YT200EV traktor terminal elektrik buatan Malaysia sepenuhnya
30 Nov 2022
Terberg Tractors Malaysia Sdn Bhd (TTM), syarikat usaha sama (JV) antara Sime Darby Industrial Sdn Bhd (Sime Darby Industrial) dan Royal Terberg Group BV yang berpusat di Belanda, merancang untuk memperluaskan lagi jejaknya di Asia Pasifik dengan pelancaran YT200EV, traktor terminal elektrik bateri yang pertama di Malaysia.
Traktor terminal YT200EV adalah buatan tempatan sepenuhnya dihasilkan di pusat pembuatan dan pemasangan yang terletak di sini.
Model itu bakal tersedia untuk pengeluaran dan pengedaran bermula awal Disember 2022.
Ketua Pegawai Eksekutif TTM, Boo Wei Ching, berkata sebagai antara pembuat traktor terminal terkemuka yang menyelia rantaian bekalan di seluruh rantau Asia Pasifik selain Malaysia, Terberg yakin bahawa tambahan baharu kepada industri ini adalah langkah besar yang akan melengkapi pelan hala tuju aspirasi hijau, dengan fokus untuk menggantikan amalan industri sedia ada dengan amalan yang lebih mampan.
“Kami bangga dapat membawakan traktor terminal elektrik pertama di Malaysia yang dikuasai sepenuhnya oleh bateri, yang juga selaras dengan rangka kerja alam sekitar, sosial, dan tadbir urus (ESG).
“Sebagai peneraju dalam industri, kami di Terberg merasakan bahawa ia tanggungjawab kami untuk mengambil bahagian secara aktif dalam mencari penyelesaian kepada isu pelepasan karbon,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, selain daripada mengurangkan pelepasan karbon, kenderaan ini juga dapat mengurangkan kos operasi yang berkaitan dengan diesel dan enjin bahan api fosil yang lain dengan amat ketara.
“Kami berharap dapat berkongsi kesemua faedah ini dengan industri selain daripada sektor pelabuhan dan logistik yang turut memerlukan traktor terminal, dan selanjutnya memacu industri ke arah amalan yang lebih hijau serta mesra alam sekitar,” katanya.
Majlis pelancaran YT200EV diadakan di Terberg Manufacturing & Assembly Sdn Bhd (TMA) di sini, baru-baru ini dan dihadiri oleh Malaysia’s Book of Records yang mengiktiraf TTM sebagai Pengeluar Traktor Terminal Elektrik Pertama di Malaysia.
Seiring dengan sasaran Malaysia untuk mencapai neutraliti karbon menjelang tahun 2050, pengenalan model YT200EV dijangka dapat menangani isu pelepasan karbon yang semakin meningkat dalam industri logistik dan pengangkutan.
Pada 2021, jumlah pelepasan gas karbon dioksida terhasil daripada pengangkutan di Malaysia mencecah 55 tan metrik, sekali gus menyumbang kepada 24 peratus pelepasan gas karbon dioksida yang terhasil daripada sektor pengangkutan dan logistik dunia.
Dengan menggantikan traktor terminal sedia ada dengan kenderaan berat elektrik keluaran Terberg, setiap traktor dapat mengurangkan kira-kira 30 tan gas karbon dioksida setiap tahun.
Ia bersamaan dengan menanam lebih sejuta pokok atau mengurangkan lebih daripada 6,000 penggunaan kereta di jalan raya.
Traktor terminal YT200EV juga menggunakan bateri ‘Lithium Iron Phosphate’ (LFP) bersaiz 350kWh yang mampu membekalkan tempoh tenaga berterusan sehingga 10 jam (dalam operasi pelabuhan kontena) dan boleh dicas sepenuhnya dalam tempoh satu jam.
Kenderaan itu juga mempunyai pemacu motor sejukan air tak segerak 240kW yang dilengkapi dengan tork yang mencukupi sesuai buat menampung muatan sehingga 90 tan, menjadikannya lebih cekap dan jimat kos berbanding traktor diesel.
Sumber: Berita Harian