihak swasta, industri dan dewan perniagaan.

Beliau berkata berdasarkan kenyataan Bank Negara Malaysia, ekonomi Malaysia meningkat kepada 3.6 peratus pada suku keempat berbanding penguncupan 4.5 peratus pada suku ketiga 2021.

“Ini bererti Malaysia berada pada landasan yang positif. Keseluruhan pertumbuhan ekonomi pada 2021 adalah 3.1 peratus. Ini satu kejayaan dan Bank Dunia telah menyemak semula pertumbuhan ekonomi kita pada 2022 kepada 5.8 peratus.

“Dengan kejayaan MPN, sokongan pihak swasta dan industri serta dewan perniagaan, saya yakin Malaysia akan mencapai 5.8 peratus pada 2022,” katanya pada majlis Sesi Dialog Menteri-Menteri Ekonomi Bersama Pengerusi MPN di Pulai Spring Resort di sini hari ini.

Beliau berkata prestasi perdagangan direkodkan melebihi RM2.2 trilion dan nilai eksport direkodkan RM1.24 trilion pada 2021.

“Laporan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) yang dibentangkan di Parlimen, menjelang 2025 nilai eksport Malaysia mesti mencatatkan RM1.25 trilion. Tahun lepas, kita sudah mencapai RM1.24 trilion, maknanya kita berjaya mencapai sasaran empat tahun lebih awal daripada apa yang dijangkakan dalam RMK12,” katanya.

Mohamed Azmin berkata Johor adalah antara negeri penting dalam menyumbang kepada KDNK negara selain merupakan negeri industri dan pelabur ingin melihat sebuah kerajaan yang kuat.

“Namun, dalam keadaan pemulihan ekonomi, bagaimana mungkin kita dapat meyakinkan pelabur sama ada pelabur domestik atau asing untuk datang dan melabur di Johor sekiranya kerajaan lemah, tidak stabil, kepimpinan dikuasai mereka yang rasuah dan salah guna.

“Saya berjanji kepada bangsa Johor pada kali ini, sekiranya Johor dapat angkat sebuah kerajaan baharu yang bersih dan berintegriti, saya yakin Johor akan bangkit dan muncul menjadi negeri penyumbang kepada KDNK negara pada tahun-tahun akan datang,” katanya.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon