B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


SBEZ Kota Perdana berpotensi tarik pelaburan baharu

SBEZ Kota Perdana berpotensi tarik pelaburan baharu

10 Mac 2021

Zon Sempadan Ekonomi Khas (SBEZ) Kota Perdana, Bukit Kayu Hitam, Kedah berpotensi untuk menarik pelaburan baharu dan memangkin momentum usaha pemulihan semula ekonomi pasca COVID-19 khususnya di wilayah utara, terutama Kedah.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata keyakinan itu bersandarkan kepada beberapa faktor seperti kedudukan strategik SBEZ Kota Perdana untuk mengeksploitasi segala kelebihan yang ada antara Malaysia dan Thailand seperti sumber bahan mentah, kemudahan infrastruktur dan sebagainya.

Beliau berkata, ia juga mempunyai kelebihan geo-strategik kerana terletak dalam laluan Rangkaian Lebuhraya Asia 2 (AHN 2) yang menghubungkan Singapura dan Thailand serta saluran paip gas Trans Thai-Malaysia yang berpotensi untuk dibangunkan sebagai hab penting dalam rantaian bekalan global bagi industri pembuatan khususnya peranti perubatan dan peralatan penjagaan kesihatan, produk makanan serta komponen automotif, elektrik dan elektronik.

Katanya, kelebihan dan potensi dimiliki oleh bandar sempadan Bukit Kayu Hitam yang juga laluan utama perdagangan rentas sempadan di utara Semenanjung dengan anggaran nilai kira-kira RM40 bilion setahun haruslah dimanfaatkan semaksimum mungkin.

“Difahamkan bahawa aktiviti ekonomi utama di kawasan sekitar bandar sempadan Bukit Kayu Hitam pada masa kini masih tertumpu kepada aktiviti sektor perkhidmatan logistik rentas sempadan.

“Persoalannya, kita sepatutnya tidak harus berpuas hati dengan hanya menyediakan laluan eksport bagi bahan mentah dan komoditi dari negara jiran.

“Sebaliknya, saya percaya melalui inisiatif pembangunan prasarana seperti SBEZ Kota Perdana, pelbagai usaha lain boleh dirancang bagi merancakkan lagi aktiviti sektor ekonomi di bandar sempadan Bukit Kayu Hitam,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis menandatangani perjanjian jual beli antara Hartalega Holdings Bhd (Hartalega) dengan Northern Gateway Free Zone Sdn Bhd (Northern Gateway Free Zone), anak syarikat milik penuh Northern Gateway Sdn Bhd (Northern Gateway) di sini, hari ini.

Sementara itu, Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor, berkata SBEZ Kota Perdana adalah salah satu projek impak tinggi negeri itu.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri Kedah akan membina Loji Rawatan Air di Kodiang untuk memastikan keperluan air di zon berkenaan mencukupi dan berada pada tahap optimum untuk pelabur di kawasan berkenaan.

“Pembangunan Kota Perdana seluas 4,395 ekar yang sedang dimajukan Northern Gateway adalah salah satu komponen dalam agenda Kerajaan Negeri yang lebih besar ke atas pembangunan dalam kawasan Bukit Kayu Hitam.

“Selain pembangunan Kota Perdana, projek utama lain yang dibangunkan adalah Kedah Science & Technology Park (KSTP) iaitu hab industri yang memberi fokus kepada sub sektor industri halal, makanan dan logistik rentas sempadan,” katanya.

Sumber: Berita Harian

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon