B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Selangor catat nilai pelaburan RM4.88 bilion, kedua selepas Johor

Selangor catat nilai pelaburan RM4.88 bilion, kedua selepas Johor

01 Dis 2022

Selangor merekodkan pelaburan berjumlah RM4.88 bilion membabitkan 118 projek perkilangan bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelaburan, Datuk Teng Chang Khim berkata, berdasarkan statistik pelaburan dikeluarkan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Selangor mencatatkan nilai pelaburan lebih rendah berbanding Johor dengan jumlah pelaburan RM6.67 bilion.

Bagaimanapun katanya, Selangor merekodkan bilangan kelulusan projek perkilangan yang tertinggi berbanding Johor dan negeri-negeri lain iaitu sebanyak 118 projek perkilangan berbanding Johor sebanyak 68 projek.

“Berdasarkan statistik kelulusan projek perkilangan mengikut penyertaan asing di Johor, sebanyak 70 peratus nilai pelaburan asing membabitkan pelaburan daripada Singapura.

“Dalam menarik pelaburan, Selangor dan Johor mempunyai kekuatan hampir sama dari segi kedudukan lokasi yang strategik, kemudahan pelabuhan dan jaringan jalan raya yang menghubungkan antara setiap kawasan.

“Selain itu, antara faktor lain yang mendorong pelabur ke Johor seperti kawasan perindustrian lengkap dengan kemudahan asrama pekerja dan harga tanah industri yang jauh lebih murah berbanding Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan lisan berikutan jumlah pelaburan di Selangor jatuh ke kedudukan kedua selepas Johor dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, di sini hari ini.

Chang Khim berkata, dalam usaha menambah pelaburan baru, kerajaan negeri melalui Invest Selangor selaku agensi penggalakkan pelaburan sentiasa melaksanakan pelbagai program bagi memastikan Selangor kekal relevan dan sentiasa diyakini oleh pelabur.

“Antara strategi dirancang ialah Rancangan Selangor Pertama (RS-1) sebagai pelan rancangan pembangunan lima tahun secara menyeluruh berpandukan strategi dan inisiatif jangka pendek, sederhana dan panjang bagi mencapai visi menjadikan Selangor sebagai negeri pintar, makmur dan berdaya huni menjelang 2025.

“Dalam usaha merancakkan pembangunan ekonomi dan hartanah pula, kerajaan negeri menubuhkan Jawatankuasa Pasukan Petugas Pelaksanaan Projek Pembangunan (IDRISS) membabitkan daerah Sepang dan Kuala Langat.

“Kerajaan negeri juga menubuhkan Majlis Industri Rel Negeri Selangor bagi memastikan industri ini diberi perhatian kerana dilihat mampu memberikan impak besar kepada ekonomi Selangor pada masa akan datang,” katanya.

Selain itu katanya, program promosi pelaburan seperti misi lawatan penggalakkan pelaburan ke luar negara, libat urus, perbincangan, webinar, promosi dan pengiklanan dalam media cetak mahupun elektronik secara berterusan dilaksanakan dari semasa ke semasa dalam usaha menarik pelaburan baru serta mengekalkan pelaburan sedia ada.

Sumber: Harian Metro

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon