B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Usahawan PMKS disaran ambil peluang sumber disediakan kerajaan – PM

Usahawan PMKS disaran ambil peluang sumber disediakan kerajaan – PM

21 Nov 2021

Usahawan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) disaran mengambil peluang untuk memanfaatkan sumber yang disediakan kerajaan sebagai langkah peralihan daripada perniagaan konvensional kepada dalam talian, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata pelbagai inisiatif telah dilaksanakan dan diperuntukkan untuk membantu usahawan mengetengahkan perniagaan mereka misalnya menerusi Bajet 2022 yang menumpukan perbelanjaan kepada insentif bagi mendorong adaptasi teknologi digital PMKS.

“Antaranya, RM25 juta diperuntukkan kepada Halal Development Corporation (atau HDC) untuk program Penjenamaan Digital Produk Halal PMKS dan program Peningkatan Kebolehpasaran Produk Halal PMKS.

Selain Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi) yang dilancarkan pagi tadi, sebanyak RM200 juta turut diperuntukkan untuk inisiatif Skim Geran Pendigitalan PKS dengan RM50 juta dikhususkan untuk usahawan mikro Bumiputera di luar bandar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Program Pemerkasaan Pendigitalan  PMKS di Dewan Konvensyen Majlis Daerah Bera di sini hari ini.

Hadir sama Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa dan timbalannya Datuk Zahidi Zainul Abidin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed serta Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Mengulas lanjut, beliau berkata menerusi Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12), salah satu fokus utama adalah menyokong perkembangan pertumbuhan kesemua sektor ekonomi, terutamanya mempercepatkan transformasi PMKS.

Katanya, melalui RMK-12 juga, PMKS dijangka dapat menyumbang sebanyak 45 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar dan 25 peratus daripada jumlah eksport pada tahun 2025.

Sementara itu, Ismail Sabri memaklumkan sehingga suku ketiga 2021, lebih daripada 200,000 PMKS telah menerima guna e-dagang dan daripada jumlah tersebut, sebanyak 2,759 PMKS telah berjaya mengeksport barangan dan menerokai pasaran baharu.

“Ketika kerajaan menutup premis akibat  COVID-19 yang mana perniagaan tidak boleh dijalankan secara bersemuka, ramai dalam kalangan peniaga termasuk yang berada di bandar kecil dan luar bandar beralih menggunakan Internet (untuk memasarkan produk) dan hasil perniagaan mereka bertambah,” katanya.

Dalam usaha memperkasakan bidang pendigitalan, Ismail Sabri berkata kerajaan sedang mempertingkatkan capaian Internet di seluruh negara melalui Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) dengan menyasarkan 100 peratus kawasan berpenduduk mendapat liputan 4G pada 2025.

“Kerajaan sedang memastikan setiap kawasan, setiap tempat di seluruh negara termasuk kawasan yang jauh di dalam  akan mendapat capaian Internet (4G) sepenuhnya pada hujung tahun 2025,” katanya.

Sementara itu, Program Pemerkasaan Pendigitalan PMKS Kebangsaan 2021 yang bermula hari ini sehingga Selasa dianjurkan oleh MYDIGITAL Corporation bersama Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Ia bertujuan memberi maklumat kepada PMKS mengenai segala bantuan, insentif dan penyelesaian digital yang tersedia dalam usaha membantu mendigitalkan perniagaan usahawan. 

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon