B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


NCIA, PKNK umum perancangan pembangunan KSTP Fasa Dua

NCIA, PKNK umum perancangan pembangunan KSTP Fasa Dua

26 Jun 2022

Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) dan Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) pada Ahad mengumumkan perancangan pembangunan Taman Sains dan Teknologi Kedah (KSTP) Fasa Dua.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata projek di kawasan seluas lebih 339.93 hektar di Bukit Kayu Hitam yang diterajui NCIA itu dijangka bermula pada suku keempat 2022 dan siap sepenuhnya untuk pelabur menjelang 2024.

“Perjanjian kerjasama ini akan menyaksikan NCIA membangunkan infrastruktur dan terus memberi sokongan ke atas projek yang akan menarik pelabur bernilai tinggi ke negeri ini.

“NCIA juga akan bekerjasama dengan beberapa agensi kerajaan antaranya Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN) bagi mempromosikan KSTP serta mengalu-alukan pelabur domestik dan asing dalam bentuk skala besar dan sederhana,” katanya kepada pemberita di sini pada Ahad.

Terdahulu, beliau menyaksikan pertukaran dokumen Perjanjian Kerjasama Pembangunan Fasa Dua KSTP antara Ketua Eksekutif NCIA, Mohamad Haris Kader Sultan dan Ketua Pegawai Eksekutif PKNK Datuk Syed Yussof Syed Othman.

Muhammad Sanusi berkata pihaknya berharap kerjasama itu dapat mempercepat pembangunan sektor-sektor yang boleh membantu memulihkan ekonomi negeri selepas terkesan akibat pandemik COVID-19.

“Ini menunjukkan komitmen kerajaan negeri dan NCIA untuk menjadikan Kedah sebagai hab  penyelidikan dan pembangunan serta pengkomersialan (R&D&C) dan pembuatan. Adanya KSTP ini, ia akan mengukuhkan lagi daya tarikan Kedah kepada pelabur,” katanya.

Sementara itu, Mohamad Haris berkata fasa dua KSTP akan memfokuskan kluster pelaburan bagi sektor agromakanan, bioteknologi dan teknologi nano.

“Kita sudah ada nama-nama besar pelabur yang berminat, tunggu kita akan umumkan nanti. Fasa satu projek berkenaan di kawasan seluas 97.12 hektar yang diterajui PKNK telah siap sepenuhnya pada Sept tahun lalu dan akan ada fasa ketiga di kawasan seluas lebih 311.60 hektar yang melibatkan pembangunan masa hadapan,” katanya.

Secara keseluruhan KSTP dijangka mampu mencapai pelaburan bernilai RM12.9 bilion dan mewujudkan lebih 23,000 peluang pekerjaan dengan kawasan keseluruhan seluas lebih 749.07 hektar dijangka terus memacu dan melonjakkan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) sebagai destinasi pelaburan pilihan di Malaysia.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon