Malaysia diunjur raih pelaburan RM200 bilion - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Malaysia diunjur raih pelaburan RM200 bilion

Malaysia diunjur raih pelaburan RM200 bilion

03 Jan 2022

Prospek pelaburan bagi Malaysia dijangka kekal kukuh dengan unjuran sebanyak RM200 bilion akan diluluskan tahun ini meskipun berdepan persekitaran mencabar dan ketidaktentuan yang dicetuskan pandemik, demikian menurut UOB Malaysia.

Ahli Ekonomi Kanan UOB Malaysia, Julia Goh, berkata bank itu membuat semakan semula terhadap unjuran pelaburan bagi keseluruhan 2021 kepada RM215 bilion berbanding unjuran sebelumnya iaitu sebanyak RM185 bilion.

Beliau berkata, semakan semula itu dibuat dengan mengambil kira pengumuman pelaburan bernilai RM30 bilion oleh pengeluar cip Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini dan jumlah kelulusan pelaburan setakat ini yang mencapai 96 peratus daripada unjuran awal dibuatnya.

Katanya, kerajaan juga menyediakan misi perdagangan dan pelaburan strategik dan tertumpu yang disasarkan untuk menarik pelaburan dalam teknologi tinggi, inovasi dan industri dipacu penyelidikan.

Beliau menambah, setakat 10 Disember 2021, terdapat sebanyak 523 projek dengan cadangan pelaburan sebanyak RM32.7 bilion dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan.

“Bagaimanapun, jangkaan keadaan monetari global yang lebih ketat dan ketidaktentuan yang berlarutan berkaitan pandemik akan terus memberi cabaran kepada aliran pelaburan langsung asing (FDI) dalam pasaran baru muncul termasuk Malaysia pada 2022.

“Keadaan ini mendorong kami membuat unjuran berhemat dengan kelulusan pelaburan bernilai RM200 bilion untuk 2022,” katanya dalam nota penyelidikan yang disediakan bersama Ahli Ekonomi UOB Malaysia, Loke Siew Ting.

Goh berkata, faktor yang membolehkan pihaknya menaikkan unjuran adalah prospek pertumbuhan Malaysia yang kukuh, pemulihan serantau yang mantap sejajar dengan kemajuan kadar vaksinasi.

Selain itu, beliau berkata terdapat potensi impak positif lencongan perdagangan dan pelaburan dengan berkuatkuasanya Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) pada Januari 2022.

“Malaysia juga menawarkan beberapa insentif cukai bagi syarikat baharu dan sedia ada yang berpindah ke Malaysia apabila kerajaan mengumumkan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) pada Jun 2020,” katanya.

Jumlah kelulusan pelaburan Malaysia meningkat 51.5 peratus kepada RM177.8 bilion pada Januari hingga September 2021 berbanding RM117.4 bilion pada Januari hingga September 2020.

Sektor pembuatan adalah penyumbang terbesar dengan jumlah pelaburan RM103.9 bilion (58.4 peratus), diikuti oleh sektor perkhidmatan sebanyak RM57.8 bilion (32.5 peratus) dan sektor utama sebanyak RM16.1 bilion (9.1 peratus).

Kelulusan FDI menyumbang hampir 60 peratus daripada keseluruhan pelaburan yang diluluskan atau sebanyak RM106.1 bilion dengan pelaburan utama dari Singapura, China, Austria, Jepun dan Belanda.

FDI menerajui pelaburan yang diluluskan dalam pembuatan manakala pelaburan domestik memacu sektor perkhidmatan dan sektor utama.

Negeri yang menarik pelaburan diluluskan paling tinggi dalam ketiga-tiga sektor ialah Kedah, Sarawak, Kuala Lumpur, Selangor dan Pahang.

Sumber: Berita Harian

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon