B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Sarawak boleh main peranan penting percepat peralihan tenaga di Asia Tenggara – Premier

Sarawak boleh main peranan penting percepat peralihan tenaga di Asia Tenggara – Premier

25 Okt 2022

Sarawak boleh memainkan peranan penting dalam mempercepatkan peralihan tenaga di Asia Tenggara dengan bekerjasama menerusi perkongsian sumber dengan jirannya.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, Agenda Pertumbuhan Sarawak menyokong Masa Depan Tenaga Berdaya Tahan dan Mampan untuk Kemakmuran Serantau Bersama.

“Keputusan kita sekarang akan mempunyai implikasi besar untuk generasi akan datang, yang mana keupayaan mereka untuk menjalani kehidupan yang makmur dan sihat bergantung pada apa yang kita lakukan hari ini.

“Pergerakan global ke arah penyahkarbonan dan peralihan tenaga amat penting bagi ASEAN kerana walaupun dalam senario terbaik sekali pun, masih menunjukkan bahawa kita semua akan menghadapi kesan perubahan iklim pada tahap tertentu.

“Sebagai penyedia tenaga boleh diperbaharui terbesar di Malaysia, Sarawak boleh memainkan peranan penting dalam mempercepatkan peralihan tenaga Asia Tenggara menerusi bekerjasama dengan berkongsi sumber dengan jirannya,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada Sidang Kemuncak Tenaga Singapura sempena Minggu Tenaga Antarabangsa Singapura Ke-15 (SIEW) di Singapura, hari ini.

Turut hadir Timbalan Premier Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Dr Hazland Abang Hipni, Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Energy Datu Sharbini Suhaili serta yang lain.

Abang Johari berkata, hasil kajian sains di sebalik Panel Antara Kerajaan mengenai Laporan Perubahan Iklim 2022 adalah jelas, iaitu perubahan iklim membahayakan kesejahteraan manusia dan planet ini.

Menurutnya, tindakan yang ditangguh akan mencetuskan kesan perubahan iklim yang sangat dahsyat sehingga dunia kita akan menjadi tidak dapat dikenali.

“Beberapa tahun akan datang adalah penting untuk merealisasikan masa depan yang mampan dan boleh didiami untuk semua. Mengubah haluan memerlukan usaha segera, bercita-cita tinggi dan bersepadu untuk mengurangkan pelepasan, membina daya tahan dan memulihara ekosistem.

“Dalam hal ini, Sarawak mengutamakan kelestarian alam sekitar, menyelaraskan laluan pembangunan kita dengan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan mengejar pertumbuhan ekonomi yang seimbang dengan mengurus sumber asli kita dengan cara yang terukur dan bertanggungjawab,” tegasnya.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar berkata, Sarawak telah berjaya beralih daripada 92 peratus bahan api fosil pada 2010 kepada 70 peratus kuasa hidro menjelang 2015, dilengkapi dengan sumber haba.

“Peralihan ini telah menyahkarbonkan intensiti pelepasan grid kami sebanyak 72 peratus antara 2010 dan 2020 dan terus memacu pertumbuhan sosioekonomi kami yang mampan pada hari ini,” jelasnya.

Abang Johari berkata, kuasa hidro boleh diperbaharui negeri akan menjadi antara enjin utama untuk mencapai matlamat iklim peralihan daripada penjanaan elektrik yang menghasilkan karbon dioksida kepada penjanaan bebas karbon.

“Kos tenaga yang diratakan lebih rendah daripada tenaga hidro boleh diperbaharui juga memberi manfaat kepada pelanggan domestik, perindustrian dan eksport Sarawak dengan membekalkan mereka dengan elektrik yang mampu milik, boleh dipercayai dan mampan, malah yang paling berdaya saing di rantau ini,” ujarnya.

Beliau berkata, menerusi syarikat utiliti milik kerajaan Sarawak Energy Berhad, Sarawak kini menawarkan purata tarif tanpa subsidi yang paling rendah di Asia Tenggara dan elektriknya adalah hijau.

Sumber: Utusan Borneo

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon