Pembangunan Sedenak flagship keenam Iskandar Malaysia - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Pembangunan Sedenak flagship keenam Iskandar Malaysia

Pembangunan Sedenak flagship keenam Iskandar Malaysia

23 Dis 2021

Pembangunan Mukim Sedenak di Utara Iskandar Malaysia yang dimulakan oleh Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) akan mempercepatkan pertumbuhan di kawasan itu dan daerah berdekatan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata pembangunan Sedenak akan mengimbangi pembangunan Iskandar Malaysia yang banyak tertumpu di bahagian selatan Johor.

Beliau berkata, pembangunan itu turut menjadikan Sedenak sebagai ‘flagship’ keenam Iskandar Malaysia selepas Pusat Bandar Johor Bahru, Iskandar Puteri, Tanjung Pelepas dan Tanjung Bin, Pasir Gudang dan Tanjung Langsat serta Senai Skudai.

“Setiap ‘flagship’ mempunyai fokus pembangunan tersendiri dan Sedenak akan memberi tumpuan kepada industri agroteknologi, teknologi tinggi, penyelidikan dan pembangunan serta aktiviti rendah karbon.

“Pembangunan Sedenak juga akan memanfaatkan komuniti tempatan serta mengukuhkan jaringan akses antara Johor dan negeri-negeri lain.

“Ini akan menyumbang ke arah menjadikan Johor sebagai sebuah hab pembekal makanan dan pintu masuk antarabangsa untuk Malaysia,” katanya.

Perdana Menteri berkata demikian dalam satu kenyataan selepas mempengerusikan mesyuarat ahli IRDA di Putrajaya secara maya hari ini yang turut dihadiri Pengerusi Bersama merangkap Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohamad dan beberapa Menteri Kabinet.

Sementara itu, Perdana Menteri, berkata IRDA turut menyarankan pembangunan rumah transit untuk rakyat yang baru bekerja dan memulakan perniagaan atau kehidupan berkeluarga diteruskan.

Beliau berkata, pembangunan rumah transit itu bertujuan memperhebatkan bantuan untuk rakyat dan skim berkenaan terbukti berjaya melalui Rumah Iskandar Malaysia di Gelang Patah.

Katanya, keperluan pembangunan itu mengambil kira kecenderungan generasi muda yang gemar menyewa rumah supaya sementara mengukuhkan sumber pendapatan mereka.

“Melihat kepada trend generasi sekarang yang lebih berminat untuk menyewa daripada membeli rumah, skim sewaan rumah ini membolehkan mereka tinggal di perumahan yang selamat dan mampu milik sementara mereka menstabilkan sumber-sumber mereka untuk masa hadapan yang lebih kukuh.

“Skim ini terbukti berjaya melalui Rumah Iskandar Malaysia yang terletak di Gelang Patah, di mana hampir kesemua 1,500 unit apartment telah didiami dan dimanfaatkan oleh rakyat,” katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri, berkata Ahli IRDA juga bersetuju \wilayah itu meneruskan dan menyegerakan inisiatif utamanya dengan mengambil kira tekanan yang diberikan pandemik COVID-19 terhadap agenda dan inisiatif kemampanan Iskandar Malaysia.

Katanya, insiatif utama itu terdiri daripada Iskandar Rapid Transit (IRT), Iskandar Malaysia Urban Observatory (IMUO) dan Bandar Pintar Iskandar Malaysia.

Tidak ketinggalan ialah inisiatif Masyarakat Rendah Karbon, Program Komuniti Hijau dan Pengurangan Karbon dan Iskandar Malaysia Ecolife Challenge (IMELC).

“Inisiatif ini menggalakkan pendekatan kemampanan yang menyeluruh daripada segi ekonomi, sosial dan alam sekitar,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri, berkata Iskandar Malaysia juga telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk mengekalkan atau meningkatkan pendapatan dan taraf kehidupan mereka yang terkesan akibat pandemik COVID-19.

Katanya, sepanjang tahun ini seramai 5,000 ahli Keluarga Malaysia di wilayah Iskandar Malaysia telah menerima bantuan dalam bentuk geran padanan gaji, geran memulakan perniagaan, latihan dan pembangunan kapasiti.

“Melalui Iskandar Malaysia Employment Grant (IMEG), sebanyak 252 syarikat telah mengekalkan atau mengambil seramai 1,811 pekerja baharu termasuk golongan wanita, penganggur, orang kurang upaya dan pesara.

“Seramai 1,425 usahawan pula telah menyertai pelbagai program latihan manakala 117 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) telah menerima geran untuk menyokong operasi perniagaan mereka di bawah Program Usahawan Dinamik Iskandar Malaysia,” katanya.

Ismail Sabri, berkata seramai 140 peserta B40 telah menyertai Program Iskandar Malaysia Urban Farming (IMURFARM) dan berjaya mencatatkan purata pendapatan sebanyak RM2,800 setiap tuaian.

Katanya, seramai 730 peserta program IM Makmur pula merekodkan peningkatan purata pendapatan antara 25 hingga 65 peratus melalui skim penjanaan pendapatan.

“IMRENT (geran pembayaran sewa), IMSTART (geran permulaan perniagaan) dan IMYES (geran usahawan belia) adalah antara bantuan-bantuan kewangan dan latihan untuk golongan tertentu di bawah agenda ekonomi inklusif di Iskandar Malaysia,” katanya.

Sumber: Berita Harian

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon