B. Malaysia
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Pelan Induk Pelaburan Negeri Johor 2030 dijangka siap akhir 2021

Pelan Induk Pelaburan Negeri Johor 2030 dijangka siap akhir 2021

21 Nov 2021

Pelan Induk Pelaburan Negeri Johor (PIPNJ) 2030 yang akan menjadi asas pemacuan agenda pelaburan Johor pada masa hadapan, dijangka siap menjelang akhir 2021.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia negeri Datuk Mohd Izhar Ahmad berkata pelan tersebut merupakan dokumen rujukan yang komprehensif untuk memacu agenda pelaburan Johor bagi tempoh 10 tahun akan datang.

“Ia amat penting terutama tempoh pasca-COVID-19. Pelan ini dijangka siap pada hujung tahun ini,” katanya pada hari kedua persidangan Dewan Undangan Negeri di sini, pada Ahad.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Tan Chen Choon (PH-Jementah) dan Jimmy Puah (PH-Bukit Batu) mengenai inisiatif dan usaha kerajaan dalam membantu pelabur di Johor yang turut terkesan berikutan pandemik.

Ketika membentangkan Belanjawan Johor 2022 pada Khamis lepas, Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad berkata PIPNJ 2030 yang akan dilancarkan dalam masa terdekat, akan menjadi asas kepada usaha untuk menjadikan Johor sebagai destinasi pelaburan utama di Asia Tenggara.

Mohd Izhar berkata kerajaan negeri telah dan sedang melaksanakan pelbagai inisiatif bagi mengekalkan pelaburan sedia ada selain membantu para pelabur yang terkesan dalam usaha memastikan Johor terus dikenali sebagai destinasi pelaburan menarik dan mesra pelabur.

Antara inisiatif yang telah dilaksanakan adalah sesi libat urus dengan pelbagai persatuan perniagaan bagi mendapatkan maklum balas sekali gus menunjukkan keprihatinan kerajaan negeri terhadap pemasalahan yang dihadapi pihak industri ketika pandemik COVID-19, katanya.

Beliau berkata mengikut laporan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Johor mencatatkan pelaburan dengan nilai keseluruhan RM6.56 bilion dalam tempoh enam bulan pertama 2021, yang diluluskan dalam sektor pembuatan, perkhidmatan dan sektor utama.

Jumlah pelaburan tersebut dijangka boleh menyediakan sebanyak 7,860 peluang pekerjaan, katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Tan mengenai jumlah pelaburan dan jumlah peluang pekerjaan di Johor bagi enam bulan pertama tahun ini.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon
X