B. Malaysia
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Segmen E&E akan terus jadi pemacu pertumbuhan Malaysia – MIDA

Segmen E&E akan terus jadi pemacu pertumbuhan Malaysia – MIDA

26 Jun 2022

Malaysia berada pada trajektori yang betul untuk memperoleh lebih banyak projek berkualiti tinggi dan berintensifkan modal, dengan segmen elektrik dan elektronik (E&E) akan terus menjadi pemacu pertumbuhan penting ekonomi.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Arham Abdul Rahman berkata Malaysia merupakan pengeksport keenam terbesar semikonduktor dan litar bersepadu (IC) di dunia, menyumbang 6.3 peratus kepada jumlah eksport dunia.

Beliau berkata ini akan terus menyokong industri E&E kerana ia mewakili 61.7 peratus daripada produk eksport.

“Berdasarkan rundingan semasa dengan bakal pelabur, kebanyakannya adalah syarikat multinasional (MNC), kami optimis angka pelaburan bagi 2022 juga besar walaupun tidak pada paras rekod tahun lepas, dan segmen E&E akan terus menjadi penyumbang terbesar pelaburan yang diluluskan tahun ini.

“Kekurangan semikonduktor di peringkat global dijangka berterusan sehingga penghujung Disember 2023 dan permintaan pengguna juga terus tinggi. Oleh itu syarikat sedang mencari peluang melabur bagi meningkatkan pengeluaran mereka untuk memenuhi permintaan,” katanya kepada Bernama di luar acara  SEMIKON Asia Tenggara 2022 baru-baru ini.

SEMIKON Asia Tenggara 2022 yang meliputi antaranya seminar, sesi forum, perbincangan panel dan meja bulat, pameran kerjaya serta sesi suai padan perniagaan itu berlangsung di Arena dan Pusat Konvensyen Setia SPICE di sini dari 21 hingga 23 Jun lepas.

Arham berkata keyakinan pelabur asing terus meningkat kerana Malaysia mempunyai satu daripada ekosistem paling komprehensif di rantau ini dalam industri E&E, jentera dan peralatan (M&E), aeroangkasa, automotif dan peralatan perubatan.

Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA) pula sudah tentu akan mengorak laluan ke arah menarik lebih banyak pelaburan berkualiti, katanya.

Beliau berkata MIDA menjangka lebih ramai pelabur asing datang ke Malaysia, menjejaki langkah syarikat elektronik terbesar dan paling canggih di dunia iaitu Intel, ST Microelectronics, Infineon, Micron, Texas Instruments, TF-AMD dan Osram.

Pelaburan yang diluluskan untuk industri E&E bernilai RM18.6 bilion pada suku pertama tahun ini dan sebanyak 13,700 peluang pekerjaan dijangka diwujudkan daripada projek-projek ini.

Bagi jangka panjang, industri E&E disasarkan menyumbang RM120 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia dan menjana pendapatan eksport sebanyak RM495 bilion menjelang 2025.

Arham turut menekankan terdapat dua cabaran khusus yang dihadapi oleh industri E&E iaitu kekurangan tenaga mahir dan kekurangan tanah.

Bagi menangani isu bakat, MIDA sedang bekerjasama rapat dengan universiti dan pusat latihan tempatan bagi mewujudkan lebih banyak program latihan dan pembelajaran industri untuk memenuhi permintaan syarikat tempatan dan MNC, katanya.

“Kekurangan tanah menjadi satu lagi cabaran yang sedang kami diatasi. Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow mengumumkan bahawa kerajaan negeri sedang mengenal pasti kawasan baharu untuk menampung keperluan industri dan menyokong ekosistem E&E,” katanya.

Mengenai keseluruhan pelaburan langsung asing (FDI), beliau berkata Malaysia telah menarik sejumlah RM42.8 bilion pelaburan diluluskan dalam sektor pembuatan, perkhidmatan dan utama, melibatkan 910 projek pada Januari hingga Mac 2022.

Melangkah ke hadapan, MIDA mengenal pasti 446 prospek pelaburan berprofil tinggi termasuk syarikat Fortune 500 dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan dengan keseluruhan nilai pelaburan berpotensi RM150.4 bilion setakat 1 Jun, 2022.

“Prestasi cemerlang Malaysia, walaupun mengharungi tahun yang mencabar, adalah bukti kukuh bahawa Malaysia kekal sebagai destinasi pelaburan yang menarik didorong persekitaran perniagaan yang sepadu, dasar mesra pelabur dan langkah pandemik yang berkesan.

“MIDA akan terus memperkenalkan langkah-langkah inovatif untuk meringankan cabaran mengendalikan perniagaan di negara ini di samping menggalakkan dan memudahkan penggunaan dan penyesuaian teknologi, inovasi dan penyelidikan oleh syarikat,” katanya.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon
X