Sektor pembuatan Malaysia terus mengukuh - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Sektor pembuatan Malaysia terus mengukuh

Sektor pembuatan Malaysia terus mengukuh

03 Jan 2022

Indeks Pengurus Pembelian (PMI) IHS Markit yang menjadi petunjuk tunggal komposit bagi prestasi pembuatan, meningkat kepada 52.8 pada Disember 2021 daripada 52.3 dalam bulan sebelumnya, mencerminkan peningkatan kukuh sektor terbabit.

Berikutan itu, prestasi purata bagi suku akhir berkenaan adalah suku paling kukuh sejak tinjauan itu dimulakan pada 2012, kata IHS Markit dalam nota penyelidikannya.

Menurutnya, berdasarkan kaitan antara PMI dan statistik rasmi, angka terbaharu itu menjadi petunjuk dari segi pengembangan kukuh pengeluaran pembuatan dan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), dengan tinjauan itu turut memaparkan pemulihan meluas daripada impak akibat COVID-19.

Ia berkata, data Disember itu menunjukkan peningkatan output bagi bulan ketiga, yang mana tahap pengembangannya adalah sederhana namun terpantas sejak April lalu.

Justeru, katanya kalangan syarikat atau firma menyifatkan pengukuhan ini didorong oleh peningkatan permintaan berikutan kelonggaran sekatan akibat pandemik.

“Jumlah tempahan baharu turut meningkat pada akhir 2021 dengan kadar pertumbuhan mencecah paras tertinggi dalam tempoh lapan bulan.

“Firma-firma itu berkata peningkatan keyakinan pelanggan juga mendorong permintaan di peringkat pasaran domestik mahupun luar.

“Pada masa sama, jualan eksport baharu kembali ke paras pengembangan pada Disember berikutan pengukuhan permintaan di Amerika Syarikat (AS) dan China yang turut menyumbang kepada kenaikan dalam perniagaan baharu dari luar negara,” katanya.

Ahli Ekonomi IHS Markit, Usamah Bhatti, berkata kelonggaran sekatan akibat COVID-19, mengurangkan tekanan yang dihadapi oleh sektor pembuatan Malaysia selain membantu dari segi memacu momentum pertumbuhan pada Disember 2021.

“Bacaan purata PMI utama bagi suku keempat itu adalah prestasi suku tahunan paling kukuh dicatatkan sejak tinjauan itu dimulakan pada Julai 2012 dengan pertumbuhan output dan tempahan baharu masing-masing mencecah paras tertinggi dalam tempoh lapan bulan.

“Namun, persekitaran operasi kekal mencabar berikutan isu kelewatan rantaian bekalan selain kekurangan pekerja yang dilaporkan membabitkan keseluruhan sektor itu,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, apa yang menggalakkan adalah unjuran perniagaan bagi tahun ini secara keseluruhannya kekal kukuh dengan satu perlima syarikat menyuarakan optimis bahawa situasi terburuk pandemik itu sudah berakhir.

“Tahap optimis itu mereda pada November apabila prospek (prestasi) terus dibayangi ketidaktentuan akibat tempoh gangguan membabitkan rantaian bekalan, kekurangan bahan mentah serta impak akibat varian baharu COVID-19,” katanya.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon