B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Sektor pembuatan negara kian pulih

Sektor pembuatan negara kian pulih

01 Jun 2021

Sektor pembuatan Malaysia terus pulih pada Mei apabila firma melaporkan pengembangan pesanan baharu yang kedua berturut-turut.

Namun, langkah yang lebih ketat untuk mengatasi lonjakan jangkitan COVID-19 baharu memberikan kesan ketara terhadap jumlah pengeluaran, kata penyedia maklumat Amerika-Britain, IHS Markit.

Ketua Ahli Ekonomi Perniagaannya, Chris Williamson, berkata Mei menunjukkan kenaikan pesanan baharu yang diterima oleh pengilang dan perniagaan baharu kini meningkat dalam dua bulan berturut-turut susulan permintaan global yang terus pulih daripada pandemik terburuk itu.

“Bagaimanapun, peningkatan kes COVID-19 baru-baru ini di kedua-dua pasaran tempatan dan di kebanyakan pasaran utama luar negara menyebabkan gangguan pada Mei, yang menyekat pertumbuhan pengeluaran dan menyebabkan kelewatan rantaian bekalan,” katanya dalam satu kenyataan.

Williamson berkata, Indeks Pengurus Pembelian Pembuatan Malaysia (PMI) kekal menggambarkan bahawa kenaikan pembuatan lebih kukuh akan berlaku pada suku kedua, meskipun berlaku penurunan pertumbuhan pada Mei.

Namun, tegasnya, apa yang membimbangkan adalah virus itu akan terus memperlahankan pertumbuhan pada bulan-bulan akan datang.

“Jangkaan pertumbuhan masa depan agak mengejutkan pada Mei apabila gelombang jangkitan baharu seakan memberikan peringatan bahawa virus itu akan terus memberikan risiko yang ketara terhadap unjuran berkenaan,” katanya.

PMI, iaitu petunjuk tunggal komposit bagi prestasi sektor pembuatan, susut kepada 51.3 pada Mei daripada paras tertinggi 53.9 yang dicatatkan pada April, menunjukkan peningkatan yang lebih baik dalam sektor kesihatan dan pemulihan berturut-turut setiap bulan buat pertama kalinya sejak pertengahan 2018.

Hubungan di antara PMI dan statistik rasmi menggambarkan bahawa Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) stabil pada awal tahun ini, disokong oleh peningkatan pengeluaran pembuatan tetapi kesan sekatan terbaharu yang lebih ketat masih belum diterima oleh statistik rasmi walaupun data PMI terbaharu menunjukkan bahawa sektor ini mengalami kemerosotan pada bulan Mei.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon