B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Ban Hong ketuai misi MITI ke Mexico, Peru

Ban Hong ketuai misi MITI ke Mexico, Peru

26 Jun 2022

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Lim Ban Hong mengetuai misi perdagangan dan pelaburan ke Mexico dan Peru mulai hari ini hingga 5 Julai 2022.

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dalam kenyataan berkata, misi itu adalah sebahagian daripada usaha berterusan kementerian untuk mengembangkan peluang perdagangan dan pelaburan di pasaran Amerika Latin.

“Misi pelaburan dan perdagangan itu akan menumpukan kepada peluang rantaian yang luas serta meneroka pasaran baharu bagi eksport kita sebagai sebahagian daripada pakatan perdagangan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP),” menurut kenyataan itu.

Menurut MITI, Ban Hong dijadual mengadakan mesyuarat dua hala dengan rakan sejawatnya di Mexico dan Peru untuk membincangkan kaedah untuk meningkatkan lagi perdagangan dua hala dan kerjasama pelaburan di antara Malaysia dan negara-negara itu.

Tumpuan itu akan terarah kepada keupayaan dan kapasiti Malaysia dalam sektor strategik termasuk elektrik dan elektronik (E&E), segmen kenderaan elektrik, ekonomi digital dan industri automotif.

Mexico adalah rakan dagang kedua terbesar Malaysia di Amerika Latin yang menyaksikan dagangan dua hala yang merekodkan peningkatan dua kali ganda dalam tempoh sedekad lalu.

Pada 2021, Malaysia mencatatkan kenaikan yang besar bagi jumlah perdagangan dengan Mexico sehingga mencapai RM13.89 bilion (AS$3.35 bilion) berbanding 2020, disumbangkan oleh eksport yang lebih tinggi bagi produk E&E dan pembuatan logam.

Jumlah eksport pada 2021 menokok sebanyak 37.9 peratus kepada RM11.59 bilion (AS$2.79 bilion), manakala jumlah import naik 35.9 peratus kepada RM2.3 bilion (AS$560 juta) berbanding tahun sebelumnya.

Pada 2021, Peru adalah enam rakan dagang terbesar utama Malaysia di Amerika Latin.

Walaupun perdagangan global menyusut disebabkan pandemik, Malaysia mencatatkan kenaikan yang mengagumkan sebanyak 13.5 peratus bagi jumlah perdagangan dengan Peru berbanding 2020, mencapai RM1.22 bilion (AS$290 juta).

Ia sebahagian besarnya disumbangkan oleh peningkatan eksport produk getah, produk petroleum dan makanan diproses.

Eksport Malaysia ke Peru bertambah sebanyak 21.8 peratus kepada RM790 juta (AS$190 juta), manakala import dari Peru kekal pada RM430 juta (AS$100 juta) berbanding 2020.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon