B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Malaysia catat pelaburan diluluskan RM177.8 bilion

Malaysia catat pelaburan diluluskan RM177.8 bilion

23 Dis 2021

Malaysia merekodkan pelaburan diluluskan bernilai RM177.8 bilion, peningkatan 51.5 peratus tahun ke tahun, membabitkan 3,037 projek dari Januari hingga September 2021 (9M2021).

Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata pelaburan yang diluluskan itu merangkumi sektor pembuatan, perkhidmatan dan utama, yang dijangka menjana 79,899 pekerjaan di negara ini.

“Prestasi cemerlang negara ini terus menjadi bukti mengenai keyakinan kukuh pelabur terhadap Malaysia sebagai hab pelaburan pilihan, khususnya ekosistem perniagaan kami yang kondusif dalam menyediakan bakat berkemahiran tinggi dan mempunyai kesediaan kukuh dalam teknologi canggih.

“Ini seterusnya, meningkatkan lagi peranan kami sebagai tapak terkemuka dalam rangkaian pembuatan syarikat global, meningkatkan kedudukan Malaysia sebagai perintis, destinasi pelaburan terkenal di rantau ini,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) ) hari ini.

Mohamed Azmin berkata, sektor pembuatan menyumbang 58.4 peratus (RM103.9 bilion) daripada jumlah pelaburan, diikuti sektor perkhidmatan sebanyak 32.5 peratus (RM57.8 bilion) dan sektor utama 9.1 peratus (RM16.1 bilion).

Katanya, pelaburan langsung asing (FDI) menyumbang hampir 60 peratus daripada pelaburan yang diluluskan pada RM106.1 bilion, dengan Singapura, China, Austria, Jepun dan Belanda menjadi lima negara FDI teratas, menyumbang hampir 85.3 peratus atau RM90.6 bilion daripada jumlah keseluruhan.

“Walaupun FDI menerajui pelaburan yang diluluskan dalam pelaburan sektor pembuatan, pelaburan oleh syarikat tempatan mendominasi dalam sektor perkhidmatan dan utama.

“Dalam tempoh sembilan bulan ini, pelaburan langsung domestik (DDI) berjumlah RM71.7 bilion atau 40.3 peratus daripada jumlah pelaburan yang diluluskan.

“Kedah, Sarawak, Kuala Lumpur, Selangor dan Pahang menyumbang RM134.8 bilion atau 75.8 peratus kepada jumlah pelaburan yang diluluskan dalam pelbagai sektor,” katanya.

Beliau berkata sebanyak 522 projek pembuatan bernilai RM103.9 bilion telah diluluskan pada 9M2021 — lonjakan 60 peratus berbanding RM64.8 bilion pada 9M2020.

“FDI memacu prestasi kukuh sektor pembuatan dalam tempoh itu, melonjak sebanyak 133.5 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2020, menyumbang 88.3 peratus atau RM91.7 bilion daripada pelaburan yang diluluskan dalam sektor itu.

“Baki RM12.2 bilion (11.7 peratus) pelaburan yang diluluskan dalam sektor pembuatan adalah daripada sumber domestik,” katanya.

Sumber: Berita Harian

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon