B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Selangor catat RM4.64 bln pelaburan dari Jan hingga Jun 2021 – Amirudin

Selangor catat RM4.64 bln pelaburan dari Jan hingga Jun 2021 – Amirudin

29 Nov 2021

Selangor mencatatkan prestasi yang menggalakkan dengan nilai pelaburan yang lebih tinggi direkodkan bagi tempoh Januari hingga Jun 2021 iaitu sebanyak RM4.64 bilion, berbanding RM3.39 bilion yang direkodkan bagi tempoh yang sama 2020.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari memberitahu Dewan Undangan Negeri Selangor hari ini bahawa jumlah projek pekilangan yang diluluskan adalah sama bagi tahun ini dan tahun lepas iaitu sebanyak 122 projek.

Beliau berkata menurut data Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) sebanyak 9,179 peluang pekerjaan dihasilkan bagi tempoh Januari hingga Jun 2021 yang merangkumi RM4.06 bilion pelaburan tempatan dan RM576.98 juta pelaburan asing, berbanding 5,001 peluang pekerjaan dijanakan bagi tempoh yang sama 2020, termasuk RM1.82 bilion pelaburan tempatan dan RM1.55 bilion pelaburan asing.

Beliau berkata demikian di Persidangan Keempat Dewan Negeri Selangor Ke-14 bagi menjawab soalan Mohd Najwan Halimi (PH-Kota Anggerik) yang bertanya mengenai impak COVID-19 kepada prestasi pelaburan Selangor.

“Agensi penggalakan pelaburan negeri iaitu Invest Selangor sentiasa melaksanakan pelbagai program dalam usaha memastikan Selangor kekal relevan dan sentiasa diyakini oleh pelabur sebagai destinasi pelaburan mereka,” katanya.

Selain strategi khusus seperti Pelan Tindakan Industri Aeroangkasa Selangor dan Pelan Tindakan Bioteknologi Selangor, Amirudin berkata kerajaan negeri turut melaksanakan program Selangor International Business Summit Hybrid 2022 (SIBS 2022) yang mempunyai komponen-komponen Selangor International Expo (F&B);

“Dalam membantu merancakkan pembangunan ekonomi serta perlaksaaan projek oleh pihak swasta, kerajaan negeri juga telah meluluskan cadangan penubuhan sebuah Jawatankuasa Petugas Khas Projek Pembangunan Selangor Golden Triangle (SGT).

“Dalam melaksanakan agenda pemakmuran negeri dan peningkatan kualiti hidup rakyat pula, kerajaan negeri menubuhkan Majlis Industri Rel Selangor yang akan memberikan tumpuan khusus terhadap pembangunan industri rel di Selangor,” katanya.

Dalam hasrat untuk menyediakan kawasan perindustrian yang kondusif dan selesa kepada pelabur, Amirudin berkata kerajaan negeri telah mewujudkan Garis Panduan Cadangan Pembangunan Taman Perindustrian berkonsepkan Managed Industrial Park (MIP).

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon