B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Sektor utama, kritikal kekal penyumbang penting KDNK ketika PKP 2.0 – Tengku Zafrul

Sektor utama, kritikal kekal penyumbang penting KDNK ketika PKP 2.0 – Tengku Zafrul

02 Feb 2021

Sektor-sektor utama dan kritikal terbukti terus menyumbang secara ketara kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), termasuk ketika pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 2.0).

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata sektor-sektor utama seperti komoditi, perlombongan dan pertanian telah dibenarkan beroperasi kerana lebih berintensifkan modal serta kurang memerlukan interaksi fizikal pekerja.

Beliau juga menegaskan bahawa PKP 2.0 merupakan satu pelan dinamik yang mana kerajaan telah meneliti setiap sektor berdasarkan sumbangannya terhadap ekonomi.

“Oleh itu, pada akhirnya, jika anda teliti perbezaan antara PKP 1.0 dan 2.0, perkara terasnya adalah pengajaran yang telah kita perolehi sewaktu pelaksanaan PKP sebelum ini.

“Namun, pada masa sama, kita juga perlu memastikan bahawa kita mempunyai satu dasar yang konsisten demi kemajuan masa depan…dengan panduan baharu ini, seperti saya sebut sebelum ini, impak terhadap KDNK Malaysia pada asas harian adalah sekitar RM700 juta berbanding kira-kira RM2.4 bilion sehari ketika PKP 1.0,” katanya menerusi program disiarkan oleh Bernama TV menerusi saluran Astro 502 pada Selasa.

Beliau berkata demikian pada sesi soal jawab yang dikendalikan oleh Pengerusi Bursa Malaysia Bhd Tan Sri Abdul Wahid Omar pada Forum Bursa Malaysia bertemakan ‘Menang Bersama: Rebuilding Malaysia’s Economy Together.’

Terdahulu, ketika menyampaikan ucap tamanya, Tengku Zafrul mengakui wujud banyak perdebatan sama ada negara ini perlu melaksanakan PKP secara sepenuhnya.

Malah, beliau berkata usaha menseimbangkan keselamatan nyawa rakyat serta jaminan mata pencarian mereka adalah sesuatu yang amat mencabar.

“Ini membabitkan banyak faktor, memerlukan perbincangan serta penelitian mendalam serta semakan semula secara berterusan ketika pelaksanaannya.

“Kita juga perlu sedia maklum mengenai impak yang sukar dijangkakan. Ekonomi ini bukannya beroperasi semudah menekan suis — tiada butang untuk menutup atau menghidupkannya semula hanya apabila kita berasakan sesuai untuk berbuat demikian. Banyak kehidupan dan mata pencarian yang bergantung terhadapnya,” katanya.

Sehubungan itu, Tengku Zafrul meminta rakyat untuk melihat isu terbabit dari perspektif lebih menyeluruh dan turut bertanyakan kepada diri sendiri : “Apakah impak sebenar daripada kerugian ini jika kita melaksanakan PKP dengan lebih ketat kali ini?”

Beliau juga menyifatkan tindakan penggubal dasar dan pihak pengawal selia membicarakan kesan ekonomi akibat pelaksanaan sekatan pergerakan dari perspektif makro sebagai sesuatu yang tidak dapat dielakkan.

“Namun, di sebalik semua angka-angka ini, terdapat golongan yang mengalami isu sebenar kelangsungan hidup apabila sekatan pergerakan lebih ketat dilaksanakan. Inilah hakikatnya terutama bagi perniagaan kecil dan mikro seperti kalangan pengendali restoran, pemilik gerai makanan, tukang jahit, pengusaha kedai gunting rambut, penjual buah-buahan, pengendali kedai dobi dan banyak lagi — mereka yang bergantung hidup kepada pendapatan harian berdasarkan permintaan terhadap barangan dan perkhidmatan mereka.

“Ringkasnya, ini realiti mengenai soal kelangsungan hidup, kemampuan untuk menghidangkan makanan untuk setiap keluarga pada setiap hari. Bagi mereka, tindakan untuk menseimbangkan perkara ini hanyalah teori dan tidak memberi makna besar pun dalam usaha mereka meneruskan hidup setiap hari,” tegas beliau.

Tengku Zafrul berkata pengajaran terbesar daripada pelaksanaan PKP 1.0 adalah “kita mengambil maklum bahawa pelaksanaan sekatan pergerakan dan usaha memastikan ekonomi mampu terus bertahan adalah sesuatu yang tidak boleh bersifat saling eksklusif.”

Malah, beliau berkata, lebih daripada 70 peratus Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Malaysia telah  mengalami kerugian pada 2020.

“Pelaksanaan sekatan pergerakan lebih ketat pastinya akan menjejaskan PKS kita serta lebih 900,000 di seluruh negara.

“Ini membabitkan pemilik perniagaan kecil dan mikro yang mana sumber pendapatan mereka akan segera terjejas walaupun dengan hanya sehari pelaksanaan sekatan pergerakan. Bayangkan keadaannya jika operasi itu ditutup selama 14 hari?” katanya.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon