B. Malaysia
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


LBS sasar dapatkan pelabur di M-WEZ

LBS sasar dapatkan pelabur di M-WEZ

03 Jun 2021

LBS Bina Group Bhd sedang meninjau potensi kerjasama dengan pelabur tempatan dan asing di rantau ini untuk melabur dan mengembangkan sebahagian daripada Zon Ekonomi Pesisir Pantai Melaka (M-WEZ).

Ia membolehkan pelabur terbabit menggunakan pengalaman dan modal masing-masing dalam bidang seperti pelabuhan, minyak dan gas serta perindustrian.

Syarikat ini membuka peluang kepada pelabur dari China, Jepun, Korea Selatan, Hong Kong dan negara lain melalui beberapa kaedah tetapi tidak terhad kepada Permintaan Maklumat dan Pernyataan Minat (RFII) untuk melabur dan memajukan sebahagian daripada M-WEZ.

Mengenai pembiayaan untuk penambakan dan pembangunan kawasan seluas 486 hektar di Tanjung Bruas, Pengerusi Eksekutifnya, Tan Sri Lim Hock San menjelaskan ia sangat bergantung kepada jumlah pelabur asing yang masuk dengan jumlah modal untuk melabur di Malaysia selain daripada syarikat tempatan yang perlu juga memainkan peranan masing-masing.

Anak syarikat tidak langsung LBS, Leaptec Engineering Sdn Bhd memeterai perjanjian penambakan dan pembangunan dengan kerajaan Melaka pada bulan April untuk kerja penambakan dan pengembangan hab industri dengan kemudahan pelabuhan di Tanjung Bruas, Melaka Tengah.

Kawasan penambakan yang diluluskan itu akan dikembangkan menjadi hab industri dengan kemudahan pelabuhan yang merangkumi logistik dan rumah gudang, pembuatan/perkilangan, gas asli cecair (LNG), perniagaan berkaitan dengan pelabuhan dan aktiviti pembangunan atau ekonomi lain yang serupa, katanya.

“Kerja penambakan pastinya akan melonjakkan ekonomi, meningkatkan industri pelancongan Melaka, mewujudkan peluang pekerjaan dan memperkukuh hubungan dua hala dengan negara-negara pelaburan,” katanya kepada Bernama dalam temubual eksklusif baru-baru ini.

Mengenai kajian yang diminta oleh kerajaan Melaka berkaitan dengan projek M-WEZ, beliau menyatakan kumpulan dijangka dapat menyiapkan dan menyusun dokumentasi yang diperlukan tahun ini, dengan kajian berkenaan kedalaman laut selesai setakat ini.

“Selain daripada laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA), Penilaian Impak Perikanan (FIA), Penilaian Impak Sosial (SIA), Kajian Hidraulik dan Laporan Pengurusan Risiko Laut, kajian dan kelulusan yang diperlukan kebanyakannya serupa dengan tugasan pembangunan kami yang lain.

“Memandangkan semua perunding dan pakar sudah ada, kami akan berusaha mencapai jangka waktu 18 bulan untuk menyelesaikan kajian dan mendapatkan kelulusan yang diperlukan,” kata Hock San.

Ditanya mengenai pelancaran projek pada tahun ini, beliau berkata LBS merancang 16 pelancaran dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM2.65 bilion.

Ini termasuk projek perbandaran KITA @ Cybersouth di Dengkil, LBS Alam Perdana di Bandar Puncak Alam, Puchong, Mercu Jalil di Bukit Jalil dan Prestige Residence Apartment di Seri Kembangan, Chemor, Perak.

Pada 30 Mei 2021, LBS memperoleh RM461 juta penjualan dan tempahan daripada sejumlah RM492 juta.

“Kami menyasarkan penjualan RM1.2 bilion menjelang akhir 2021. Kami agak bimbang dengan pandemik yang berlaku pada masa ini tetapi yakin dapat melepasi sasaran,” katanya.

Mengenai projek baharu pula, beliau berkata tiga projek perumahan yang akan dilancarkan pada separuh kedua tahun ini ialah di KITA @ Cybersouth, pangsapuri servis Bayu Hills di Genting Permai dan Pangsapuri Prestige Residence Block A di Seri Kembangan dengan GDV, masing-masing RM648 juta, RM430 juta dan RM295 juta.

“Dengan tiga projek besar untuk tahun ini, kami masih lagi berhati-hati tetapi optimis kerana perumahan mampu milik kami diterima dengan baik berikutan kadar faedah yang lebih rendah.

“Pelanjutan Kempen Pemilikan Rumah (HOC) oleh kerajaan pula adalah berita positif dalam kalangan pemain industri dan pembeli rumah,” katanya.

Keuntungan bersih LBS Bina melonjak kepada RM25.15 juta untuk suku pertama berakhir 31 Mac 2021 daripada RM9.34 juta yang dicatatkan pada suku yang sama tahun lalu.

Hasil meningkat kepada RM402.55 juta, didorong oleh pendapatan yang lebih baik dalam pembangunan hartanah serta segmen pembinaan dan perdagangan.

Dengan penjualan belum dibilkan berjumlah RM2.067 bilion setakat 15 Mei 2021, beliau amat yakin ini dapat menghasilkan aliran tunai yang sihat untuk dua tahun lagi serta menyumbang ke arah pendapatan yang lebih baik bagi kumpulan itu.

Sementara itu, beliau berkata perolehan nilai kontrak setakat 30 April 2021 untuk MGB Bhd, yang majoritinya dimiliki oleh LBS Bina, bernilai RM2.03 bilion.  Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon
X