B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Sabah terima pelaburan RM4.4 bilion dalam sektor pembuatan

Sabah terima pelaburan RM4.4 bilion dalam sektor pembuatan

23 Dis 2021

Sabah memperoleh tujuh pelaburan bernilai RM4.4 bilion dalam sektor pembuatan yang diluluskan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), ketiga terbesar di negara ini selepas Kedah (RM42.6 bilion) dan Selangor (RM4.6 bilion), pada separuh pertama tahun ini.

Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor berkata, sehubungan itu semua pihak perlu terus bekerjasama bagi mengekalkan momentum tersebut memandangkan negeri ini sentiasa menantikan tahun yang lebih produktif pada masa depan.

Mempengerusikan mesyuarat Lembaga Pengarah Invest Sabah Bhd (ISB) kali kedua di sini hari ini, Ketua Menteri berkata beliau mahu melihat lebih banyak sinergi antara agensi negeri dan Persekutuan dalam melonjakkan agenda pelaburan di Sabah.

“Saya telah beritahu pada mesyuarat pertama Lembaga Pengarah ISB bahawa saya mahu semua halangan yang mengganggu pelaburan ke Sabah dihapuskan kerana kerenah birokrasi yang dihadapi oleh pelabur yang berniat baik hanya akan menjejaskan usaha menarik pelabur ke negeri ini. Oleh itu, semua pihak mesti memainkan peranan untuk menghapuskan halangan ini bagi memudahkan pelaburan,” katanya.

Hajiji, yang juga Menteri Kewangan Sabah, berkata pelan pembangunan Halatuju Sabah Maju Jaya (SMJ) telah disediakan bagi membimbing agenda pembangunan negeri.

“Sehingga kini, kita telah membuat kemajuan dengan menandatangani tiga projek berimpak tinggi untuk memacu inisiatif SMJ — gabungan RM10 bilion Lok Kawi Resort City, kemudahan kilang kerajang tembaga dan Projek Kelapa Bersepadu.

“Lebih banyak projek berimpak tinggi sedang menanti dan saya berharap dengan pelaburan ini yang datang dari dalam dan luar negara, rakyat dan kerajaan Sabah akan mendapat manfaat yang besar,” katanya.

Beliau menyatakan bahawa di sebalik cabaran yang ditimbulkan oleh pandemik COVID-19 sejak dua tahun lalu, tumpuan dan keazaman negeri untuk mencapai matlamat pembangunan tidak pernah goyah.

“Kerajaan negeri telah mengambil pelbagai langkah untuk mengurangkan kesan negatif pandemik dan merangsang semula pertumbuhan ekonomi Sabah.

“Kami yakin pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara dan pelbagai pakej rangsangan oleh kerajaan Persekutuan akan memacu usaha pemulihan ekonomi Sabah. Oleh itu, sudah tiba masanya untuk kita bergerak ke hadapan bagi melaksanakan rancangan kita,” katanya.

Terdahulu, beliau memberi penghormatan kepada mendiang Datuk Tan Kim Beng, Ahli Lembaga Pengarah ISB yang meninggal dunia awal tahun ini.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon