Sektor E&E Malaysia berpotensi besar penuhi permintaan global - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Sektor E&E Malaysia berpotensi besar penuhi permintaan global

Sektor E&E Malaysia berpotensi besar penuhi permintaan global

11 Nov 2021

Sektor elektrikal dan elektronik (E&E) di Malaysia mempunyai potensi besar untuk memenuhi permintaan global yang meningkat terutamanya untuk pasaran semikonduktor dunia, menurut Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC).

Agensi itu berkata sektor E&E menyumbang sebanyak RM386 bilion iaitu 39.4 peratus kepada jumlah eksport negara. Dalam enam bulan pertama 2021, jumlah eksport E&E meningkat sebanyak 28 peratus berbanding tahun lalu.

“Perkembangan dinamik ini memberi peluang yang baik kepada Malaysia untuk meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dalam fasa pemulihan ekonomi yang menjadi agenda tahun 2022,” menurut MPC dalam kenyataan hari ini.

Berdasarkan Perangkaan Perdagangan Semikonduktor Dunia, sektor semikonduktor global dijangka berkembang pada kadar 20 peratus (US$527 bilion) pada tahun 2021 dan bakal bertambah sebanyak 10 peratus pada tahun 2022 (US$573 bilion).

Malaysia diiktiraf sebagai pengeluar utama semikonduktor dalam rantaian global E&E. Sebanyak tujuh peratus daripada perdagangan semikonduktor dunia mengalir melalui Malaysia.

“Justeru, inisiatif pemulihan ekonomi negara dalam sektor E&E perlu dilipatgandakan bagi membolehkan Malaysia berada pada kedudukan yang kukuh untuk memenuhi pemintaan E&E global,” katanya.

Ketua Pengarah MPC Datuk Abdul Latif Abu Seman, berkata Malaysia perlu merebut peluang daripada permintaan tinggi global untuk produk E&E.

Produktiviti pengeluaran dan pembuatan harus dipertingkatkan untuk memenuhi keperluan dan memperkukuhkan kedudukan global Malaysia sebagai pengeluar produk E&E utama.

“Maklum balas daripada industri amat penting untuk mengenal pasti cabaran yang dihadapi oleh pemain industri yang mengekang operasi perniagaan. Libat urus dengan industri juga memperincikan jalan penyelesaian untuk menangani cabaran yang dikenal pasti dan sama ada campur tangan kerajaan adalah perlu untuk melaksanakannya,” katanya.

Antara cabaran kritikal yang dihadapi oleh sektor E&E adalah dalam pengambilan dan penggajian pekerja.
Abdul Latif berkata sektor berkenaan mengalami pengurangan pengambilan pekerja baharu pada kadar 70 peratus dalam tempoh tiga bulan terkini dan situasi ini merencatkan operasi perniagaan.

Sementara itu, Presiden Persatuan Industri Semikonduktor Malaysia (MSIA), Datuk Seri Wong Siew Hai berkata industri memerlukan sekurang-kurangnya 14,000 pekerja tempatan dan asing, 2,400 jurutera, 1,600 kakitangan sokongan dan 450 ekspatriat untuk memenuhi keperluan tenaga kerja sektor E&E.

Katanya, keperluan sumber manusia ini disebabkan oleh pembukaan semula aktiviti ekonomi dan pengembangan operasi perniagaan.

“Industri dan negara akan kehilangan peluang untuk menjana ekonomi dan pendapatan jika kekangan tenaga kerja ini tidak ditangani,” tambahnya.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon