B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Pharmaniaga peruntuk RM295 juta untuk perbelanjaan modal TK2022

Pharmaniaga peruntuk RM295 juta untuk perbelanjaan modal TK2022

01 Dis 2021

Pharmaniaga Bhd memperuntukkan RM295 juta untuk perbelanjaan modal (capex) kumpulan dalam tahun kewangan 2022 (TK2022), berbanding RM106.9 juta pada TK2021.

Ketua Pegawai Kewangan Norai’ni Mohamed Ali berkata peruntukan perbelanjaan modal itu sebahagian besarnya adalah untuk logistik dan pengedaran yang menyumbang 61 peratus, diikuti oleh pembuatan (36 peratus) dan Indonesia (tiga peratus).

“Bagi logistik dan pengedaran, kami sedang melihat pembesaran gudang baharu, pusat pengedaran berpusat untuk sektor swasta, pendigitalan, pembelian perisian untuk projek ubat-ubatan jangka panjang dan sistem migrasi serta pembelian dan penggantian gudang dan peralatan pejabat sedia ada,” kata beliau dalam taklimat media secara maya mengenai keputusan syarikat untuk suku ketiga (S3) berakhir 30 September 2021 hari ini.

Manakala bagi pembuatan, beliau berkata kumpulan itu akan terus menggunakan separuh daripada peruntukan untuk melabur dalam vaksin halal dan projek insulin halal.

“Tidak lupa kepada rakan kami di Indonesia, kami juga melabur dalam automasi dan pendigitalan serta menaik taraf pelbagai peralatan komputer dan makmal,” tambahnya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan Datuk Zulkarnain Md Eusope berkata kumpulan akan memberi penekanan kepada usaha penyelidikan dan pembangunan yang juga tonggak utama pertumbuhan Pharmaniaga, membolehkannya mengembangkan saluran produk dan menyediakan penyelesaian yang lebih baik kepada
negara.

“Ini bertujuan untuk menyokong kerajaan Malaysia agar bersedia menghadapi pandemik pada masa hadapan.
“Digitalisasi dan teknologi digital akan menjadi tulang belakang kepada usaha ini,” katanya.

Zulkarnain berkata Pharmaniaga akan meneruskan mengisi dan menghabiskan pembuatan vaksin Sinovac COVID-19 bagi memenuhi permintaan domestik dan antarabangsa, kerana kumpulan itu mempunyai kepakaran, keupayaan dan kemudahan serta sokongan penuh daripada rakan kongsi teknikal dari luar negara.

“Pada masa yang sama, kami akan memulakan penubuhan kilang pembuatan insulin yang akan ditempatkan di tapak Pharmaniaga LifeScience kami yang berteknologi tinggi di Puchong, sementara penubuhan kilang vaksin halal pertama di dunia sedang berjalan di landasan yang betul.

“Mengenai urusan logistik dan pengedaran kami dengan Kementerian Kesihatan (KKM), kami akan meneruskannya dan pada masa ini kami sedang berunding dengan kerajaan untuk memuktamadkan konsesi/kontrak baharu,” tambahnya.

Keuntungan bersih Pharmaniaga bagi suku ketiga berakhir 30 September 2021 meningkat kepada RM49.83 juta daripada RM1.44 juta yang dicatatkan pada suku yang sama tahun lalu, manakala hasil melonjak kepada RM2.13 bilion daripada RM624.8 juta disebabkan pertumbuhan positif merentasi konsesi kumpulan, bukan konsesi dan perniagaan di Indonesia.

Perniagaan bukan konsesi merupakan pemacu utama berikutan penjualan vaksin Sinovac COVID-19 kepada KKM serta sektor swasta.

Syarikat itu telah mengisytiharkan dividen interim ketiga sebanyak dua sen sesaham dengan tarikh akhir pada 6 Disember 2021, tarikh kelayakan pada 7 Disember dan perlu dibayar pada 29 Disember 2021.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon