B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Permintaan produk minyak domestik catat peningkatan semula: Mustapa

Permintaan produk minyak domestik catat peningkatan semula: Mustapa

02 Jun 2021

Permintaan ke atas produk minyak domestik telah mencatatkan peningkatan semula selaras dengan usaha-usaha pemulihan aktiviti ekonomi yang berterusan di Malaysia kecuali sektor penerbangan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau berkata jika dibandingkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 (18 Mac hingga 3 Mei, 2020) dengan PKP 3.0 (12 Mei hingga 7 Jun, 2021), pembukaan beberapa subsektor ekonomi juga telah memainkan peranan dalam membawa kepada peningkatan dalam permintaan minyak.

“Pelaksanaan program vaksin secara agresif telah membantu proses pemulihan aktiviti ekonomi di beberapa negara. Ini secara tidak langsung meningkatkan keyakinan pengguna dan sekaligus memacu semula permintaan minyak,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Mustapa berkata, jumlah keseluruhan permintaan minyak mentah dunia dijangka meningkat kepada 94 juta tong sehari pada suku kedua 2021 berbanding dengan 83 juta tong sehari bagi tempoh yang sama tahun lepas.

“Secara purata, harga minyak mentah Brent bagi tempoh Januari sehingga Mei 2021 mencatat AS$63 (US$1= RM4.13) setong berbanding US$40 bagi tempoh yang sama tahun lepas,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata Malaysia menyambut baik keputusan yang dibuat oleh Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum dan Bukan-Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum (OPEC+), iaitu meningkatkan pengeluaran sebanyak dua juta tong minyak mentah sehari (mb/d) secara beransur-ansur pada kadar yang sesuai mengikut keadaan pasaran.

Malaysia juga menyambut baik keputusan OPEC +, iaitu memantau asas pasaran minyak bagi memastikan proses untuk mengimbangi dan menstabilkan pasaran minyak global dapat dicapai, katanya.

“Saya telah mengetuai delegasi Malaysia menghadiri Mesyuarat ke-17 peringkat Menteri Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan Bukan-OPEC (juga dikenali sebagai Mesyuarat OPEC+) yang diadakan secara maya pada 1 Jun, 2021,” kata Mustapa.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon